Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Ahmad Hakimi Abdul Mukim yang mendeklamasikan puisi “Merah Bunga Darah Wira” karya Istajib Mokhtar menewaskan sembilan peserta akhir pada 12 Julai 2025 lalu untuk bergelar juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-39 Peringkat Negeri Sabah.
Beliau menerima hadiah kemenangan berupa wang tunai RM1,000.00, sijil, buku iringan, dan piala pusingan SDPK.
Selaku juara peringkat negeri Sabah tahun ini, beliau akan mewakili negeri Sabah ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan akan berlangsung di Melaka pada 14 Ogos 2025.
Menurut Timbalan Pengarah II DBP Cawangan Sabah (DBPCS), YBrs. Encik Zaidi Ismail, dalam ucapan perasmian dan ulasan hakim berkata, persaingan pada tahun ini yang lebih sengit berbanding tahun sebelumnya menyebabkan para hakim sukar membuat keputusan, namun keputusan pemenang harus dibuat.
Naib johan disandang oleh Nurirfiney Hairoland Fredo dengan puisi “Rukun yang Kita Yakini” dan membawa pulang hadiah wang tunai RM700.00, sijil dan buku iringan.
Seterusnya, penerima hadiah tempat ketiga, Dayana Chaco yang mempertaruhkan puisi “Tajam Segala Sembilu” menerima hadiah wang tunai RM500.00, sijil dan buku iringan.
Tiga lagi hadiah sagu hati menjadi milik Nur Amalina Izzati Abdul Hapid, Muhammad Hafisyal Musa dan Wan Muhammad Adidi Wan Ya’akub. Masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai RM200.00 dan sijil berserta buku iringan.
SDPK Peringkat Negeri Sabah anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama DBPCS dan Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) berlangsung dengan meriah di Sudut Penulis, DBPCS.