29 Jun 2024, 22:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Damansara – Walaupun Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman sudah meninggal dunia, dirinya masih “hidup” dalam ingatan peminat sastera.

Allahyarham yang dikenali sebagai tokoh penyair terus dikenang oleh peminat sastera dalam majlis apresiasi.

Bakat dan sikap keprihatinannya terus dipuji oleh khalayak.

Menurut penulis dan penyair, Raja Ahmad Aminullah, “Walaupun Pyanhabib orang kurang upaya kerana telinganya tidak boleh mendengar (kerana diserang oleh demam panas ketika berusia 12 tahun), namun apabila mendengar sajak yang dideklamasikannya dengan cara tersendiri, pasti akan menyentuh hati orang yang mendengar.”

Raja Ahmad Aminullah.

“Allahyarham merupakan seorang yang sangat baik dan tidak menolak undangan rakan-rakan sama ada untuk bersantai ataupun menghadiri program sastera.

“Allahyarham juga seorang yang santun dan prihatin terhadap golongan gelandangan, miskin kota dan sebagainya,” katanya dalam program Santai Seniman: Edisi Khas Kemanusiaan dan Apresiasi Pyanhabib di Strand Mall, yang dianjurkan oleh RA Arts Haven, petang tadi.

Menurutnya lagi, Pyanhabib merupakan seorang seniman yang hebat kerana mampu menulis dan membaca puisi yang dapat menarik perhatian khalayak.

“Kehilangannya sukar dicari ganti,” ujarnya.

Saya juga sangat menghormati Allahyarham Pyan kerana beliau sanggup menolak anugerah dalam Festival Filem Malaysia.

“Hal ini memperlihatkan jiwa Pyanhabib sebagai seorang seniman.

“Perkara itu menunjukkan Pyanhabib seorang yang tidak mengejar kebendaan seperti anugerah dan sebagainya,” jelas Raja Ahmad.

Panel undangan, Adlina Ghazali ketika mendeklamasikan puisi.

Program Santai Seniman: Edisi Khas Kemanusiaan dan Apresiasi Pyanhabib ini diadakan bagi menghargai Pyanhabib bersama-sama peminat sastera.

Selain itu, program tersebut bertujuan untuk menghimpunkan pengkarya sastera daripada pelbagai bidang.

Antara panel undangan yang turut berkongsi pengalaman hidup bersama-sama allahyarham termasuklah Sani Sudin.

Dalam program ini juga, para undangan bersolidariti membantah kekejaman Israel terhadap Palestin.

Encik Samer Allawi, Ketua Biro Al Jazeera juga turut diundang untuk menceritakan penderitaan rakyat Gaza di Palestin.

Usaha ini turut dikaitkan dengan sikap Pyanhabib yang mementingkan soal kemanusiaan.

Ketua Biro Al Jazeera, Samer Allawi berkongsi maklumat tentang penderitaan rakyat Gaza di Palestin.

Panel undangan yang mendeklamasikan puisi dalam program ini ialah Bundo Hearty, Adlina Ghazali, Nuning Purnama dan Shinta Miranda.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.