Diterbitkan pada 14 Oktober 2024, 08:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Brunei Darussalam – Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) 2024 mengetengahkan tema Transformasi Sastera dalam Ekonomi Kreatif, bersesuaian dengan perkembangan arus semasa teknologi komunikasi, informasi dan media.

Tema ini dikembangkan dengan empat subtema, iaitu sastera dalam pasaran ekonomi kreatif, perkembangan dan pengurusan kesusasteraan dalam platform media baharu, pembangunan aplikasi dan produk sastera dalam domain teknologi baharu, dan peranan elit sastera dan ekonomi dalam pemantapan industri kreatif.

Penyampai ucap utama, Prof. Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah (Negara Brunei Darussalam) menyatakan dalam penelitiannya, usaha yang dilakukan oleh penggiat seni memperlihatkan bahawa “ekonomi kreatif” telah membuka pelbagai laluan kepada produk sastera, menjadi entiti ekonomi yang mengarah kepada pembentukan industri kreatif yang produktif, kondusif, relevan, dan mapan.

Prof. Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah

Seramai 10 orang pemakalah telah membentangkan kertas kerja pada kali ini, dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura, dan Jerman.

Malaysia diwakili oleh Prof. Dr. Abdul Halim bin Ali, yang mengupas tajuk “Pengurusan Sastera dalam Era Media Baharu” manakala Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi pula membentangkan tajuk “Mengurus Produk Kesusasteraan dalam Keeksklusifan Industri Kreatif”.

SAKAT diadakan pada 30 September – 1 Oktober 2024 bertempat di Dewan Sarmayudu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Negara Brunei Darussalam.

Program ini merupakan salah satu rangkaian kegiatan Mastera yang diadakan setiap tahun bersempena dengan Sidang Mastera yang bertujuan untuk membincangkan dan mengupas isu semasa berkaitan sastera, sesuai dengan perkembangan masa kini.

Yang Mulia Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam merangkap Pengerusi Mastera Brunei Darussalam dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, “pelaksanaan seminar ini membuka ruang dan peluang perkongsian serta penyebaran ilmu yang berharga, bukan sahaja kepada para pakar, cendekiawan dan intelektual Negara Anggota Mastera, malah juga dari negara Jerman”.

Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit

SAKAT dihadiri oleh perwakilan Negara Anggota Mastera, pakar bidang, penggiat sastera, penulis, karyawan, dan para pelajar universiti.

Tetamu kehormat yang hadir ialah Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Brunei Darussalam.

Kredit Foto: Mastera Brunei Darussalam
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi