Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangZulhilmi Shalehuddin melaporkan sesi pembentangan kertas kerja bertajuk “Al-Jawaib (1861 – 1885): What It Tells Us About the Relationship Between the Malay World and the Ottomans” oleh pensyarah di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), Profesor Madya Dr. Mehmet Özay dalam Syarahan Kewartawanan, Reformasi dan Masyarakat pada 13 Mei 2025.
Penyebaran Akhbar al-Jawaib ke Alam Melayu
Percetakan akhbar muncul sebagai alat yang berkuasa menghubungkan semula golongan cerdik pandai Muslim merentas geografi berbeza, mencetuskan kesedaran politik dan menyumbang kepada kebangkitan Islam …
Pembukaan Terusan Suez pada tahun 1869 yang menghubungkan Laut Mediterranean dengan Laut Merah, serta operasi kapal wap telah merancakkan mobilisasi manusia serta pengangkutan barang dagangan di sekitar Lautan Hindi.
Seiring dengan perkembangan ini, pertukaran idea dan maklumat dari benua Eropah serta India melalui media cetak juga tersebar di wilayah-wilayah jajahan Barat sebelah timur.
Hal ini terbukti apabila akhbar Calcutta Gazette dan The India Gazette yang berasal dari Calcutta dikesan wujud di Pulau Pinang semasa berada di bawah jajahan British. Begitu juga dengan akhbar al-Jawaib dari Istanbul, tidak ketinggalan mendapat perhatian pentadbir British di Calcutta apabila mula melanggannya pada tahun 1877.
Langganan tersebut bertujuan untuk memantau sentimen dan gerakan umat Islam yang mungkin membangkitkan semangat antipenjajah dan menggugat kedudukan British di tanah jajahan. yaang mempunyai pelanggannya di Kepulauan India.
Dengan langganan itu, salinan akhbar al-Jawaib mula diedarkan di Pulau Pinang dan Singapura melalui laluan maritim, sama ada kepada golongan Muslim terpelajar atau pegawai tinggi British yang bertugas di pejabat tanah jajahan.
Apatah lagi, perkara ini turut ditegaskan oleh seorang sarjana orientalis Belanda, Van der Berg (1845 – 1927) bahawa akhbar al-Jawaib sangat penting bagi komuniti Arab di Alam Melayu, terutama yang berketurunan Hadrami. Merekalah yang paling awal melanggannya di rantau ini.
Sumber Berita dalam Akhbar al-Jawaib
Sumber berita dalam akhbar al-Jawaib tentang perkembangan yang berlaku di Alam Melayu diambil daripada langganan agensi berita Barat. Perkara ini boleh dilihat tatkala akhbar al-Jawaib menyoroti perkembangan politik dan keadaan peperangan di Sumatera Utara (Perang Aceh–Belanda) ketika itu.
Secara umumnya, akhbar al-Jawaib memetik laporan daripada 17 jenis surat khabar utama lain bagi berita dari Alam Melayu. Sumber ini termasuklah rujukan sepucuk surat oleh konsul Aceh dari Pulau Pinang kepada al-Shidyaq (pengasas akhbar al-Jawaib).

Selain itu, akhbar tersebut turut merujuk 10 akhbar British di Eropah, seperti The Economist, The Garibaldi, The Times, The Pall Mall, dan The Standard. Kesemua akhbar ini sangat dominan dalam memahami situasi Perang Aceh–Belanda (1873 – 1904) dan perkembangan Alam Melayu secara lebih meluas.
Bahkan, terdapat sumber British yang lain dirujuk dari Singapura dan Pulau Pinang, iaitu lima laporan yang dipetik daripada Penang Gazette, dan tiga laporan lagi daripada The Strait Times.
Ada juga laporan tertentu secara tidak langsung diperoleh daripada ejen berita Eropah, tanpa menyebut namanya. Pada sisi yang lain juga, ada penulisan sebuah berita yang memetik laporan lebih daripada satu surat khabar.
Hal ini bermakna, perkembangan di Sumatera Utara dalam akhbar al-Jawaib bersifat sekunder; sama ada melalui rujukan surat khabar British yang dicetak di London, telegraf atau surat khabar Belanda.
Keadaan ini memberikan gambaran tentang kaedah yang digunakan pada era itu untuk menyebarkan berita ke seluruh dunia daripada ejen berita dan surat khabar pelbagai bahasa. Justeru, dapat diperhatikan bahawa sumber berita tidak sampai terus ke pejabat pusat akhbar al-Jawaib di Istanbul.
Sehubungan dengan itu, setiap berita dalam akhbar ini disiarkan sekurang-kurangnya selepas beberapa minggu berita asal dicetak dalam sumber Eropah yang dirujuk. Al-Shidyaq merupakan seorang wartawan yang intelektual dan berbakat. Berita akhbar al-Jawaib tidak memperlihatkan sebarang komentar atau tafsiran dalam penulisannya.
Beliau hanya memetik dan menterjemahkan berita dalam bahasa Arab secara langsung. Antara perkara yang menarik termasuklah tiada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa Uthmaniyah disebarkan melalui akhbar al-Jawaib, sekali gus menandakan akhbar tersebut bersifat kritikal dan terbuka dengan isu yang dihadapi oleh dunia Islam.
Rakaman Peristiwa Alam Melayu dalam Akhbar al-Jawaib
Media cetak merupakan sebahagian daripada sumber yang relevan untuk menginterpretasikan kembali sejarah yang berlaku pada abad ke-19 sehingga Perang Dunia Kedua …
Kebanyakan berita asing dalam akhbar al-Jawaib disiarkan sekitar empat hingga enam halaman di bawah ruangan al-Hawadith al-Kharijiyyah (Peristiwa Luar Negara), iaitu pada muka surat pertama, ketiga dan keempat sebagai taktikal.
Semasa penerbitan awal akhbar tersebut, sekitar tahun 1861 hingga 1863, tiada sebarang laporan berita mengenai Alam Melayu dijumpai, termasuklah Aceh.
Walau bagaimanapun, setelah sedekad penerbitannya, perkembangan dan isu yang berlaku di Alam Melayu sebenarnya ada dimuatkan dalam akhbar al-Jawaib dari semasa ke semasa, khususnya pada tahun 1871 hingga 1873 mengenai perkembangan yang berlaku di Sumatera Utara.

Antara contoh terawal termasuklah laporan berita berbentuk informatif dan deskriptif dengan tajuk “Siam”. Hal ini diikuti dengan artikel bertajuk “Holland” (Belanda) yang menerangkan peluasan kuasa kolonial Eropah di Timur, khususnya Kepulauan Melayu dan Pulau Jawa.
Begitu juga, banyak tajuk berita lain mengenai Alam Melayu yang pernah tersiar seperti “Açin” (Aceh), “Fi Ahvali Mamlakat-i Açin” (Tentang Hal-hal Kesultanan Aceh), “Ahval-i Açin” (Hal-hal Aceh), “Ahval-i Açin Wa al Hollandiyyun” (Hal-hal Aceh dan Belanda), “Holland wa Açin” (Belanda dan Aceh) dan “Harb Holland ma’a Açin” (Perang antara Belanda dengan Aceh).
Selain itu, sebanyak 24 laporan berkaitan dengan Perang Aceh–Belanda telah diterbitkan dalam al-Jawaib, bermula pada bulan April hingga Disember 1873. Penyiaran berita ini bergantung pada tahap konflik sebenar di Aceh dan disiarkan selama dua hingga tiga minggu.
Berita Perang Aceh–Belanda yang tercetus pada 26 April 1873 disiarkan dalam tempoh lebih daripada sebulan. Malah, jumlah kemuncak berita paling banyak direkodkan adalah pada bulan Disember 1873, iaitu lima edisi kerana berlaku pertempuran sengit di kawasan pantai dan tebing Sungai Aceh sehingga ke lokasi Masjid Raya Baiturrahman (dahulu ibu kota Aceh) dalam ekspedisi kedua tentera Belanda yang mempunyai kelebihan bilangan ketenteraan.
Peristiwa tersebut berlangsung selama beberapa bulan dan berakhir dengan penawanan Istana Aceh dan kawasan sekitarnya. Lalu, kawasan ini dinamakan sebagai “Kuta Raja”.
Hakikatnya, Perang Aceh-Belanda telah memberikan bibit awal sebelumnya apabila pihak Aceh mula berkomunikasi dengan Kerajaan Uthmaniyah sejak tahun 1868 atas usaha Habib Abdurrahman al-Zahir (1833 – 1896). Namun begitu, laporan tentang perang berkenaan hanya muncul secara eksplisit pada tahun 1873.
Penyiaran laporan ini menjadi manifestasi hubungan politik Alam Melayu dengan Kerajaan Uthmaniyah apabila berjaya diterbitkan dan direkodkan dalam media cetak Arab pada abad ke-19.
Di samping itu, kunjungan rasmi al-Zahir sebagai utusan Aceh ke Istanbul pada April 1873 dengan sokongan politik dan dana kewangan daripada golongan elit Aceh di Pulau Pinang, khususnya mereka yang menganggotai “Majlis Lapan”.
Beliau yang ditemani oleh seorang ulama Aceh, Teuku Nyak Abbas, menghabiskan masa hampir lapan bulan di Istanbul untuk menyerahkan surat Sultan Aceh kepada Sultan Uthmaniyah dalam usaha mendapatkan sokongan politik dan naungan (protektorat). Namun begitu, mereka berdua mendapat layanan yang “dingin” dan akhirnya menyerahkan surat tersebut kepada Wazir Agung (Vezîr-i Âzam).
Laporan lawatan al-Zahir ke Istanbul telah mengangkat Aceh sebagai isu politik pada peringkat global. Malah, peristiwa itu menjadi perbincangan dan perselisihan geopolitik dalam kalangan kuasa dunia pada zaman itu.
Perekodan isu yang berlaku di Alam Melayu memperlihatkan akhbar al-Jawaib secara jelas menjadi suara pendesak terhadap Kerajaan Uthmaniyah untuk memberikan pertimbangan kes yang berlaku di Aceh.
Hal ini yang menyebabkan pihak berkuasa Uthmaniyah mula menggunakan media cetak pada tahun 1861 menerusi akhbar al-Jawaib, khususnya semasa zaman pembaharuan pentadbiran, pendidikan, dan pembentukan identiti Islam sejagat (Tanzimât Fermânı) pada tahun 1839 hingga 1876.
Evolusi media cetak mencerminkan wacana intelektual Islam melalui usaha jurnalistik. Natijahnya, penjajah Belanda juga terlibat sama memantau individu yang menyebarkan akhbar ini di Pulau Pinang, Singapura, Surabaya, Betawi, dan Aceh. Belanda melihat kecenderungan al-Jawaib terhadap Pan-Islamisme mampu mempengaruhi umat Islam di Alam Melayu. Keadaan ini ditambah lagi dengan akhbar Arab lain mula bertapak di sini selepas al-Jawaib meraih perhatian pelbagai pihak.
Kesimpulannya, kandungan akhbar al-Jawaib melangkaui sempadan politik tempatan dan wajar dianggap sebagai akhbar antarabangsa kerana isu yang diangkat bukan sekadar di Alam Melayu, tetapi merangkumi permasalahan umat Islam dari segenap penjuru dunia.
Percetakan akhbar muncul sebagai alat yang berkuasa menghubungkan semula golongan cerdik pandai Muslim merentas geografi berbeza, mencetuskan kesedaran politik dan menyumbang kepada kebangkitan Islam, selaras dengan visi al-Shidyaq dalam mengasaskan akhbar berkenaan.
Dalam kata lain, media cetak merupakan sebahagian daripada sumber yang relevan untuk menginterpretasikan kembali sejarah yang berlaku pada abad ke-19 sehingga Perang Dunia Kedua.
Baca Bahagian Pertama Refleksi |
_________________________
Zulhilmi Shalehuddin merupakan pegawai Eksekutif Bahasa di Dewan dan Bahasa Pustaka. Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda Syariah (Siasah Syar’iyyah) dari Universiti Malaya. Beliau banyak menulis artikel yang berkaitan dengan pentadbiran dan politik Islam dalam majalah Dewan Tamadun Islam.