Diterbitkan pada 27 Mei 2024, 15:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Miri – Miri sebagai Bandar Bestari adunan sastera dan teknologi telah diketengahkan dalam wacana Citra Bandar Miri 2024 di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, baru-baru ini.

Wacana yang berkisar tentang “Citra Kota Bestari dalam Antologi Puisi Miri” telah diulas oleh tiga orang panel, iaitu Encik Ja’afar Haji Hamdan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS), Encik Mohamad Faizal Jamil, Persatuan Karyawan Sastera Sarawak dan Puan Jerrah Pandin dari SMK Baru Miri serta moderator, Encik Abang Median Abang Said dari Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA).

Dalam sesi ini, ketiga-tiga panel senada bahawa memunculkan Miri sebagai kota yang diimpikan, perlu mengolah pemikiran, pandangan dan perspektif penduduk setempat tentang bandar raya ini.

Peranan puisi amat penting dalam pembangunan bandar raya yang bestari melalui dapatan kajian, penelitian budaya, gaya hidup, dan pengalaman penduduk.

“Kota adalah suatu permukiman yang relatif besar, padat, maju, dan terdiri daripada kelompok individu yang heterogen dari segi sosial.”

“Segala keanekaragaman, denyut hidup dan nadi kehidupan yang berlaku di kota itulah yang lazimnya menjadi sumber inspirasi untuk para penulis, khususnya penyair untuk berkarya.”

Melalui komponen tadi,  puisi-puisi tersebut diterbitkan dalam tiga buah buku iaitu Miri, Kota Cinta, Miri, Kota Bianglala dan Miri, Kota Inspirasi.

Sesi kedua menampilkan Cr. John Terawe, Encik Alpha Ngadan dan Jonny Luhat membincangkan citra Miri melalui sastera dan teknologi.

Terdahulu dalam sesi sebelum ini membincangkan “Ke Arah Miri Kota Bestari”, telah menampilkan Cr. John Terawe, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Pelancongan, Majlis Bandaraya Miri, Encik Alpha Ngadan, Universiti Curtin Sarawak dan Encik Johnny Luhat, Jabatan Pertanian Sarawak.

Cr. John memulakan perbincangan  dengan memberi pendapat bahawa pembangunan Miri perlu bergantung kepada penggunaan teknologi yang semakin pesat.

Menurutnya lagi, kesan COVID-19 telah memberi kesedaran yang tinggi kepada masyarakat untuk menerima penggunaan teknologi dalam setiap aspek kehidupan seperti pembayaran secara dalam talian serta wujudnya norma bekerja dari rumah (secara dalam talian).

Encik Alpha Ngadan selaku panel kedua pula berpandangan bahawa pentingnya mendidik masyarakat tentang pembangunan aplikasi-aplikasi yang digunakan di bandar raya Miri agar memudahkan kehidupan seharian mereka.

“Sebagai contoh dalam bidang pertanian pula, penggunaan teknologi dalam tanaman seperti hidroponik dan fertigasi juga perlu diperkenalkan kepada masyarakat di Miri.” Ujar beliau.

Panel seterusnya, Encik Johnny Luhatpula menyatakan pembangunan aplikasi seperti Borneo Parking System, kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bandar raya Miri harus dikemas kini selalu untuk menjamin keselamatan warga Miri.

Wacana ini diteruskan dengan Majlis Penangguhan Wacana Citra Bandar Raya Miri 2024 yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Sebastian Ting Chiew Yiew, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan 1.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi