Oleh Mawar Safei
29 Mei 2024, 13:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Titipan belasungkawa khas Prof. Madya Dr. Mawar Safei buat pengarang persuratan Melayu Singapura yang cukup besar baktinya kepada bangsa dan negara, menaburkan lembaran karyanya sehingga tiba ke noktah usia – Allahyarham Suratman Markasan.

Untuk menulis rakaman belasungkawa ini, saya mengenang dan membuka beberapa fail lama yang masih dalam simpanan termasuk e-mel balasan untuk setiap persoalan yang saya bangkitkan terkait dengan penulisan tesis.

Tulisan terkini saya tentang Suratman Markasan merupakan kata pengantar, ketika diminta oleh Dr. Noridah Kamari, tuan punya syarikat Unggun Creative yang mahu menerbitkan buku Mengasah Kalam: Membina Kritikan Sastera di Singapura (2019). Buku itu terdiri daripada beberapa esei pilihan Suratman Markasan. Kebanyakannya pernah dibentangkan dalam pelbagai acara persidangan dan pertemuan sastera di Singapura mahupun luar negara, seawal tahun 1985 hingga 2013.

Mengasah Kalam: Membina Kritikan Sastera di Singapura Jilid 2 kemudiannya merupakan pemenang Hadiah Sastera Singapura (SLP) 2022. Seperti yang saya catatkan dalam kata pengantar berkenaan, membaca himpunan esei itu merupakan ruang penikmatan intelektual serentak estetika:

Peribadi, saya mengikuti lama dahulu gubahannya antara garis plot Matahari Kota (1979), Gerak dan Dialog (1982), Perempuan Kerudung Hitam (1991) dan Kembali kepada al-Quran (2000) menemukan dengan gerak intertekstual kemudiannya dalam novel Subuh Hilang Senja (1989), Tiga Lelaki (1994), Di Bumi Mana (1996) dan Penghulu yang Hilang Segala-galanya (1998). Hampir kesemua karya kreatif itu sangat tajam dengan siri tanggapan Suratman Markasan, antaranya tentang kepimpinan, keilmuan yang banyak melibatkan pendaulatan bahasa serta harga diri Melayu Singapura secara khas. Saya percaya lewat esei-esei juga Suratman Markasan akan berwatak dan berjiwa yang sama kerana banyak karya kreatifnya berangkat dari lembar-lembar tulisan deskriptifnya. Walau ada kertas kerja yang sudah berusia lebih tiga puluh tahun usianya, saya yakin kandungan dan pemikiran yang dibawakan masih dapat menjadi tamsilan dan pedoman untuk kebanyakan kita, khususnya penggiat kesusasteraan Melayu Singapura hari ini.

Sewaktu menyiapkan tesis doktor falsafah di Nanyang Technological University, kepengarangan Suratman Markasan menjadi titik tumpu untuk saya bandingkan dengan teks Anwar Ridhwan dan Putu Wijaya. Inilah antara tiga gergasi sastera dari negara masing-masing.

Saya menekuni seawal novel pertamanya, Tak Ada Jalan Keluar yang diterbitkan oleh Marican & Sons pada tahun 1962. Novel ini menyaring persoalan yang agak selari dengan zamannya; latar sebelum Perang Dunia Kedua menyorot sebuah keluarga yang melarat dengan kehidupan sarat pertikaian. Pengarang memfokuskan keluarga Fatma Lawa, ibu tunggal dengan enam anak. Kesengsaraan Fatma digambarkan oleh pengarang sejak awal perkahwinannya dengan Hassan. Setelah ditinggalkan suami, kehidupan Fatma menjadi terumbang-ambing bersama enam anak. Ujian datang apabila ada tetangga yang mengambil kesempatan dan dia menjadi perempuan simpanan. Begitu Suratman Markasan menyalin dan menanggap realiti pergelutan sosial Melayu dekad 1950-an.

Sentuhan Suratman Markasan dalam warna sastera Singapura masih terasa apabila novel Penghulu yang Hilang Segala-galanya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Prof. Dr. Solehah Ishak dengan judul Penghulu (2012).

