Diterbitkan pada 26 Jun 2025, 06:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Apakah pemikiran Melayu yang diungkapkan dalam novel terbitan tahun 1982 masih relevan dalam era kecerdasan buatan sekarang?

Soalan itu dikemukakan oleh YBhg. Prof. Dr. Goh Sang Seong, Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merangkap Pengarah Pusat Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai mukadimah Syarahan Keris Mas Kali ke-4 dengan tajuk “Keutuhan Masyarakat MADANI melalui Terjemahan Pemikiran Melayu dalam Saudagar Besar dari Kuala Lumpur”, bertempat di USM pagi semalam.

Prof. Dr. Goh Sang Seong kemudiannya memetik halaman 32 novel berkenaan yang menyebut, “Zaman tak banyak membawa perubahan pada hati orang, yang berubah hanya pakaian saja. Hati tidak berubah.”

Beliau berkata, syarahannya akan menyorot sudut pemikiran pengarang Melayu yang disampaikan kepada masyarakat Cina melalui terjemahan selari dengan konsep masyarakat MADANI.

Pemikiran katanya ialah jelmaan kognitif yang terbentuk daripada pandangan sarwa sesuatu bangsa yang amat berkait rapat dengan persekitaran kehidupan. Oleh itu, bagaimanakah pemikiran dalam Saudagar Besar dari Kuala Lumpur menterjemahkan keutuhan masyarakat MADANI?

Prof. Dr. Goh Sang Seong berkata, misi MADANI adalah untuk mengubah Malaysia menjadi negara yang makmur dan maju berteraskan nilai-nilai MADANI melalui kepercayaan antara kerajaan dengan rakyat, dasar ketelusan dengan kerjasama.

Agak menarik apabila beliau memetik pandangan tipikal masyarakat Cina dan orang Melayu di negara ini, yang masih ramai percaya bahawa bidang perniagaan bukanlah kepakaran orang Melayu.

“Bagaimanapun saya menolak pandangan ini, sebab jika kita imbas sejarah keagungan Kesultanan Melayu Melaka hingga terbinanya pusat perdagangan utama Timur dan Barat ketika itu, pedagang itu berdagang dengan orang apa?” soalnya.

Malah tegasnya, keagungan Melaka zaman itu juga menyaksikan bahasa Melayu muncul sebagai lingua franca.

Kehebatan kemahiran orang Melayu juga katanya, boleh dilihat dalam watak-watak yang ditampilkan, misalnya watak Pengarah Eksekutif Serba Dagang International, Tan Seri Syed Aris.

Saudagar Besar dari Kuala Lumpur yang pertama kali terbit pada tahun 1982, diterbitkan kemudiannya oleh DBP pada tahun 1992 sebelum edisi bahasa Cina diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia pada tahun 2015 dengan terjemahannya dibuat oleh Datin Lee Ngeok Lan.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi