Oleh M. Said Muharam
20 Jun 2024, 09:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penyair Pyanhabib (1958 – 2024) sudah meninggalkan kita. Sempena mengingatinya, kami membawa kembali tulisan M. Said Muharam dengan judul asalnya, “Pyanhabib Hadapi Tuduhan” dalam majalah Sinar Zaman (1988/89) terbitan Jabatan Penerangan Malaysia.

Pyanhabib tidak habis-habis menghadapi tuduhan, kehadirannya selalu mengocak dan menggugat ketenteraman. Dia telah dituduh sebagai pelacur puisi. Dia dikesali kerana tidak menghormati majlis. Siapakah anak muda ini sebenarnya?

Pyan tidak dapat mendengar suara manusia tetapi dapat mendengar desir ombak.

“Tuhan, terlalu banyak yang Engkau anugerah, tetapi terlalu sedikit yang aku balas. Maafkan aku, Tuhan .…”

Barangkali begitulah kata-kata keinsafan seorang manusia penulis atau lebih tepat manusia penyair. A. Samad Said, begitulah puisi epigramnya. Singkat, padat dan tepat. Dia seorang tokoh. Bagaimana halnya pula dengan seorang Pyan? Penyair jalanan! Penyair kontroversi!

Memang sesuatu yang Tuhan beri tidak pernah kita sedari akan nikmat dan keesaan-Nya. Ilham memang tidak turun seperti hujan. Tidak terjun seperti air di pergunungan. Ilham tidak datang dari langit. Dari manakah?

Lantaran anugerah yang Tuhan beri kepada Pyan adalah sebesar-besar ilham yang dipungutnya sendiri, bukan seperti manusia penyair lainnya. Tuhan memberikannya bakat dan akal untuk berfikir. Akan tetapi, Tuhan menjadikannya manusia dengan alamnya. Alam wujud dari mauwujud.

Pyanhabib, sebagai suatu eksistensi yang dinamis terus berdialog dengan batinnya dan alam sekitarnya. Sehinggakan kita terasa dia mempunyai cukup pancainderanya meskipun kita tahu akan telinganya tidak wujud. Akan suaranya yang tidak didengarinya sendiri. Betapa sedih! Betapa pedih! Bila kumat-kamitnya hanya kita mendengar sambil leka menghayatinya. Sesungguhnya dia tidak gelisah. Dia mewujudkan sukmanya untuk menangkap dan memberontakkan rangsangan kepekaan empat pancainderanya ke dalam puisinya. Sekali gus tumbuh dan berakar umbi menyuburkan pengalaman rohaninya.

Sebenarnya pengalaman rohani yang bergayut dalam diri Pyan ialah suatu pengalaman puisi. Penerapan nilai-nilai puisi cara yang amat berbeza. Dia menjadi kreatif menangkap makna yang berantakan dari dalam batin bukan dari luar.

Pyan berorientasi dengan dua alamnya. Kerap seganding melahirkan puisi-puisinya yang mantap dan intim sekali. Kekuatannya menimba lubuk batin membolehkan dia melawan gerak luar dan menyusun tari alam sekelilingnya.

Penulis bersama-sama dengan Pyanhabib dalam satu majlis memasyarakatkan puisi sekitar era 1980-an.

Alam inilah yang menjadikan Pyanhabib seekor katak. Reptilia yang hidup di dua alam. Pesona inilah menjadikannya robot puisi yang cukup teratur dan dinamis. Kehidupannya mencerminkan peribadinya sendiri. Lalu menerkam ke dalam peribadi dan keaslian gaya puisi-puisinya. Suatu keterasingan dan pembaharuan. Suara alira eksistensialisme yang mendepankannya sebagai manusia yang lahir batin tidak sepi sebenarnya. Seiringan dengan tokoh-tokoh aliran eksistensialisme dunia, seperti Theresia di Sepanyol, Zen Buddha, Frans Asis, John Salin atau perintisnya, Bima Suci.

Apa-apa pun kita lihat pada pengucapan puisinya:

_____engkaukah ombak yang mendesir atau
_____anginkah yang membawa deru suaramu

_____(“Ombak” dlm. Saraf Dukaku)

Benarkah secara realitinya ombak itu dapat didengar mendesir? Desir apakah yang didengar Pyan? Sedangkan petir dan guruh pun barangkali dịa tidak mendengarinya. Akan tetapi, dia tetap terasa gementar dan takut dengan kilat. Sekali kemilau cahaya kilat, Pyanhabib pasti tahu sekejap lagi petir atau guruh akan berdentum.

Nah! Dalam sepinya Pyan terus menelah ombak atau angin secara batiniah untuk mendengar suara-‘mu’. Siapa ‘Mu’ itu? Ah! Alangkah benarnya apabila sepi itu berguling sendiri, barulah kita sedar hanya yang ada kita dan Tuhan.

Pyanhabib sudah menjumpai suaranya Pyan telah mendengari deru suara-Nya pula! Jarang-jarang bagi kita yang kesibukan dan terlali dengan bunyi dapat mendekatkan diri pada-Nya Yang Esa.

Kadang-kadang daripada keseluruhan antologi puisi Saraf Dukaku membawa lagu duka. Mempipis lada derita. Sehinggakan terasa-semacam kengerian. Ini bukan Saraf Duka sembarangan. Ini saraf batin. Saraf A’in. Atau berdosakah saya menyebut “Saraf Tuhan!”?

Lihat pula pada sajak “Senja”:

_____Senja adalah duri mencengkam ke
_____jari-jari senja adalah jantung merentap
_____ke pintu nadi

Begitu tragis dan terulitnya tragedi ”Senja”. Sampai menjadi duri dan jantung. Duri itu merancap dan menyakitkan. Jantung pula jalinan nafas untuk hidup mengepam nafsu dan nafsi. Lantaran pabila sudah duri mencengkam dan jantung boleh merentap, maka siapakah sebenarnya senja? Siapa sebenarnya Pyanhabib dan “Saraf Dukanya”? Hal itu terpaksalah kita bertanya kepada alam batinnya. Bertanya kepada diri kita sendiri kerana bertanya kepada Pyanhabib seperti kita bertanya kepada telinganya yang tidak mendengar.

Persoalkan sahaja apabila dia tidak boleh melekapkan telefon, bagaimana pula dia boleh mengerti “anarkali, ada gemersik suara, melantun di bilik kaca jendela …. anarkali, akrabkanlah bisik sepi ini. Bagai getar ilalang dan titisan hujan yang mendesah di jendela kamarku.”

Ucapan dan daya imaginasinya membuahkan keinginannya mendengar meskipun senyap dan sepi. Justeru, kerap kita ketemu ucapan lahirnya yang berkoordinasi dengan alam mata, alam hidung, alam mulut, dan alam sekeliling yang peka kepadanya. Sehingga lahirlah ucapan kudus “kerdip”, “lapar”, “guling”, “ngilu”, “kopi O”, “ketika matahari hampir terbenam”, “taman”, “kerling”, dan lain-lainnya sebagai yang dapat dinikmatinya dari sudut pancaindera yang ada.

Maka benarlah, Pyanhabib mempunyai kekayaan sukma dan imaginasi lahir diri dan batin diri tanpa kehabisan dakwat inspirasi untuk terus berpuisi atau melaung. Nah!! Kenapa dikatakan Pyanhabib pelacur? Pelacur puisi di Ibu Kota! Pyanhabib tidak menghormati majlis? Dia tetap unggul dengan peribadinya. Dia tetap agung dengan identitinya. Biasanya kalau menjadi artis tidak boleh pakai sembarangan. Tidak boleh makan di warung-warung mamak. Tidak boleh berjalan kaki atau naik bas mini di tengah dunia popularitinya. Ah, peduli!

Rakaman foto terakhir penulis dengan Pyanhabib sewaktu bertemu dalam sebuah majlis apresiasi sastera.

Siapakah yang menjunamkan mutu sastera tanah air? Jika Sapardi Djoko Damono mengatakan, “Sastera di Malaysia ini tetap yang ini, ini juga dan yang itu, itu juga,” – maka, berdosakah Pyanhabib menyebut, “Aku ini semangat Jebat!” – merubah, merobek, membelah dan mengayuh langkah baharu untuk memasyarakatkan puisi; haruskah hanya di dewan besar? Haruskah di dada akhbar? Harus terpahat di sudut majalah? Harus yang punya nama?

Akhirnya, siapakah yang mendengar? Siapakah yang membaca setiap puisi yang lahir? Siapakah yang membeli setiap antologi puisi yang terbabit? Orang kota ke? Orang kampung ke? Orang intelektual ke? Atau, orang sastera juga?

Jadi biarlah serak. Biarlah perit dia menjerit. Biarlah parau dia merayau. Dia tetap Mohd Supyan Abd. Rahman. Dia tetap Pyanhabib.

“PYAN! Kau anak! Lahir batin tidak sepi!”

Semoga Allah mencucurikan rahmat buat Allahyarham Pyanhabib. Al-Fatihah.

Kredit Foto: M. Said Muharam

_________________________

M. Said Muharam pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau mula bergiat dalam dunia penulisan awal 1980-an dengan menubuhkan Grupemuisi Setanggi Universiti Malaya. Puisi-puisinya pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1992 dan 1995 dan Hadiah Puisi Kebangsaan ESSO-GAPENA 1995. M. Said menghasilkan kumpulan puisi Kharmizi (DBP, 1999) yang dianggap oleh Sasterawan Negara Rahman Shaari sebagai karya “tingkat kekomunikatifan satu”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.