Diterbitkan pada 28 Mei 2025, 22:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sastera Melayu tidak terkecuali daripada anjakan ledakan revolusi yang membawa kepada perubahan signifikan secara berterusan mengikut peredaran zaman.

Penerima SEA Write Award (Malaysia) 2010, YBrs. Sdr. Zaen Kasturi berkata, revolusi sastera Melayu akan sentiasa bergerak atau berlaku dengan rentaknya yang tersendiri.

Dr. Shamsudin Othman (kiri) mendengar pandangan Zaen Kasturi dalam bual bicara langsung di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.

“Seperti juga teknologi yang sentiasa berkembang ke depan, sastera pun sama, ia tidak akan ke belakang tetapi, caranya tidak sama.

“Perkembangan atau perubahan teknologi boleh dilihat dan boleh didengar. Tetapi sastera tidak begitu. Sebab itu ramai orang cakap sastera tertinggal ke belakang apabila dunia ini pesat dengan arus kemodenan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi bual bicara Singgah Sembang PENA yang diadakan di reruai Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025, petang semalam.

Sesi bual bicara yang dikendalikan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia YBrs. Dr. Shamsudin Othman itu membincangkan topik “Revolusi Sastera Malaysia”.

Mengulas lanjut, Zaen berkata, pengertian revolusi dalam konteks pembangunan sastera Melayu sangat luas, bukan hanya menjurus kepada proses kreativiti penciptaan karya semata-mata, walaupun tema yang diangkat adalah sama seperti cinta, kemiskinan, alam, dan sebagainya.

“Contohnya dalam soal tema kemiskinan, dari dahulu sampai sekarang ramai orang menulis tentang kemiskinan tetapi untuk merevolusikan naratif tema yang sama itu mungkin kita boleh ambil dari sudut persoalan apa, siapa atau sebagainya yang membuatkan kemiskinan itu.

“Bagi saya, mengambil apa yang ada di belakang untuk dibawa ke hadapan sebenarnya juga satu proses revolusi dalam sastera. Kalau kita hanya melihat ke hadapan sahaja tanpa menoleh ke belakang, ruang sastera akan menjadi sempit,” katanya.

Tambahnya, makna revolusi dalam sastera mencakupi idea, ruang, persoalan, penghayatan, kreativiti, perspektif, pemikiran, malah elemen-elemen lain yang terdapat dalam sastera.

Dalam perkembangan berkaitan, tokoh sastera tanah air itu memberitahu bahawa seorang penulis harus sentiasa belajar meningkatkan kesabaran untuk mengangkat karya kepada yang lebih bermakna dan sedia menerima kritikan dengan sikap yang terbuka.

“Paling penting, sedia terima kritikan secara lapang dada. Masalah betul atau tidak kritikan itu soal lain.

“Kita kena hormat kerja pengkritik. Sekurang-kurangnya dari situ, mungkin wujud inspirasi baharu yang tidak pernah terfikir oleh kita sebelum ini.

“Ini juga sebahagian daripada revolusi dalam sastera. Tidak senang pada kritikan itu maknanya masih belum profesional lagi. Kalau dikritik kita marah, itu saya rasa tidak lama,” katanya.

Kredit Foto: Stephanie Harlacher/Unsplash dan PENA
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi