Oleh Avatar photo Lutfi Zahid
9 Jun 2024, 22:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyediakan pelbagai inisiatif dan kemudahan untuk menjaga kepentingan para sasterawan dan penulis tempatan, termasuklah penghargaan dalam bentuk kewangan, kemudahan perubatan, keselesaan berkarya dan lain-lain.

Kenyataan ini sebagai respons terhadap pandangan yang dinyatakan dalam satu laporan media baru-baru ini bahawa cara kerajaan melayan seniman tidak memuaskan adalah tidak tepat. DBP sebagai agensi kerajaan yang berperanan memperkembang bakat sastera dalam bahasa kebangsaan sentiasa memberikan perhatian yang sewajarnya kepada sasterawan dan penulis sejak sekian lama.

Dalam kenyataan media, DBP menyatakan bahawa Sasterawan Negara (SN) menerima penghormatan dalam bentuk Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60 ribu, kemudahan penerbitan karya dengan jumlah cetakan sehingga 50 ribu naskhah, dan kemudahan perubatan percuma di wad kelas satu hospital kerajaan.

Bermula pada tahun 2019, kerajaan turut memberikan elaun bulanan sebanyak RM5000 sepanjang hayat kepada SN dan mencalonkan beberapa orang SN untuk Anugerah Nobel. Pada tahun ini, RM30 ribu telah diperuntukkan bagi setiap SN untuk kegiatan mencipta karya dan melaksanakan kegiatan sastera.

Para sasterawan dan penulis diberikan ruang untuk pelibatan dalam acara dan kegiatan yang dianjurkan oleh agensi ini dengan kerjasama GAPENA, PENA dan persatuan penulis peringkat negeri. Program sasterawan ke sekolah dan institusi pendidikan, serta ruangan khas dalam majalah Dewan Sastera juga telah lama dilaksanakan.

DBP juga sering menyediakan kemudahan untuk pelibatan sasterawan dan penulis dari segi kemudahan tempat, pengangkutan, penginapan dan honorarium. Bagi para seniman pula, kerjasama diadakan untuk teater dan drama pentas, penerbitan buku dan lain-lain.

Dari segi penghargaan, karya sastera terbaik diiktiraf dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Karya Ilmiah dan Hadiah Tunas Cipta. Pada peringkat negeri, pengiktirafan diberikan melalui Anugerah Sastera Negeri dan Hadiah Karya Sastera.

DBP menegaskan bahawa kerajaan sentiasa memberikan sokongan kepada sasterawan dan penulis untuk menghasilkan karya sastera dan pembinaan negara bangsa sejajar dengan konsep Malaysia MADANI.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.