Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Seminar Pemikiran Pengarang Wanita Serantau telah memperlihatkan keberhasilan dan sumbangan besar pangarang wanita dari seluruh negara melalui karya sastera yang berkualiti dalam membangkitkan isu-isu kemanusiaan setempat dan global.
Perkara ini dijelaskan dalam seminar yang berlangsung di Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu (APM) anjuran Universifi Malaya (UM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Seminar yang dihadiri sejumlah 178 peserta dan terdiri daripada 16 orang pembentang dari negara-negara serantau seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand akhirnya berjaya menghasilkan tujuh resolusi tentang kemajuan wanita dalam pelbagai bidang kehidupan moden.
Selaku pembuat rumusan dan pelaporan berkenaan seminar itu, YBrs. Profesor Dr. Hashim Ismail telah menggariskan bahawa pengarang-pengarang wanita pada zaman awal banyak memilih isu-isu wanita terutama berkaitan budaya dan tradisi.
Namun, beliau berkata sejak akhir-akhir ini barulah timbul tentang kemajuan wanita dalam pelbagai bidang kehidupan moden malah pengarang-pengarang wanita juga mampu meneroka persoalan universal, lslam dan kemanusiaan sejagat yang bersifat komunikatif, kritis dan membentuk wacana lebih lnklusif dari pelbagai aspek yang berbeza.

Seminar yang dianjurkan bersama Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA) juga jelas menunjukkan kemajuan yang dikemukakan dengan kepelbagaian perspektif sesuai dalam konteks di zaman melebihi interpretasi tradisional.
Resolusi yang ketiga, Pemikiran Pengarang Wanita Serantau begitu dominan dengan isu perempuan dalam berhadapan dengan nuralisme, liberalisme dan humanisme atau pasca tradisi dan wanita dalam lingkungan Islam.
Seterusnya keempat, pengarang-pengarang wanita hari ini telah menunjukkan kepentingan kehadiran pemikiran mereka dalam menyatakan isu-isu wanita semata-mata tetapi isu-isu sezaman yang lebih terbuka dan meluas.
Kelima, pangarang-pengarang wanita menimbulkan fungsi sastera sebagai kritikan sosio budaya pada peringkat domestik atau tempatan dan juga negara masing-masing.
Keenam, pangarang wanita bijak memilih pendekatan atau aliran kepengarangan mereka termasuk pendekatan simbolik, realisme, persejarahan baru, femenologikal falsafah eksistensialisme, dan aliran psikologi
Dan yang terakhir, walaupun masih ada elemen kesenjangan gender, pangarang wanita serantau secara tidak langsung peka terhadap tanggungjawab mereka sebagai pengarang yang berhak untuk memilih antara yang baik dengan yang buruk.
Turut hadir antaranya, Pengerusi Seminar Pemikiran Pengarang Wanita Serantau YBrs Dr. Eizah Mat Hussain, Ketua Bahagian Promosi Dan Pengiktirafan DBP YBrs. Puan Roziah Md Yunus, Sasterawan Negara Datuk Zurinah Hassan dan barisan pengurus tertinggi Akademi Pengajian Melayu.