Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMiri – Adzharye Johari dari Limbang telah dinobatkan sebagai johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Peringkat Sarawak 2024 sekali gus akan mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan, kelak.
Beliau yang mendeklamasikan puisi berjudul “Naluri Pewaris Bangsa” karya Zainal Mohd. Jais menampilkan persembahan yang memukau dan mengetepikan cabaran sengit daripada sembilan peserta lain.
Naib johan disandang oleh Khalid Husseini Tuah juga dari Limbang yang merupakan johan menunggu pada tahun lepas. Beliau mendeklamasikan puisi berjudul “Merah Bunga Darah Wira” karya Istajib Mokhtar. .
Tempat ketiga pula dimenangi oleh Adam Bakhtiar Buck Lee Abdullah yang mewakili Miri. Beliau mendeklamasikan puisi berjudul “Warisan Keberanian” karya S.M. Noor.
Manakala seramai tujuh orang peserta lain menerima hadiah sagu hati, iaitu Alya Adli (Kuching), Mohamad Daud Ahmad (Bintulu), Dr. Mohamad Nik Mat Pelet (Mukah), Muhammad Firdaus Yusop (Miri), Nor Azura Morshidi (Betong), Sitti Hasmah Lahapi (Miri) dan Zaki Khan Mat (Sibu).
Sayembara ini diadakan adalah untuk mengetengahkan bakat-bakat pendeklamasi dari seluruh Sarawak bagi memilih seorang wakil ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Shah Alam, Selangor pada 29 Ogos nanti.
SDPK Peringkat Sarawak 2024 ini juga diadakan bersempena dengan Dialog Teluk ke-11 yang berlangsung selama tiga hari di Bandar Raya Miri.
Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Hazami Jahari dengan diringi oleh Presiden GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai dan Ketua Satu PUTERA, Encik Zainal Abidin Suhaili.