Oleh Nasrul BK
Diterbitkan pada 15 Disember 2024, 23:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pekan – Penganjuran sesi forum yang bertajuk “Antara Deklamasi dan Menulis Puisi, yang Mana Lebih Mudah” oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang dengan kerjasama Perpustakaan Awam Daerah Pekan pada kali ini telah menyemarakkan lagi program Karnival Buku Pekan 2024.

Forum yang berlangsung di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah pada 8 Disember yang lalu, menampilkan dua orang ahli panel, iaitu Puan Siti Zulaikha Adam, seorang penggerak Sayap Penulis Muda, Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) dan Encik Muhammad Amirul Afiq Mohamad Lokman, seorang peguam bela dan peguam cara.

Antara perkara yang telah dikongsikan oleh ahli panel dalam forum tersebut termasuklah penulisan puisi dan pendeklamasian sajak yang sememangnya mempunyai cabaran dan stigma yang khusus.

Menurut ahli panel, keterbatasan ekspresi merupakan satu daripada cabaran dan stigma yang sering dihadapi oleh penulis puisi dan mereka yang mendeklamasikan sajak, hal ini kerana puisi memerlukan penulis untuk menyusun kata dengan berhati-hati dan padat akibat ruangnya yang terbatas.

Tambah ahli panel, penulis puisi sering kali berhadapan dengan masalah kekeringan idea atau writer’s block untuk memikirkan tema yang segar dan bermakna terutama bagi mereka yang menulis secara konsisten.

Selain itu, ahli panel turut memerihalkan tentang cabaran besar dalam penjagaan gaya dan struktur puisi yang khusus seperti sonet, haiku, atau pantun sambil mengekalkan kreativiti sekalipun dalam bentuk puisi bebas kerana penulis perlu memastikan setiap kata memberikan kesan.

Malah, ahli panel berpandangan bahawa penerimaan pembaca menjadi sebahagian daripada cabaran tersebut yang mana puisi bersifat subjektif dan tidak semua pembaca akan memahami atau menghargai maksud yang ingin disampaikan.

Pada masa yang sama, pendeklamasian sajak juga tidak terlepas dengan cabaran-cabaran yang tersendiri seperti penguasaan vokal, intonasi dan ekspresi tubuh, khususnya kepada mereka yang kurang berpengalaman dalam seni pertuturan.

Kata ahli panel lagi, cabaran penghayatan puisi dengan sepenuh hati serta perasaan gugup di hadapan penonton perlu diambil perhatian agar sampai kepada pendengar supaya penyampaiannya menjadi lancar dan meyakinkan.

Di samping itu, ahli panel menegaskan bahawa terdapat stigma yang timbul tatkala menulis puisi dan mendeklamasi sajak, iaitu pandangan tradisional terhadap puisi sebagai sesuatu yang “elit” atau hanya untuk golongan tertentu; stereotaip “puisi untuk orang pintar”; kesulitan untuk mendeklamasi sajak di hadapan khalayak serta kurang mendapat penghargaan yang sewajarnya dalam kalangan masyarakat umum.

Justeru, dalam sesi forum tersebut, ahli panel telah mengutarakan bahawa cara untuk mengatasinya adalah menerusi latihan dan pembacaan, menggalakkan penghargaan dengan penganjuran pelbagai acara atau platform serta kepentingan meningkatkan keyakinan untuk mengatasi rasa gugup dan membina keberanian.

“Puisi dan sajak adalah bentuk seni yang sangat berharga walaupun ada cabaran dan stigma, mereka yang mendalami seni ini dapat merasakan kepuasan tersendiri, baik dalam menulis atau mendeklamasinya,” ujar seorang daripada ahli panel.

Sementara itu, forum tersebut dipengerusikan oleh Encik Nasrul Isyam Abdul Hamid yang merupakan pensyarah di Kolej Matrikulasi Pahang merangkap Penolong Setiausaha DPMP Sesi 23/25.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi