Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangZulhilmi Shalehuddin melaporkan sesi pembentangan kertas kerja bertajuk “Al-Jawaib (1861 – 1885): What It Tells Us About the Relationship Between the Malay World and the Ottomans” oleh pensyarah di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), Profesor Madya Dr. Mehmet Özay dalam Syarahan Kewartawanan, Reformasi dan Masyarakat pada 13 Mei 2025.
Akhbar al-Jawaib menyebarkan berita dari dunia Uthmaniyah dan Eropah, serta menerima berita tentang perubahan sosiopolitik di dunia Melayu.
Pada abad ke-19, media cetak memainkan peranan yang signifikan dalam penyampaian sesuatu peristiwa atau pemberitahuan kepada khalayak. Platform tersebut yang menjadi permulaan era kemodenan Eropah pada akhir abad ke-15 hanya tiba di sempadan negara Islam pada separuh kedua abad ke-19.

Pada tempoh tersebut, wilayah Uthmaniyah baru mengalami perkembangan pesat dalam bidang media cetak. Pihak berkuasa Uthmaniyah memantau dengan teliti perkembangan ini tatkala media cetak melalui akhbar dan majalah digunakan untuk mencapai matlamat agenda pembaharuan dan reformasi politik.
Seperti yang diketahui, gerakan reformasi Uthmaniyah telah bermula sejak pemerintahan Sultan Mahmud II dan berlangsung dalam beberapa fasa sepanjang beberapa pemerintahan sultan berikutnya. Antara titik pentingnya termasuklah Tanzimât Fermânı (Dekri Penyusunan Semula, 1839), Islâhat Fermânı (Dekri Pembaharuan, 1856) dan Birinci Meşrûtiyet Fermânı (Raja Berperlembagaan Pertama, 1876).
Menurut Benedict Anderson, teori Habermasian menjelaskan bahawa wacana awam membolehkan masyarakat berkongsi idea, pergerakan dan mobiliti dalam kehidupan mereka. Akhbar ialah wadah yang melibatkan pelbagai pihak seperti pemilik, penyunting, pemerintah, ideologi, hinggalah pembaca. Interaksi terhadap bahan berita amat penting untuk memahami nilai, makna, cerminan realiti sosial, politik, dan budaya zamannya.
Dalam hal ini, Kerajaan Uthmaniyah juga belajar menggunakan media cetak sebagai alat dan senjata propaganda untuk menyebarkan maklumat kepada rakyatnya sendiri dan pihak luar, terutamanya Eropah. Justeru, kemunculan akhbar al-Jawaib menjadi contoh wacana awam yang mencetuskan gerakan ideologi dan jaringan keterlibatan komuniti Muslim pelbagai latar geografi dari Maghribi hingga ke Alam Melayu pada zaman itu.
Akhbar al-Jawaib
Al-Jawaib merupakan sebuah akhbar mingguan dalam bahasa Arab pertama yang berpusat di Istanbul, Uthmaniyah. Akhbar ini beroperasi selama hampir 24 tahun, iaitu sekitar tahun 1861 hingga 1885. Pengasasnya merupakan seorang wartawan berbangsa Arab Lubnan, iaitu Ahmad Faris al-Shidyaq (1805 – 1887). Beliau berketurunan Kristian Maronit dan kemudiannya memeluk Islam pada tahun 1857 dengan bantuan pembesar Uthmaniyah di Tunis (Tunis Bey), iaitu Ahmad Bey.

Selepas itu, beliau meninggalkan Tunis dan berpindah ke Istanbul atas jemputan oleh Sultan Abdul Majid I. Pada tahun 1883, akhbar tersebut berpindah pusat penerbitannya ke Kaherah, Mesir kerana suasananya membenarkan lebih banyak ruang kebebasan bersuara, berbanding dengan Istanbul yang semakin memperketat polisi penerbitan akhbar selepas era pembaharuan Uthmaniyah (Tanzimât Fermânı).
Profesor Madya Dr. Mehmet Özay berkata, beliau menukilkan pandangan Dr. Musa al-Habshi bahawa istilah akhbar al-Jawaib kaya dengan makna etimologi dan simbolik. Perkataan al-Jawaib sendiri ialah bentuk jamak bagi kata ‘jaib‘ dalam bahasa Arab, iaitu sesuatu yang “mengembara”, “tiba” dan “menembusi”. Akar kata tersebut juga membentuk kata ‘jawab‘ dalam bahasa Arab, yang boleh ditakrifkan sebagai “jawapan” dan “respons”.
Walaupun terdapat perbezaan bagi kedua-dua makna kata tersebut, penjenamaan akhbar al-Jawaib bertepatan sebagai sebuah berita yang tidak dijangka, lantas membangkitkan rasa ingin tahu dalam kalangan pembacanya, bukan sahaja di wilayah naungan Kerajaan Uthmaniyah, tetapi merangkumi benua Eropah sehingga ke Alam Melayu.

Peranan Akhbar al-Jawaib
Peranan utama akhbar al-Jawaib adalah untuk menyebarkan agenda politik dengan mempromosikan dasar reformasi Kerajaan Uthmaniyah, selain memerihalkan perkembangan terkini di Eropah, terutamanya dari segi perubahan geopolitik, konflik dan pakatan antara negara di benua tersebut.
Sasaran utama pembaca akhbar al-Jawaib ialah masyarakat Arab kerana kebimbangan kerajaan terhadap pengaruh politik yang semakin merosot pada separuh akhir abad ke-19. Asakan kuasa kolonial Eropah mula mendominasi dan menjajah wilayah Islam di seluruh dunia.
Sebagai akhbar yang berbahasa Arab, media cetak tersebut menjadi alat penting untuk membawa berita kepada masyarakat Arab, bermula dari Maghribi ke Yaman serta memperkukuh gagasan “Ottomanism”, iaitu sebuah ideologi politik baharu yang membentuk kesatuan bangsa di bawah pemerintahan Kerajaan Uthmaniyah, dengan tujuan untuk menyelamatkan empayar daripada kejatuhan kuasa yang berterusan.
Hal ini demikian kerana Kerajaan Uthmaniyah mula hilang kawalan terhadap masyarakat Kristian di Balkan pada awal abad tersebut. Oleh itu, pemerintah telah mengalihkan fokus pada penekanan perpaduan umat Islam menerusi sokongan daripada bangsa Arab, yang majoritinya beragama Islam demi kelangsungan kedaulatan politik dan wilayahnya.
Keadaan ini secara tidak langsung membuatkan penyebaran akhbar al-Jawaib sampai ke kepulauan Melayu melalui individu dan komuniti Arab tertentu, khususnya komuniti Hadrami yang awal melanggan akhbar tersebut. Malah, idea yang dilontarkan menerusi perkembangan dunia Arab dan wilayah naungan Uthmaniyah dalam akhbar ini juga turut tersebar. Kebanyakan pelanggan akhbar al-Jawaib berasal dari Kepulauan India termasuk Nusantara yang menonjolkan kecenderungannya terhadap ideologi Pan-Islamisme.
Penyebaran akhbar ini turut membantu umat Islam di wilayah Uthmaniyah memahami keadaan kolonial dan perubahan penting di Nusantara. Pendek kata, akhbar ini dilihat sebagai alat yang paling praktikal untuk berinteraksi dan mencabar campur tangan politik, membangunkan hujah balas, selain menyebarkan dasar yang berkaitan dengan Pan-Islamisme.
Baca Bahagian Kedua Refleksi |
_________________________
Zulhilmi Shalehuddin merupakan pegawai Eksekutif Bahasa di Dewan dan Bahasa Pustaka. Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda Syariah (Siasah Syar’iyyah) dari Universiti Malaya. Beliau banyak menulis artikel yang berkaitan dengan pentadbiran dan politik Islam dalam majalah Dewan Tamadun Islam.