Secara intertekstual saya meneroka kreativiti Suratman Markasan yang rencam. Tiga Lelaki, Penghulu yang Hilang Segala-galanya dan Di Bumi Mana digerakkan daripada cerpen-cerpen awalnya.

Kemudian, saya memperlihatkan bagaimana Tak Ada Jalan Keluar (1958/1962) sangat terhubung dengan Keluarga Gerilya Pramoedya Ananta Toer (1950) menerusi dua watak peneraju masing-masing dengan kemelut, iaitu Fatma dan Amilah.

Dalam novel Subuh Hilang Senja pula, sangat tebal pegangan Suratman Markasan terhadap kedudukan bahasa Melayu di Singapura. Kerisauan tentang kemerosotan penutur bahasa Melayu dan bahasa rojak yang berleluasa. Hal ini sepertimana dibawakan dalam kebanyakan esei, antaranya yang dibentangkan pada Hari Sastera (15–17 Oktober 1987) di Kuantan, iaitu “Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Singapura di Persimpangan”. Suratman Markasan menampilkan gaya cendekiawan dalam gerak naratif novel.

Untuk menulis rakaman belasungkawa ini, saya mengenang dan membuka beberapa fail lama yang masih dalam simpanan termasuk e-mel balasan untuk setiap persoalan yang saya bangkitkan terkait dengan penulisan tesis. Antaranya, saya terjumpa pengakuan Suratman Markasan tentang karya pertamanya dalam beberapa genre; e-melnya bertarikh 10 Januari 2004:

Saya mulai menulis pada tahun 1954, dengan genre puisi. Antaranya “Hati yang Kosong” (April 1954, Taman Pengetahuan) dan “Untuk Apa?” (Julai 1954, Taman Pengetahuan) (Taman Pengetahuan ialah majalah stensilan keluaran Kementerian Pelajaran Singapura); kemudian “Keluarlah” (Utusan Zaman, 1954). Selepas itu, saya tidak menulis puisi lagi, saya beralih menulis cerpen. Dan cerpen pertama saya “Pergi dan Datang” (Mastika, April 1954). Seterusnya saya menulis cerpen sahaja, baru pada tahun 1958, saya ikuti Peraduan Menulis Novel DBP 1958, dengan judul “Tak Ada Jalan Keluar”. Novel tersebut mendapat Hadiah Penghargaan bersama-sama novel A. Samad Said dengan judul “Gerhana” (kemudian ditukar judulnya, bila diterbitkan oleh DBP dengan judul “Salina”. Tidak ada hadiah pertama dikeluarkan, tapi hadiah kedua dimenangi oleh novel Hasan Ali, dengan judul “Musafir”. Saya menulis puisi kembali mulai tahun 1987, dengan judul “Berlin yang Dua Nama” (Dewan Sastera, Julai 1987) …

Catatan Suratman Markasan perihal kecenderungannya berlaku teliti dalam pemerian latar, adalah daripada pengaruh pembacaan karya Pramoedya Ananta Toer:

Pada tahun-tahun 50-an memang banyak sekali tulisan-tulisan kreatif Indonesia tersebar di Singapura (saya kira di Tanah Melayu juga). Ketika itu sedikit sekali karya-karya dalam bahasa Melayu yang ada. Saya sangat senang membaca tulisan-tulisan Pramoedya Ananta Toer, Mochtar Lubis, Achdiat Karta Mihardja, M. Balfas, Idrus dan lain-lain lagi. Antara gaya tulis yang sangat saya senangi ialah gaya Pramoedya, yang menulis secara terperinci akan suasana yang dilukiskan. Mungkin kerana senangnya gaya tulis beliau, dikatakan oleh Mahmud Ahmad bahawa gaya tulis saya dalam Tak Ada Jalan Keluar, dipengaruhi oleh Pramoedya. Akan tetapi tidak ada orang lain yang bilang demikian.

Dalam Program Penulisan Kreatif Asia (ACWP) di Singapura tahun 2023 lalu, menerusi salah satu kuliah yang saya sampaikan sebagai Penulis Tamu, Suratman Markasan turut hadir dan sempat berbahagi pengalaman dalam proses membaca sebagai pengarang. Acara berkenaan yang turut dihadiri oleh Prof. Madya Emeritus Dr. Hadijah Rahmat, Presiden ASAS50 Cikgu Suraidi Sipan dan sasterawan Isa Kamari. Kami berfoto ketika Suratman Markasan melengkapkan hadiah siri bukunya Kembali ke Akar Melayu Kembali ke Akar Islam (Darul Andalus, 2013) yang terdiri daripada lima jilid.

Kesempatan berfoto sebagai hadiah kenang-kenangan di Singapura (2023) menjadi rakaman terakhir antara penulis dengan Lelaki Persuratan Melayu, Allahyarham Suratman Markasan. 

Suratman Markasan dianugerahi SGD80,000 oleh pemerintah Singapura lewat Singapore’s Cultural Medallion untuk penerbitan karya. Saya mahu Mawar mempunyai koleksi yang lengkap, sitir Suratman Markasan pada pertemuan terakhir kami. Kemudian, ada lagi yang dititip melalui Herman Rothman, pustakawan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB). Sebelumnya, saya menerima sebahagian koleksi tebal itu semasa kami bertemu dalam Seminar Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT 2019). Ketika menonton program Detik Personaliti di Suria Mediacorp, mengutarakan Suratman Markasan: Lelaki Melayu Terakhir Singapura, datang berkali-kali tanggapan lama saya tentang nama “Suratman” yang sememangnya sesuai dengan susuk peribadi lelaki penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (Singapura) 1989, Montblanc-NUS Literary Award (1997), Anugerah Sastera Nusantara (1999), Anugerah Tun Seri Lanang (1999), Anugerah Pujangga UPSI (2003), Pingat Budaya (2010), dan Anugerah Mastera (2014) ini. “Suratman” memang seutuhnya lelaki persuratan.

Semasa saya menangani Jurnal Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia, saya sempat memuatkan cerpennya yang berjudul “Kucing-kucingan” (Jilid 15 No.2, 2016) bersama-sama puisi Muhammad Haji Salleh dan keratan novel Budi Dharma. Cerpen yang pertama kali terbit itu juga membawa nada satira yang berani tentang politik semasa. Itulah Suratman Markasan yang rata-rata kita kenali!

Beberapa nukilan yang belum sempat saya lakukan ulasan ialah Minum Kopi di Boigeet House (ITBM, 2017) dan Dari Perang Datang Sampai Kamoe San Masuk Melayu (DBP, 2015). Saya mahu membaca Mengapa Saya Menulis (ASAS 50, 2021) dan buku puisinya yang terakhir, Aku Bukan Malaikat (PENA, Ombak Scripthouse Production, 2022). Ternyata, banyak lagi yang saya terlepas pandang oleh sebab begitu giat dan pantas Suratman Markasan menyurat tulisan kreatifnya.

Mengenang 27 Februari 2024, yang juga merupakan tanggal hari lahir saya, berpulangnya Suratman Markasan. Sekali lagi, saya rasakan tuntunan Suratman Markasan akan makna yang pernah disebut Rumi: kehidupan ini ialah ketimbang antara upaya mempertahan dengan melepaskan. Ternyata pemergiannya merupakan khabar duka yang pasti akan tiba juga detiknya. Suratman Markasan kembali ke Rahmatullah pada usia 94 tahun dengan lembar-lembar senarai karyanya untuk terus ditekuni.

Begitu saya percaya berangkaian kebaikan lain yang diperbuat sepanjang jalan hidupnya. Umur panjang yang dirahmati dan penuh manfaat. Al-Fatihah dan doa masih buat Suratman Markasan, lelaki Persuratan Melayu yang terhormat dan budiman.

Kredit Foto: Mawar Safei

______________________________

Mawar Safei (Prof. Madya Dr.) ialah penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara atau SEA Write Award (Malaysia) 2018. Beliau juga merupakan penerima Anugerah Akademik Negara 2018 (Seni dan Kreativiti). Pernah menjadi Profesor Pelawat di Universitas Negeri Jogjakarta, Indonesia (2020) dan Penulis Tamu di Asia Creative Writing Program, Nanyang Technological University-National Arts Council of Singapore (2023). Boleh dihubungi di [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.