Diterbitkan pada 9 Mei 2025, 17:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – YBrs. Dr. Fahd Razy, atau nama sebenarnya Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baharu berkuat kuasa pada awal bulan Mei ini.

Pengumuman pelantikan tersebut dibuat oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan ketika menyampaikan ucapan perasmiannya dalam Majlis Penyampaian Hadiah Puisi T. Alias Taib II 2025 di Dewan Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP, pagi tadi.

Beliau berkata, pelantikan tersebut dibuat atas persetujuan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Puan Fadhlina Sidek dan Dr. Fahd Razy akan memegang jawatan tersebut untuk tempoh tiga tahun.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan ketika menyampaikan ucapan perasmiannya dalam Majlis Penyampaian Hadiah Puisi T. Alias Taib II 2025 di Dewan Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP.

“Saya mengikuti peranan yang ditunjukkan oleh Dr. Fahd Razy, yang merupakan penggerak utama KataPilar dan komitmen beliau walaupun bertugas sebagai seorang doktor, tetapi mempunyai masa untuk memperkaya khazanah penerbitan kita, khususnya dalam bidang puisi,” ujarnya.

Menurut YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anuar, beliau menjadi daya penggerak kepada kumpulan penulis muda untuk bergiat dalam bidang penulisan puisi dan menghadiri aktiviti yang dijalankan oleh syarikat penerbitan KataPilar.

Sementara itu, Dr. Fahd Razy merupakan graduan dari Royal College of Surgeon di Ireland dalam bidang perubatan dan kini bertugas sebagai pegawai perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Beliau mula menceburi dunia penulisan kreatif sejak tahun 2000 dan terus konsisten menghasilkan karya dalam pelbagai genre seperti puisi, cerpen, esei, skrip drama, anekdot serta karya bukan fiksyen.

Kepelbagaian bakatnya dapat dilihat melalui penerbitan beberapa buah kumpulan puisi, antaranya termasuklah Menggeledah Nurani (2011) yang memenangi Buku Puisi Terbaik Hadiah Sastera Darul Iman 2013 manakala Kota Subuh (2013) dalam Pertandingan Penulisan ITBM-PENA-BH 2013 dan 2015.

Novel Pascasejarah beliau pula mencatat sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai pemenang utama dalam Pertandingan Penulisan ITBM-PENA-BH 2015, disusuli dengan kejayaan sebagai pemenang Buku Cerpen Terbaik Hadiah Sastera Darul Iman 2017.

Beliau juga dikenali sebagai pengasas Grup Karyawan Luar Negara yang suatu ketika dahulu aktif menyemarakkan kegiatan sastera dalam kalangan pelajar Malaysia di luar negara.

Kini, beliau meneruskan usaha memperkasakan dunia penerbitan melalui syarikat miliknya, Penerbitan Kata Pilar (M) Sdn. Bhd. (KataPilar Books), yang giat menerbitkan buku sastera dan perubatan.

Dalam kerjayanya sebagai penulis dan penerbit, beliau telah meraih hampir 50 anugerah dan pengiktirafan sastera, termasuklah Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Anugerah Buku Negara, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Sastera Darul Iman, Hadiah Sastera Berunsur Islam dan Hadiah Sastera Siswa.

Pelantikan ini dilihat sebagai satu langkah signifikan dalam memperkukuh hala tuju dan peranan DBP sebagai institusi utama yang memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan.

Berdasarkan sumbangan serta potensi beliau dalam dunia penulisan dan penerbitan, Dr. Fahd Razy dijangka membawa perspektif segar dan strategik dalam pembangunan dasar bahasa, sastera dan penerbitan negara.

Kredit Foto: Fahd Razy/Facebook, Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi