Diterbitkan pada 6 November 2024, 09:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya Solidariti Penyair dan Seniman Menentang Keganasan, Penjajahan dan Genosida menjadi medan bagi penyair, seniman dan aktivis menzahirkan sokongan kepada Palestin dan menentang Israel melalui kreativiti masing-masing.

Menariknya, acara ini turut disertai oleh aktivis dari Mexico, Costa Rica, India, dan Bangladesh yang sudi mendeklamasikan sajak secara dalam talian.

Solidariti ini telah diadakan di The Strand Mall, Kota Damansara pada 27 Oktober lalu, mengumpulkan kira-kira 100 orang hadirin.

Program kemanusiaan tersebut merupakan anjuran bersama RA Arts Haven, Sekretariat Solidariti Palestin, Palestine Centre of Excellence, International Migrants Alliance, DAYA, PKPIM, PENA, GRASS (Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia), Persatuan Karyawan Laman Karya Lumut (LAKAR), Tenaganita, dan FEM.

Saudara Tian Chua, penggiat masyarakat/politik dan mantan Ahli Parlimen Batu merupakan antara individu yang berusaha menganjurkan program berkenaan untuk menyuarakan sokongan kepada Palestin dan mengutuk keganasan yang dilakukan oleh Israel terhadap negara itu.

Dalam ucapan alu-aluannya, beliau menyatakan bahawa tujuan asal program tersebut adalah untuk menyatakan sokongan kepada Palestin menerusi karya seni, seperti deklamasi sajak dan nyanyian lagu puisi.

“Walau bagaimanapun, perkara tersebut akhirnya berubah kepada lebih umum kerana ramai yang bukan dalam kalangan seniman dan budayawan pun mahu hadir sama-sama untuk bersolidariti.

“Melalui acara solidariti ini, jelas suara-suara seniman dan penyair mampu memberikan impak besar dalam menyedarkan masyarakat mengenai isu global.”

YM Raja Ahmad Aminullah merangkap pengasas RA Arts Haven yang turut membantu Tian memberitahu bahawa program ini dianjurkan tanpa sebarang tujuan keuntungan atau menjana pendapatan.

“Tetapi, saya berbesar hati untuk mengadakannya atas dasar kemanusiaan dan solidariti.

“Saya berharap acara ini dapat menggerakkan kesedaran yang lebih mendalam dalam kalangan masyarakat mengenai penindasan yang dihadapi rakyat Palestin, serta pentingnya solidariti tanpa batasan.”

Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said turut menjayakan program tersebut, ditemani isterinya, Datin Rashidah.

Beliau tetap bersemangat mendeklamasikan sajak beliau yang berjudul “Suara Gaza”.

Selain itu, Nik Jidan menggegarkan suasana dengan dendangan lagu puisi daripada sajak karya Hishamuddin Rais, manakala Rozan Azen menarik perhatian apabila bermonolog dalam sajak yang berjudul “My Name Is Palestine Forever Hell” sambil melemparkan beberapa helai baju dari dalam begnya ke arah hadirin.

Program tersebut turut dijayakan oleh penyanyi Reyhana Yunus, yang mengalunkan lagu Deru Debu.

Turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Tan Sri Syed Hamid Albar, mantan Menteri Luar; Tan Sri Ramli Ngah Talib, mantan Yang Dipertua Dewan Negara; YB Muhammad Izuan Ahmad Kasim, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Damansara; Hishamuddin Rais, aktivis masyarakat/penulis bebas; Ferri Anugerah Makmur, penyanyi/pengacara/penulis; YM Tengku Elida Bustaman, mantan penyampai televisyen; S. Arutchelvan, aktivis politik; Rozan Azen, penulis dan aktivis masyarakat/politik; Nik Jidan, penyanyi dan komposer bebas; serta Benz Ali, saudagar buku/penulis bebas.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi