Diterbitkan pada 23 Jun 2025, 10:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sempena Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka yang ke-69, Dr. Muhaimin Sulam memberikan sepatah dua kata demi mengobarkan “Obor Semangat nan Abadi” buat semua pencinta bahasa dan sastera.

Peraturan sangat penting demi mencapai cita-cita bangsa. Namun begitu, jangan sesekali segala peraturan itu mengikat kreativiti dan cita-cita tinggi bahasa dan sastera untuk memartabatkan bangsa.

Pada sesi pertama pemerintahan Pakatan Harapan yang dipimpin oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Pendidikannya YB Dr. Maszlee Malik, saya dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu. Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika itu, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran. Jawatankuasa ini berperanan menasihati kerajaan berkaitan dengan dasar dan perancangan bahasa kebangsaan.

Tugas tersebut secara tidak langsung meletakkan diri saya dalam kerangka birokrat yang bertanggungjawab dalam segala hal ehwal tentang bahasa Melayu dan juga sastera kebangsaan. Birokrat ialah sebahagian daripada deep state ataupun “daulah terpendam dalam minda”. Meski jawatankuasa ini secara teorinya tidak mempunyai kuasa, tetapi istilah “menasihati” DBP ialah sebahagian daripada makna kuasa. Tempoh jawatan itu ialah tiga tahun.

Dalam tempoh tersebut, saya tidak berkesempatan berbincang dengan menteri secara peribadi. Jika bertemu hanya sempat bersalaman dan bertanya khabar sahaja. Tidak pasti sama ada tiada program tertentu atau masing-masing sibuk dengan jadual masing-masing. Tidak lebih daripada itu. Bagaimana hendak menasihati menteri dan kerajaan? Bukan kerja senang untuk menasihati menteri!

Walau bagaimanapun, tempoh tersebut membuka ruang untuk saya lebih berinteraksi dengan karyawan DBP (semua yang bekerja di sini dikenali sebagai karyawan) secara langsung dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan. Jambatan ini sangat penting bagi menghubungkan kepelbagaian kepentingan apabila berhadapan dengan cabaran semasa dan akan datang. Melalui hal itulah akan mewujudkan keserasian hubungan dalam sistem birokrasi kerajaan.

Slogan DBP, “Bahasa Jiwa Bangsa” ialah frasa pemikiran dan kejiwaan. Fikiran yang dijiwai itulah yang akan menghimpunkan seluruh keupayaan dan potensi karyawan DBP menjadi kekuatan bahasa, bangsa dan negara. Jiwa inilah yang seharusnya menjadi “daulah terpendam dalam fikiran” para karyawan DBP. Mereka bekerja secara bersama, sama ada secara sedar atau tidak bahawa setiap upaya mereka ke arah menghidupkan bahasa bangsa. Kekuatan bahasa dalam membina negara sering diabaikan dengan fatamorgana angka di bursa atau ukuran ringgit. Kekuatan bahasa sering ditunggang oleh mereka yang bankrap idea demi meraih sokongan.

Dari segi perundangan, peranan nasihat ini lebih bersifat sebagai rujukan dan panduan kerana kuasa yang sebenar terletak pada tangan pihak legislatif dan eksekutif. Bekerja dalam sistem birokrasi memang banyak garis panduan, peraturan dan dasar. Dalam buku Mutiara Kata Sasterawan Negara, Sasterawan Negara Usman Awang dalam “Benarkah Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul?” pernah menulis: “manusia telah menghabiskan waktunya untuk membuat segala macam peraturan dan mengawas pelaksanaan peraturan-peraturan.”

Peraturan sangat penting demi mencapai cita-cita bangsa. Namun begitu, jangan sesekali segala peraturan itu mengikat kreativiti dan cita-cita tinggi bahasa dan sastera untuk memartabatkan bangsa. Di setiap lubuk sanubari karyawan DBP, tertanam semangat untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sepenuh jiwa. Hal ini termasuklah Pengerusi, Ahli Lembaga Pengelola, Ketua Pengarah, pengurusan tertinggi, pegawai, kerani, pemandu, hinggalah ke pengawal keselamatan. Tuntutan amanah yang dipikul datang daripada jiwa yang menjadi slogan keramat DBP. Bukannya datang daripada habuan kebendaan, kedudukan dan nama. Terlalu banyak hal tersebut yang telah menimbulkan sejarah pertelingkahan yang tidak berkesudahan.

Negara kita bukan sekadar memerlukan kepimpinan yang peka terhadap perjuangan bahasa tetapi menjadi pencetus semangat bahasa jiwa bangsa.

Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu itu dianggotai oleh pakar dalam bidang bahasa dan linguistik Melayu, pendidikan dan terjemahan, serta mempunyai iltizam yang tinggi untuk kemajuan bahasa Melayu. Saya bukanlah ahli bahasa, jauh sekali lulusan daripada disiplin linguistik atau tatabahasa.

Dalam bulan Februari tahun lepas, saya menerima surat pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pengelola DBP yang ditandatangani oleh Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek. Anggota ini merupakan lembaga tertinggi dalam hierarki birokrasi DBP. Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan di bawah Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959, berfungsi untuk membentuk dan melaksanakan dasar-dasar bagi mencapai matlamat penubuhan DBP. Lembaga ini bermesyuarat sebanyak empat kali setahun.

Ahli Lembaga Pengelola DBP dipengerusikan oleh Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridwan yang dilantik pada September 2023. Lembaga Pengelola DBP yang terdiri daripada 17 anggota, lima orang ahli dilantik atas jawatan bagi menjadi wakil tetap Kementerian Pendidikan Malaysia, wakil Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, wakil tetap Setiausaha Perbendaharaan, dan wakil tetap Peguam Negara.

Manakala seorang ahli dilantik atas perkenan Majlis Raja-Raja yang diwakili oleh Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Pemegang Mohor Besar Raja-raja. Empat anggota jemputan terdiri daripada pengurusan tertinggi DBP, yang diketuai oleh Ketua Pengarahnya. Melihat barisan anggota lembaga tersebut, pemilihan saya mungkin lebih berasaskan “mempunyai iltizam yang tinggi” untuk memajukan bahasa dan sastera kebangsaan. Perjuangan bahasa sememangnya memerlukan kuasa politik. Namun begitu, politik yang dangkal hanya merosakkan pembinaan negara bangsa yang berdaulat.

Kedatangan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebanyak enam kali dalam program DBP sepanjang tempoh tahun 2024 ialah isyarat kuat iltizam politik Perdana Menteri terhadap DBP. Saya hanya berkesempatan turut hadir dalam beberapa program tersebut; Teater Haji Murat, Pelancaran Bulan Bahasa Peringkat Kebangsaan dan Manifestasi Tiga Seni. Begitu juga dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang turut kerap turun ke DBP.

Sejarah perjuangan Anwar Ibrahim terhadap bahasa kebangsaan sejak zaman mahasiswa hingga kini tidak dapat dipertikaikan. Negara kita bukan sekadar memerlukan kepimpinan yang peka terhadap perjuangan bahasa tetapi menjadi pencetus semangat bahasa jiwa bangsa. Cabaran bahasa kebangsaan semasa menuntut kebolehan masyarakat untuk mencerakinkan seribu satu jalan untuk memperkukuh penggunaan bahasa Melayu di tanah air dan melebarluaskan ke peringkat antarabangsa.

Isyarat itu perlu diterjemahkan oleh semua pihak. Hal ini sewajarnya menjadi komitmen kepada menteri kabinet, kakitangan kerajaan, penyokong idea Malaysia MADANI dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Salam Ulang Tahun DBP ke-69. Teruskan mengorak “Obor Semangat nan Abadi” dalam setiap “Bahasa Jiwa Bangsa” kita.

_________________________

Muhaimin Sulam (Dr.) ialah Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau penulis buku Akar Bangsa: Budaya Naratif dan Identiti (2019) dan memoir Aku Melayu di Kota Inggeris (2013).

Kredit Foto: Dewan Bahasa dan Pustaka
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi