Diterbitkan pada 22 Mei 2025, 10:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Zanazanzaly memperkenalkan projek novel terbaharunya yang berlegar dalam bidang ekonomi dan sejarah lama Semenanjung Tanah Melayu.

Garapan naratif ini bukan sekadar kisah, tetapi satu wacana berupa sebuah ikhtiar sastera untuk membina semula kefahaman masyarakat terhadap konsep kekayaan, etika dan keadilan dalam sistem kewangan dunia.

Dalam iklim ekonomi dunia yang kian berpusar tanpa arah, penulis terpanggil mencurahkan gejolak ini dalam sebuah naskhah kreatif yang mencabar kelaziman dengan menawarkan gagasan ekonomi Islam dalam bentuk naratif sastera.

Lebih terkesan dengan berita tular adik-beradik yang didakwa melombong emas tanpa lesen yang sah, walaupun logam yang satu ini berada dalam perut bumi yang gerannya hak milik pemilik sendiri. Namun begitu, sedarkah kita bahawa portfolio tanah dan segala isinya yang bernilai itu hak mutlak pemerintah? Inilah satu yang luar biasa tentang tanah dan segala isinya yang di dalam itu, kerana di sana ialah masa depan dan sebuah kisah yang tidak akan pernah terpadam.

Sebagai penulis yang berlatarkan pengajian Sains Politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pengalaman, pengamatan dan hasrat berkongsi kepada umum telah membawa penulis menelaah lalu menghasilkan karya ini untuk mengemudi naratif ekonomi melalui medan novel. Bagi penulis, prakarsa ini merupakan satu usaha rentas disiplin yang menuntut pelaksanaan ilmu bantu merentas bidang yang mungkin jarang-jarang dicuba atau diteroka oleh pengarang.

 Ikon Sukatan

Penulis berusaha memecah kebekuan dengan mengetengahkan wacana ekonomi Islam secara naratif, berlandaskan maqasid syariah serta falsafah nilai emas sebagai alternatif kepada sistem fiat dengan menjulang ikon sukatan “rial berat” (metafora nilai mata wang yang berpaksikan logam bernilai) berbanding gram sebagai indeks matrik, penanda aras tetap dalam sistem ekonomi berasaskan nilai sebenar.

Dalam mencongak-congak idea membina premis karya, penulis muktamad dengan penjelajahan tema yang mengangkat sudut ekonomi Islam dalam masyarakat hanya sebagai implementasi ekonomi tradisional berbanding bersifat perniagaan rentas samudera mahupun benua. Potensi nilai emas sebagai pemacu ekonomi peradaban entah mengapa seperti hilang dibawa angin, lenyap ditelan masa berterbangan bagai debu-debu yang tidak bermakna. Ekonomi berteraskan emas merupakan rakaman peradaban yang signifikan dengan negeri Serambi Mekah.

Ekonomi emas juga pernah menjadi teras ekonomi rantau ini pada suatu era sejarah dan sejarah ini juga seperti telah dikaburkan daripada budaya telaah ekonomi moden generasi akademik era kini. Sumber alternatif pascaekonomi abad ke-19 telah mewarnai dan kekal sehingga kini pada kanvas trafik ekonomi dunia.

Suatu masa, rantau ini pernah mencorakkan agenda ekonomi yang signifikan, dengan nilai sumber nadi bumi yang cukup memberikan impak kepada peradaban. Pentadbiran beberapa kesultanan yang berasaskan sumber emas sehingga semenanjung ini digelar sebagai Semenanjung Emas. Hal ini sebuah manifestasi unggul kesan emas pada peradaban dan menjadi faktor penarik kuasa asing bersilih ganti meneroka peluang untuk meraih keberuntungan jangka panjang. Tak kenal maka tak cinta, kenal akan emas maka peluang tidak akan dilepaskan!

Oleh hal yang demikian, rentetan sejarah ini menjadi titik penting kepada penulis melihat sudut yang lebih luas dan memberikan kesan kepada nilai ekonomi hari ini. Seperkara yang perlu difahami oleh umum ialah hal ukuran rial yang popular di medan niaga benua Arab itu juga sinonim dengan perkiraan timbangan emas di Kelantan sejak era pemerintahan Raja Perempuan Kelantan Paduka Cik Siti Wan Kembang.

Garapan naratif ini bukan sekadar kisah, tetapi satu wacana berupa sebuah ikhtiar sastera untuk membina semula kefahaman masyarakat terhadap konsep kekayaan, etika dan keadilan dalam sistem kewangan dunia.

Stabil dan Beretika

Kisah memusatkan naratif pada Sukma Kencana, graduan Perdagangan Antarabangsa dari King’s College London, yang menolak sistem fiat dan memperjuangkan sistem kewangan berteraskan emas yang stabil dan beretika.

Zanazanzaly

Berbeza daripada representasi klise wanita dalam novel suka ramai yang sering dikaitkan dengan polemik cinta atau suara yang meledak-ledak, Sukma tampil dengan keperibadian yang diam tetapi dalam, beradab tetapi tegas. Keperibadian ini dibina melalui naratif dalaman, refleksi spiritual dan dialog intelektual yang sarat makna. Sukma Kencana menjadi simbol generasi Muslimah mutakhir yang berprinsip, berilmu dan berjiwa ummah.

Protagonis inilah refleksi generasi wanita Muslim kontemporari yang beradab, berprinsip dan berstrategi. Sukma menolak stereotaip wanita lantang atau pasif. Beliau ialah watak kompleks yang menggabungkan renungan, keberanian dan hikmah. Baginya, diam ialah tindakan strategik. Dalam konteks sastera Islam, hal ini satu percubaan mengangkat suara intelektual wanita yang sering dikesampingkan. Justeru ghalibnya perempuan diasosiasikan dengan emosi luar kawal dan murah air mata.

Pengkaryaan latar cerita ini bergerak di antara London dan Kelantan, dua kutub budaya yang membingkaikan naratif dengan rapi. Dari dewan kuliah di kota metropolitan hingga pentas Sidang Ekonomi Islam Antarabangsa, Sukma menggalas amanah intelektual yang besar. Beliau membawa suara pasukannya (mewakili anak muda pelapis) yang mengangkat aspirasi ummah untuk menilai semula asas sistem kewangan global.

Simbol emas digunakan bukan semata-mata sebagai logam bernilai, sebaliknya sebagai metafora pada nilai kekal dan sistem ekonomi yang adil. Penulis dengan cermat menghuraikan kelemahan sistem fiat yang bergantung kepada kepercayaan terhadap kuasa negara, tetapi tiada sandaran kepada nilai intrinsik.

Manipulasi Sistemik

Sukma Kencana menjadi simbol generasi Muslimah mutakhir yang berprinsip, berilmu dan berjiwa ummah.

Melalui lensa Sukma, sistem fiat diungkapkan sebagai krisis peradaban moden. Wang dicetak tanpa had, nilai ditentukan oleh kuasa yang membawa kepada inflasi, ketidaksamarataan dan manipulasi sistemik oleh elit ekonomi, bukannya etika. Penulis mengangkat persoalan ketidaksamarataan sistemik dan peminggiran manusia sebagai natijah sistem ini. Alternatifnya, Sukma mengusulkan sistem standard emas, yakni suatu sistem yang menekankan nilai tetap dan kestabilan ekonomi sejagat.

Watak Sukma tampil menolak realiti ini dengan membina naratif alternatif berasaskan maqasid syariah yang merangkumi pemeliharaan agama (dīn), jiwa (nafs), akal (‘aql), keturunan (nasl), dan harta (māl). Naratifnya menyeru kepada reformasi ekonomi berasaskan rahmat, bukan semata-mata untung rugi. Kekayaan ditafsirkan semula sebagai amanah yang mesti diagihkan, bukan dikumpulkan; pasaran dipandu nilai, bukan dibiarkan bebas tanpa kawalan.

Prinsip pemeliharaan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta inilah dijadikan asas untuk mencadangkan sistem kewangan beretika. Naratif ini juga diterjemahkan melalui konflik emosi, pergelutan batin dan perdebatan intelektual yang menjadikan karya ini insya-Allah bernilai tinggi dari segi kesusasteraan dan pemikiran. Jauh sekali digubah berbentuk khutbah atau propaganda.

Penulis secermat mungkin menyulam latar tempatan Kelantan dalam naratif emas ini. Kawasan seperti daerah Hulu Kelantan atau Chintawangsa (Jeli, Tanah Merah dan Gua Musang) yang memiliki sejarah perlombongan emas sejak era kesultanan, diberikan nafas baharu dalam naratif sebagai lambang potensi ekonomi lokal yang lestari. Pada tangan penulis, lokasi bukan hanya geografi, tetapi menjadi wacana, bumi yang menyimpan emas bukan untuk ditarah rakus, tetapi untuk dimakmurkan secara adil dan beretika.

Gaya penulisan novel ini memanfaatkan teknik “menunjukkan” bukan “memberitahu” yang teliti, dengan penggunaan simbol seperti kerongsang emas, lampu kristal, podium, dan dewan konvensyen sebagai latar yang sarat makna. Simbol-simbol ini membangkitkan suasana dan emosi, menjadikan naratif tidak kaku dengan fakta, tetapi hidup dengan bayangan dan tafsiran. Pendek kata, penulis melakar cerita seraya mengajak pembaca berfikir dan merasai.

Genre Novel Ekonomi

Dalam konteks kesusasteraan Melayu moden, novel ini membuka jalur baharu genre novel ekonomi Islam yang intelektual, bersifat renungan dan penuh simbolisme. Usaha ini melampaui bentuk popular yang sering memisahkan naratif sastera daripada wacana strategik negara, sekali gus memperlihatkan potensi novel sebagai medium pembinaan pemikiran dan penyemaian nilai-nilai maqasid dalam ranah yang lebih luas.

Namun, untuk benar-benar membina impak maksimum dalam wacana arus perdana, cabaran terbesar naskhah ini adalah untuk memperluas khalayaknya. Wacana tinggi, meskipun penting, harus diimbangi dengan strategi naratif yang mesra pembaca. Penulis berusaha menunjukkan kebolehan besar dalam mengendalikan tema yang berat, tetapi perlu sentiasa memastikan bahawa keseimbangan antara maklumat dengan perasaan agar naratif tidak terlalu padat sehingga kehilangan sentuhan insani.

Dari sudut kritik sastera, naskhah ini kelak berpotensi membuka ruang penelitian dan kritikan yang lebih luas dalam usaha menggabungkan disiplin ekonomi, pemikiran Islam dan estetika sastera. Naskhah ini menjelmakan tokoh wanita sebagai agen perubahan bukan melalui penonjolan fizikal atau retorik feminis, tetapi melalui akal, nilai dan hikmah. Sukma Kencana ialah watak yang menginspirasi, bukan kerana dia melawan sistem, tetapi kerana dia membina alternatif dengan adab dan ilmu.

Pemikiran Strategik

Akhirnya, novel ini karya kreatif bermanifesto yang menyumbang kepada wacana pemikiran strategik negara dan umat. Penulis beraspirasi membuka ruang baharu dalam genre sastera Islam intelektual, menerusi naratif berasaskan sistem ekonomi beretika yang menolak sistem fiat. Emas dijadikan metafora dan medium refleksi, pembaca dipelawa menilai semula arah haluan ekonomi dunia.

Bayangkan seandainya naskhah dijadikan rujukan akademik, inspirasi kepada usahawan beretika serta teks yang membimbing pelajar, dengan izin-Nya, bertambahlah pemahaman khalayak tentang perkaitan antara sastera, ekonomi dengan spiritualiti dalam satu garapan yang berusaha ke arah menyeluruh dan berimbang.

Penulisan ini merupakan curahan pengalaman penulis dalam mengetengahkan naratif emas yang mungkin memiliki dimensi yang baharu untuk membantu para pembaca serta masyarakat umum untuk kembali memahami bagaimana emas pernah muncul sebagai pemacu ekonomi rantau ini. Jajaran Tanah Semenanjung yang berusia berjuta tahun ini menyimpan seribu satu rahsia dan naratif tersendiri berkaitan sumber kekayaan ini. Semoga naratif ini dapat diterbitkan dan menemui pembaca.

_________________________

Zanazanzaly lahir di Pasir Mas, Kelantan. Beliau bertugas sebagai Penolong Pengarah (Pengarang) di Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan merangkap editor Qiadah, majalah korporat Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Zanazanzaly pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan tahun 2003, 2008 dan 2010, Hadiah Penulisan Skrip Radio IKIM (2009), Hadiah Sastera Negeri Kelantan (2003), Hadiah Cerpen Kearifan Tempatan (2022), dan Hadiah Puisi Sains dan Teknologi (2022). Sejak tahun 2018, beliau mencipta teknik kepengarangan buku gaya baharu, dengan mengaplikasikan genre hibrid dalam multidisiplin ilmu.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi