Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangProfesor Madya Dr. Ariff Mohamad menyampaikan titip pesan novelis Ahmad Tohari. Sasterawan Indonesia ini telah berkongsi pengalaman penulisan kreatif dan pengetahuan indah bermakna beliau kepada generasi penerus dalam penulisan novel. Titip pesan ini disampaikan dalam sesi ceramah utama melalui perantara dalam talian Program Penulisan Mastera: Novel 2024 di Jakarta 3 September lalu. Sesi ini dikendalikan oleh moderator, Andrei Aksana yang juga pengarang novel Indonesia.
Menurut Ahmad Tohari, tidak menjadi kesalahan untuk berkhayal dan berimaginasi kerana hal itu juga anugerah Tuhan kepada manusia, malah boleh diperkaya keupayaannya untuk berfikir dengan baik dan menghasilkan sesuatu daripadanya, terutamanya karya seni.
Ahmad Tohari menyatakan bahawa penulisan awalnya bermula dalam genre cerita pendek atau cerpen. Setelah agak yakin dalam penulisan cerpen, beliau kemudiannya memilih genre novel. Proses kreatif beliau bermula atas rasa “menulis kerana gelisah” disebabkan oleh situasi sekeliling dalam masyarakat yang dilihat dan dikongsi pengalaman serta perasaannya.
Menurutnya, kesan hidup senafas dengan masyarakat desa kelahirannya dan tempat tinggalnya telah dekat dengan fikiran dan perasaan yang membawa kepada penulisan karya sastera. Novel yang dihasilkannya terinspirasi daripada peristiwa nyata yang kemudiannya dikembangkan dengan imaginasi dan khayalan-khayalan.
Perjalanan kreatif Ahmad Tohari bermula dengan inspirasi karya pengarang-pengarang terdahulu yang dirasakan terlalu hebat sehinggakan beliau tidak yakin dapat mencapai kejayaan untuk menyamai mereka. Kemudian timbul keinginan untuk cuba menjadi seperti mereka. Beliau bermula dengan catatan tentang kecantikan perempuan yang ditemui, kemudian menulis cerita pendek seterusnya menghasilkan novel.
Menurut beliau lagi, tidak menjadi kesalahan untuk berkhayal dan berimaginasi kerana hal itu juga anugerah Tuhan kepada manusia, malah boleh diperkaya keupayaannya untuk berfikir dengan baik dan menghasilkan sesuatu daripadanya, terutamanya karya seni. Malah, beliau memetik kata-kata Albert Enstien, yang paling penting ialah kecerdasan imaginasi bukan intelektual.
Beliau juga menyatakan bahawa imaginasi bagi seseorang pengarang sering berlaku tidak mengira keadaan. Malah, secara bergurau, beliau menyatakan, “Saya juga berkhayal dalam usia saya 77 tahun.”
Dalam perjalanan sebagai sasterawan, baginya yang paling penting adalah untuk melepaskan kegelisahan jiwa. Apabila kegelisahan itu terlampias, bermakna keinginan itu sudah selesai. Menurut beliau lagi, kegelisahan berpunca daripada kegelisahan orang-orang di sekeliling, terutama apabila mereka diperlakukan secara tidak adil dalam suasana hidup masyarakat atau situasi politik pada zaman itu.
Apabila bercerita tentang penghasilan novel mahakarya beliau, Ronggeng Dukuh Paruk (1965), Ahmad Tohari menyatakan bahawa novel ini mengambil masa 15 tahun untuk diselesaikan. Ketika beliau menghasilkan Ronggeng Dukuh Paruk, suasana politik agak menekan, membuatkan beliau dan penulis lain perlu berhati-hati demi keselamatan. Jadi, beliau perlu bersabar menunggu masa untuk menyudahkan dan menerbitkan karya tersebut sehingga keadaan mengizinkan. Selain itu, terdapat “hambatan batin” dalam penulisan beliau itu kerana antara ronggeng (istilah yang dimaksudkan juga “yang boleh dipakai” dalam pengertian kiasan sosial) sedangkan beliau tinggal dalam masyarakat pesantren yang mengamalkan agama Islam yang teratur.
Penceritaan novel Ronggeng Dukuh Paruk mempunyai kaitan peribadi dengan pengalaman sebenar yang mana beliau sendiri pernah berjumpa dengan perempuan seperti yang digambarkan dalam novel itu, iaitu kisah perempuan muda yang ditahan oleh pemerintah dan diperlakukan dengan tidak sewajarnya.
Ahmad Tohari turut berkongsi kenangan lalunya. “Novel saya tulis mempertaruh banyak hal. Setelah terbit saya dipanggil penguasa di Jakarta kerana saya dikatakan sisa-sisa orang komunis di pesantren. Saya dipanggil hingga lima kali ke Jakarta. Dijangka masuk penjara kecuali pertolongan daripada tentera, mereka minta nama untuk menjadi penjamin. Tentera takut dengan nama yang disebutnya itu lalu dibebaskan. Nama itu ialah Abdul Rahman Wahid.”
Dalam usaha menyiapkan penulisan novel tentunya ada halangan dan cabaran. Cara yang paling mudah untuk beliau menghilangkan keresahan itu ialah banyak bergaul dengan masyarakat setempat. Dalam pengalamannya, beliau menyatakan pernah mengerjakan solat di lantai gereja. Kata beliau, “Bumi ini milik Tuhan, memperluas pergaulan dengan setiap agama tiada kesalahan.”
Perkongsian ilmu dan pengalaman Ahmad Tohari diteruskan dengan pertanyaan daripada hadirin. Antaranya termasuklah, apakah perbezaan antara karya berat dengan karya ringan. Baginya, karya berat adalah untuk pengalaman batin yang memerlukan pengetahuan umum yang cukup. Selain itu, seseorang pengarang perlu menguasai bahasa dengan baik agar hasil penulisan enak dibaca.
Beliau juga menceritakan cara untuk mengembangkan novel menjadi trilogi atau tetralogi, iaitu memerlukan ruang dan kerehatan. Setelah kembalinya tenaga, kembalilah berkarya.
Beliau juga menyatakan, “Novel saya menggunakan bahasa sederhana dan mudah difahami. Saya punya pengalaman sebagai editor akhbar, bahasa yang mudah dan tidak perlu diedit kembali.” Beliau tidak menafikan bahawa dalam karya memang penting ada irama dan jalinan keindahan bahasa, tetapi tidak semestinya.
Apabila ditanya tentang rendahnya minat membaca anak muda sekarang, beliau menyatakan bahawa anak-anak muda lebih berminat pada media sosial namun buku bercetak itu tetap tidak dapat ditinggalkan, walaupun media sosial kini sangat penting.
Peserta juga bertanya tentang daya tahan sebagai penulis dan bagaimana beliau berupaya menulis cerita yang panjang. Ahmad Tohari menjelaskan berdasarkan pengalamannya dengan cara, “Harus istirahat, menemui orang-orang di tempat mereka, mendengar suara dan getaran mereka.”

Pertanyaan yang sering ditimbulkan dalam kalangan pengarang muda ialah masalah penulisan yang sukar dimulakan. Beliau menasihatkan, “Apa yang masuk sebagai kalimat pertama dalam kepala, cukuplah enam baris, tulis sahaja apa yang ada dalam fikiran.”
Beliau juga menyatakan ,”Kepengarangan ialah sebuah proses. Awalnya untuk menjadi penulis ialah menjadi pembaca dahulu. Bacalah karya-karya besar. Sebelum menjadi penulis, jadilah pembaca dahulu.”
Mengakhiri wacana yang mengujakan ini, Ahmad Tohari menyampaikan pesan, “Jadilah penulis yang ingin melahirkan kegelisahan dalam hati. Pembaca akan mendapat nilai yang sesuai dalam kehidupan mereka. Jangan menulis keburukan orang. Itu bukan tugas sasterawan.” Beliau menambah, ”Sasterawan sepatutnya konsisten dari muda hingga tua, contohnya Pramoedya beraliran sosialis. Dalam sastera, hak ekspresi seseorang harus dihormati.”
Nasihat dan pesan Ahmad Tohari diakhiri dengan pengungkapan popular yang bermaksud, “aku menulis maka aku lahir” yang sebaliknya, “jika aku tidak menulis, aku tidak wujud di dunia ini.”
Program Penulisan Mastera 2024: Novel yang diadakan pada 2 hingga 6 September di Mercure Hotel, Ancol, Jakarta menghimpunkan 21 peserta dari empat negara, iaitu Indonesia, Malaysia, Singapura, dan Brunei Darussalam dengan penceramah utama Ahmad Tohari bersama-sama empat narasumber sebagai pembimbing program, iaitu Oka Rusmini, Andrei Akasana, Fanny J. Poyk dari Indonesia dan Ariff Mohamad, mewakili Malaysia.

_________________________
Ariff Mohamad (Profesor Madya Dr.) ialah pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Beliau penulis Makna Siratan dalam Novel Politik Melayu (DBP, 2024).