Oleh Rosli K. Matari
20 Jun 2024, 14:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari menulis belasungkawa, penghormatan terakhir mengenang penyair Allahyarham Zulkifli Mohd Zain. Tokoh ini penyair mapan Kelantan pada dekad 1980-an hingga 1990-an.

Pada dekad 80-an, beliau muncul menapakkan langkahnya sebagai bakat pemula dan penyair muda. Selanjut, sepanjang dekad 90-an, beliau sudah pun berupaya dan berjaya berdiri sebagai antara penyair beridentiti dan berwibawa, berserta dengan kreativitinya yang prolifik.

Penyair Allahyarham Zulkifli Mohd Zain diuji dengan dugaan hidup oleh Allah SWT, Tuhan Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui, menghidap angin ahmar selama 13 tahun.

Allahyarham Zulkifli Mohd Zain

Tabah sekali, beliau menerima dan reda pada suratan takdir, ketetapan Ilahi. Pernah dirawat di hospital. Menjelang hujung hayat, beliau terlantar di kediamannya, di desa terpencil yang terletak di Kampung Keting, daerah Gunong, Jajahan Bachok, Kelantan. Kemudian, kira-kira setahun, bergantung harapan hidup hanya dengan minuman susu melalui tiub yang disalurkan ke hidungnya.

Begitu besar ujian hidup ke atas dirinya, namun besar pula akan kasih sayang dan rahmat daripada Allah SWT pada dirinya.

Beliau menghembus nafas akhir, berpulang ke rahmatullah pada Khamis malam Jumaat, jam 12.21, 7 Jun 2024. Keesokannya, pagi Jumaat, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kechik, tidak jauh dari kediaman desa asalnya.

Malahan, di desa yang masih utuh kental dengan nurani silaturahim dan ukhuwah, berpusu-pusu begitu ramai orang kampung, di samping waris-warah keluarga, datang menziarahi serta solat jenazah Allahyarham.

Jumaat ialah hari mulia, penuh berkat, yang dikenali dalam Islam sebagai Penghulu Hari. Demikian, Al-Khaliq memuliakan akhir hayat Allahyarham dalam dugaan getar-getir, lekuk liku perjalanan hidupnya.

Penyair Allahyarham Zulkifli Mohd Zain merupakan salah seorang penyair mapan di tanah air sepanjang rentang dekad 1980-an hingga 1990-an. Beliau mungkin merupakan penyair Kelantan yang tidaklah begitu diketahui atau masyhur dalam kalangan generasi penulis muda masa kini.

Lebih asing lagi kerana ketara beliau sudah tidak prolifik mengisikan sumbangan kreativitinya dalam dekad sastera mutakhir tanah air. Lantaran, keuzurannya yang sebegitu daif.

Namun, suatu masa lalu, Allahyarham merupakan antara penulis dan aktivis sastera yang ikut memberikan sumbangan penting terhadap perkembangan dan kedinamikan kesusasteraan Kelantan serta tanah air.

Jika khas dalam konteks kesusasteraan Kelantan, Zuklifli Mohd Zain terbaris sebagai salah seorang penyair ternama.

Pada dekad 80-an, beliau muncul menapakkan langkahnya sebagai bakat pemula dan penyair muda. Selanjut, sepanjang dekad 90-an, beliau sudah pun berupaya dan berjaya berdiri sebagai antara penyair beridentiti dan berwibawa, berserta dengan kreativitinya yang prolifik.

Puisi beliau menemukan pengucapan bahasa biasa, namun indah, halus dan menarik sebagai mandiri pada jati diri kepenyairannya. Beliau konsisten dengan keunggulan dan keistimewaan gaya pengucapan sedemikian, sepanjang hayat kreativitinya.

Namun pada kadar sedikit, dapat ditemui juga beberapa buah puisinya yang tampak jelas berkecenderungan mengutamakan simbol dan anjakan makna pada penggunaan citra tertentu dalam pengucapannya.

Sepanjang dekad 80-an hingga 90-an, boleh dikatakan puisi beliau termuat dalam hampir semua majalah ternama dan akhbar perdana di tanah air, termasuklah Dewan Sastera.

Beliau menulis dengan memakai nama penuhnya, Zulkifli Mohd Zain. Namun sesekali menggunakan nama samaran Zuklifli MZ dan Dzul MZ. Sebahagian besar kepengarangannya lebih menjurus pada puisi, walaupun terdapat juga di sana sini beberapa cerpen yang dihasilkannya.

Namun begitu, penyair penting ini berpulang ke rahmatullah tanpa sempat memiliki kumpulan puisi persendirian. Sekurang-kurangnya, beliau berpeluang memiliki dua buah kumpulan, jika ingin mengambil pilih daripada sejumlah puisinya yang pernah tersiar.

Kehadirannya semata-mata berasa gembira, memberikan sokongan moral kerana program bimbingan Kesusasteraan Melayu Komunikatif itu dianjurkan.

Tempat kediamannya lebih dekat jalannya untuk menghala ke Jajahan Pasir Puteh. Maka, beliau menjadi ahli pada Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA) yang berpusat di Pasir Puteh.

Sekian lama, Allahyarham menganggotai PUSPA sebagai ahli biasa dan kemudian menjadi ahli jawatankuasa persatuan yang dipimpin oleh penyair terkenal, Abham TR (dianugerahi Tokoh Sastera Kelantan) sebagai Ketua Satu. Seterusnya, beliau pernah memegang jawatan Ketua Dua bagi PUSPA selama kira-kira 10 tahun.

Sungguhpun lebih aktif dalam PUSPA, namun beliau turut menganggotai Persatuan Penulis Kelantan (PPK). Di samping itu, beliau sering tidak melepaskan peluang menyertai apa-apa sahaja program oleh PPK, Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dan juga Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT).

Beliau begitu akrab dengan banyak sahabat. Selain dengan diri penulis sendiri, antara lain lagi termasuklah penulis terkenal Abdul Hadi Yusoff (Setiausaha Satu PPK), Zainal Abidin Muhamad (Ketua Satu GEMA) dan Muhamad Ikhram Fadly Husin (pegawai DBPWT).

Tidak harus dilupakan untuk turut disebutkan di sini ialah Abdul Razak Ismail yang lebih dikenali sebagai CT Puspa, di samping satu lagi nama gelarnya, Jak Arill. Beliau juga merupakan penyair, meski lebih terkenal dengan keterampilannya sebagai dalang wayang kulit dan juga seniman budaya.

Abdul Razak Ismail merupakan sahabat beliau yang paling karib. Diketahui, keakraban persahabatan beliau dengan Abdul Razak sekian lama sejak zaman awal muda lagi, terutama atas tiga faktor yang berikut.

Pertama, tempat kediaman mereka. Zulkifli di Keting dan Abdul Razak di Aril tidaklah berjauhan kerana dalam jajahan (daerah) yang sama.

Kedua, mereka biasa saling bertemu dan berbincang bersama, mengentalkan minat, bakat dan kreativiti.

Ketiga, walau sehingga meningkat dewasa, pada masa senggang, mereka tetap kekal saling beraktiviti mendeklamasi puisi dan menghiburkan diri dengan apa-apa sahaja kreativiti sastera dan seni budaya secara spontan.

Dua sahabat karib; seorang mendeklamasi puisi dan seorang lagi menggesek rebab.

Misalnya, Zulkifli mendeklamasi puisi sambil Abdul Razak pula menggesek rebab. Kadang-kadang, deklamasi dan gesekan itu adalah di kedai kopi di kampung mereka, sambil-sambil mengeteh atau mengopi. Betapa indah kenangan mereka berdua.

Dari sisi penulis sendiri turut memiliki beberapa kenangan bersama-sama beliau. Salah satunya semasa beberapa tahun nan lalu ketika menganjurkan program Kesusasteraan Melayu Komunikatif. Program ini bagi membantu para pelajar Tingkatan Enam Atas di Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh, Kota Bharu.

Program dianjurkan oleh Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) Cawangan Negeri Kelantan. Pengerusi PENYAIR Kelantan ketika itu ialah Ilmin Abdullah (Allahyarham). Dipilih sekolah menengah itu bagi program tersebut kerana kami prihatin, namun juga atas komitmen untuk membantu. Sekolah menengah itu merupakan antara sekolah tinggi yang masih sanggup menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif kepada pelajar.

Diundang hadir ialah Dato’ Rahman Shaari (ketika itu belum dinobatkan sebagai Sasterawan Negara) kerana beliau tokoh yang cukup berkemahiran untuk membimbing hal sastera. Malah, pengetua, penolong kanan dan semua guru subjek turut turun padang.

Kira-kira satu jam sedang berlangsung ceramah oleh Rahman Shaari, penulis turun ke bawah bagi memastikan persiapan makanan. Alangkah terkejut penulis apabila mendapati Zulkifli sedang berada di suatu lokasi. Beliau tidak mungkin mendaki tangga bangunan, lantaran keuzuran lumpuhnya. Pada masa itu, beliau masih boleh berjalan dengan tongkat, walau terenjut-enjut, tergoyang-goyang.

Lebih mengejutkan dan mengharukan, beliau cekal memandu sendiri datang. Padahal, jarak di antara kediamannya di Kampung Keting (Bachok) ke Ketereh (Kota Bharu) bukanlah dekat.

Penulis menyangka beliau berkeperluan untuk berbincang apa-apa. Namun tidak. Kehadirannya semata-mata berasa gembira, memberikan sokongan moral kerana program bimbingan Kesusasteraan Melayu Komunikatif itu dianjurkan.

Tercengang penulis. Beliau guru sekolah rendah. Bukan guru sekolah menengah, tiada berkaitan dengan Kesusasteraan Melayu Komunikatif.

Malah, beliau sudah agak lama mengundurkan diri daripada dunia persekolahan. Dinasihatkan bersara awal oleh pihak pendidikan bagi kepentingan kesihatannya. Sekolah Kebangsaan Pak Badol di daerah Melor (Kota Bharu) merupakan tempat terakhir beliau mencurahkan baktinya sebagai pendidik.

Lantaran itu, penulis terharu, malah cukup terharu kerana beliaulah satu-satunya penulis yang besar jiwanya.

Cinta dan harapannya begitu besar agar mudah-mudahan, subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif kekal diajarkan kepada para pelajar. Beliau sedar, sebegitu banyak sekolah menengah di tanah air sudah semakin bersikap longgar untuk mementingkan pembelajaran Kesusasteraan Melayu.

“Jagalah, Li. Sudah sangat banyak sekolah tidak ingin mengambil Sastera Komunikatif,” ujarnya, sebelum mengangkat kaki melangkah pergi. Hasrat dalam pesan itu, mungkin kerana beliau tahu pada tahun sebelumnya, penulis melalui inisiatif komitmen PERADABAN, DBPWT dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan sudah pernah menganjurkan program ini (bagi kalangan guru).

Mendengar pesan dan hasrat itu, penulis hanya diam, menyedari bahawa walau sebesar sekelumit debu, tidak akan mampu sama sekali memenuhi harapan tersebut.

Malah, tentu beliau turut sedar, hasratnya sendiri itu pun, juga bagaikan utopia pada fenomena dalam pendidikan negara terkini. Arus pendidikan sudah berubah. Lain hulu, lain parang.

Demikian hal ini dapat direnung dan diselami: Kehebatan cinta, kesedaran dan harapan tinggi daripada seorang tokoh penulis yang lumpuh dan tidak berdaya upaya lagi, terhadap peranan serta kepentingan kesusasteraan. Hal ini kekal abadi sebagai sejuring kenangan dalam ingatan penulis.

Sampai kini, penulis tergenang air mata, jika sesekali terkenang pada peristiwa kecekalan beliau hadir menitipkan harapan itu.

Salah satu lagi kenangan ialah renungan dan keinsafan beliau pada hakikat hidup. Ketika itu, kami kebetulan bertemu dalam suatu majlis kenduri perkahwinan di Jelawat, Bachok. Penulis bertanyakan diri dan kesihatannya. Beliau tidak mengeluh pada dugaan hidup yang dialami dan harus dilaluinya itu.

Pada suatu kata-katanya sangatlah penulis ingat sampai kini, “Dale hidok kito, tok soh lah kato, kito de tunggu kelawa tubek. Pagi pun belom tetu panje untok kito.”

Bermaksud: “Dalam hidup kita, tidak usahlah kata, kita sempat tunggu kelawar keluar. Pagi pun belum tentu panjang untuk kita.”

Terpegun penulis. Indah sekali ujaran tersebut. Dalam menungan penulis, kata “kelawar” itu mungkin atas pengaruh daripada bidang seni batik yang diminati dan diceburinya. Terdapat, misalnya “baju kelawar” (sejenis pakaian wanita). Sesetengah pakaian ini diperbuat daripada kain batik.

Namun, mungkin juga tidak demikian.

Lebih berkemungkinan barangkali, elemen kelawar itu sudah bersebati pada pemikirannya sekian lama, sejak kecil lagi. Membesar di desa. Mungkin beliau biasa melihat dan mengamati kelawar yang berkeliaran pada waktu senja, berkelibas malam susup-sasap. Pagi pula, menjadi sebahagian daripada permainan girang, anak-anak menggoyang-goyangkan pokok pisang, meluru keluar kelawar lari kerana tidur di dalam gulung kelopak daun muda pisang.

Pada zaman lalu, kelawar merupakan sebahagian daripada pengalaman indah dalam dunia kehidupan kanak-kanak desa di Kelantan. Agaknya demikian, elemen kelawar membekas dalam ingatan dan renungannya.

Semasa diserang angin ahmar, pada tempoh kira-kira lima tahun awalnya, beliau masih boleh cekal bertatih berjalan, menggagahkan diri untuk bercakap, berbakti pada PUSPA, sesekali cuba mendraf puisi, menghadiri program oleh mana-mana persatuan, bertemu para sahabat, di samping tetap mengunjungi sahabat yang dikasihinya, Abdul Razak Ismail.

Menjelang hujung bakti tugasnya sebagai pendidik, beliau secara sambil-sambilan memulakan langkah, mengusahakan sendiri bengkel batik tulis atau lebih dikenali juga sebagai batik lukis, bagi menambahkan pendapatan.

Usaha niaga beliau dalam bidang batik ini berkembang maju, malah sempat memiliki empat buah bengkel dengan menggaji para pekerja desa, sehinggalah akhirnya beliau kian uzur dan tidak berupaya bergerak diri lagi.

Beliau pernah mengarang sebuah puisi tentang seni batik tulis ini. Puisi ini dapat ditemui dan dihayati, dipetik muat dalam Facebook Abdul Razak Ismail:

___Aksara Mimpi

___kaubangun di tangan
___dengan sebatang canting
___melarik ilham
___meranting daunan
___dan segar bunga
___berkelopak
___solusi metaforis
___berjambak-jambak
___igau sejenak

___5 Jun 2014
___Padang Lengkuas, Melor

Larik “igau sejenak” pada puisi ini dapat diselami merupakan selindungan manifestasi jiwa, impian dan harapannya. Hal ini membayangkan perkaitan bidang seni batik tulis yang sedang diusahakannya itu sebagai harapan yang mungkin boleh berjaya, atau mungkin sebaliknya. Itulah yang direnunginya. Bagaikan suatu ‘igau.

Sebagaimana lazimnya kebanyakan penyair, beliau turut memiliki kehalusan dari segi kepekaan dan ketajaman pengamatan terhadap pelbagai juring pemikiran. Oleh itu, legar pengucapannya luas, menaakul pada cakupan diri, kenangan, kunjungan, kasih sayang, perjuangan hidup, alam, falsafah, kemanusiaan, dan kemasyarakatan.

Benarlah, usia manusia bagai pendek sejengkal. Tetapi usia seni, kekal.

Penyair Abdul Hadi Yusoff (berbaju jalur) antara yang turut menemani ke pusara.

Tokoh penyair ini dilahirkan pada 19 Mac 1961 di Kampung Keting, Gunong, Bachok, Kelantan. Berpulang ke rahmatullah dengan noktah usia 63 tahun, pada tarikh dan waktu sebagaimana telah dicatatkan di atas.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman.

Amin dan Al-Fatihah.

Kredit Foto: Abdul Razak Ismail, Rossem, Abdul Hadi Yusoff, dan Tra Nguyen/Unsplash

_________________________

Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian (Bandar D’Raja Muhammadi), Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) memenangi Hadiah Utama Puisi T. Alias Taib 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.