Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 13 Ogos 2025, 14:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Di bawah panji bahasa dan sastera Melayu, sambutan Hari MASTERA 2025 kali ini menghimpunkan penulis dan penggiat sastera dari seluruh Asia Tenggara bagi memperkukuh hubungan budaya serta jaringan penulisan serantau di negara ini.

Sambutan Hari MASTERA 2025 ini merupakan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Promosi dan Pengiktirafan (BKPI) bagi memperingati penubuhan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) yang diasaskan secara rasminya pada 12 Ogos 1996.

Menurut Ketua Pengarah DBP, YBRs. Dr. Hazami Jahari, MASTERA merupakan sebuah institusi yang bertanggungjawab merancang, menyelaras dan memantau perkembangan sastera Melayu di rantau ini.

“Penubuhan MASTERA telah dipersetujui secara asasnya oleh negara pendiri, Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia ketika Persidangan Kongres Bahasa Melayu Sedunia yang diadakan pada 25 Ogos  1995,” ujarnya ketika berucap dalam majlis perasmian MASTERA 2025 di ruang Anjung DBP, semalam.

Hasil daripada perjanjian tersebut, maka terbentuknya MASTERA sebagai badan serantau yang berperanan menyelaras program berkaitan kesusasteraan, pertukaran penulis dan kegiatan persuratan yang menjunjung bahasa dan sastera sebagai wahana utama dalam kerjasama antara negara.

Jelas beliau, MASTERA telah diputuskan sebagai sebuah majlis rasmi yang mewakili lembaga pemerintahan setiap negara anggota dalam bidang kesusasteraan.

“Secara rasminya MASTERA telah ditubuhkan pada 12  Ogos 1996 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP,” jelasnya lagi.

Dari segi struktur, keanggotaan MASTERA terdiri daripada tiga ahli utama, iaitu negara pendiri, negara anggota dan negara pemerhati.

“Sebagai rekod, negara Singapura telah diiktiraf sebagai negara anggota pada tahun 2012, manakala negara Thailand pula diiktiraf pada tahun 2014

“Setiap kelompok memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama dan perkembangan kesusasteraan di rantau Asia Tenggara,” tambah beliau lagi.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa walaupun dunia yang semakin pesat dilanda arus teknologi dan kecerdasan buatan, sastera tetap relevan dan perlu diberi ruang untuk berkembang seiring dengan kemajuan semasa.

“Sastera dapat beasimilasi dengan zaman perkembangan teknologi yang bukan sahaja sekadar pemerkasaan seni bahasa, malah merupakan cerminan pemikiran, rakaman sejarah dan denyut nadi kemanusiaan,” katanya.

Peranan MASTERA semakin bermakna apabila bukan sahaja mempertahankan warisan persuratan Melayu, bahkan turut memperluas ruang dialog antara sastera dan kemajuan teknologi, di samping memperkasakan dan mengembangkan sastera agar terus hidup serta berakar kukuh dalam jiwa masyarakat merentas generasi.

“Generasi hari ini dan akan datang perlu kekal terhubung dengan aspek keindahan bahasa, kekayaan budaya serta nilai luhur yang terkandung dalam karya sastera,” kata beliau.

Ketua Pengarah DBP Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan aluan bersempena Hari MASTERA 2025.

Pada masa yang sama, majlis turut diserikan lagi dengan ucapan sambutan Hari MASTERA 2025 yang disampaikan secara penstriman langsung oleh wakil Pengerusi MASTERA negara anggota, iaitu Brunei Darussalam, Singapura dan Indonesia.

Pemangku Pengarah DBP selaku Pengerusi MASTERA Brunei Darussalam, YM Tuan Haji Awang Suip Haji Abdul Wahab menzahirkan rasa bangga dan syukur atas penubuhan MASTERA, yang dianggap sebagai lambang kesepakatan dan kerjasama serantau dalam memartabatkan sastera Melayu pada peringkat antarabangsa.

Ujar beliau, sambutan Hari MASTERA 2025 bukan sekadar memperingati, tetapi mampu meneguhkan tekad negara anggota terhadap penyatuan bahasa dan sastera yang  dapat melahirkan  bangsa yang berjiwa harmoni.

Sementara itu, Ketua MASTERA Indonesia, YBrs. Tuan Hafidz Muksin menyatakan bahawa Hari MASTERA 2025 merupakan hari yang memperingati usaha bersepadu negara anggota dalam memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu pada peringkat serantau.

“Organisasi ini telah berjaya memperkukuh jalinan serumpun serta memperkaya khazanah sastera yang menjadi warisan bersama negara anggota.

“Usaha berterusan ini bukan sahaja memperkukuh perpaduan budaya, malah turut memastikan kesinambungan dan kemajuan kesusasteraan Melayu pada peringkat serantau,” jelas beliau lagi.

Sebagai rekod, MASTERA berfungsi sebagai tonggak utama dalam memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu melalui jaringan penulis serantau serta penganjuran program penulisan, penterjemahan, seminar, dan penerbitan untuk memelihara dan mengembangkan khazanah budaya Melayu.

Turut hadir dalam majlis ini termasuklah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai; Pengarah Pembinaan bahasa dan Sastera, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed  dan Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi