Oleh Lokman Hakim
11 Januari 2024, 10:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lokman Hakim membawa persoalan kelangsungan hidup penulis dalam keadaan yang serba susah sekarang.

Hidup selaku rakyat Malaysia yang ekonominya tidak menentu ini, menuntut warganya untuk melakukan lebih daripada satu pekerjaan. Saya sendiri tidak berkecuali.

Pertengahan tahun 2023, saya menerima sepucuk surat daripada sidang editorial Dewan Bahasa dan Pustaka untuk manuskrip novel yang saya hantar beberapa bulan lepas. Setelah membaca komen penilai, saya berpendapat bahawa kerja menambah baik manuskrip novel itu bukanlah masalah besar. Boleh saya sudahkan dalam seminggu jika saya bersungguh-sungguh. Namun begitu, saya terikat dengan beberapa kerja menulis yang saya kira agak penting juga, malah telah ditetapkan oleh tarikh penyiapan setiap satunya.

Pada tahun 2022, saya berdepan dengan krisis kewangan yang serius sesudah diberhentikan kerja. Maka, kerja menulis yang dilihat selaku kerja sambilan yang duit imbuhannya sekadar memadai untuk makan sekali dua di restoran mewah kini ditanggapi selaku salah satu sumber kewangan yang penting. Saya boleh dikatakan bernasib baik kerana memiliki teknik menghasilkan karya sastera dengan cepat. Baik cerpen, esei atau novel, hal ini bukan masalah besar. Teks yang siap dalam waktu singkat barangkali boleh dipertikaikan mutunya, tetapi pada tahap ini, untuk menembusi media arus perdana dengan tulisan-tulisan yang memenuhi kehendak penerbitan bukan suatu yang sukar.

Hidup selaku rakyat Malaysia yang ekonominya tidak menentu ini, menuntut warganya untuk melakukan lebih daripada satu pekerjaan. Saya sendiri tidak berkecuali. Saya seorang jurutera atau setepatnya seorang pengarah di sebuah syarikat pembinaan. Selain itu, saya juga seorang jurutera perancang sambilan. Berbeza daripada kerja mengarang, dua buah pekerjaan ini agak ringkas pelaksanaan tugasnya dan tidak menuntut kreativiti. Benar, kerja menguruskan projek dan sejumlah besar pekerja itu agak sukar tetapi hala tujunya konkrit dan begitu jelas skop kerjanya. Oleh sebab itu, kita boleh lihat gaji seorang pengarah agak lumayan berdasarkan keuntungan syarikat. Dalam dunia pembinaan, kerja yang mudah akan dibayar murah. Secara logiknya, itulah sewajarnya.

Namun begitu, kerja penulisan tidak begitu. Menulis karya sukar dan menuntut pengorbanan besar pengarangnya. Membina dunia baharu sesebuah cerita yang sarat dengan watak-watak yang hidup, beremosi dan berfalsafah bukan kerja yang semua orang boleh lakukan. Untuk sebuah novel yang memakan masa selama empat tahun untuk terbit, saya dibayar dengan royalti pemula sebanyak RM 12++, iaitu nilai yang saya boleh peroleh dalam masa sejam penyiapan sebuah jadual perancangan kerja projek pembinaan kelas G7. Dalam erti kata lain, saya harus mengenakan dua pemikiran yang berbeza ketika menjadi jurutera/pengarah dan juga pengarang. Logik dunia pembinaan tidak terpakai untuk logik dunia sastera.

Membangkitkan isu royalti ini dalam sebuah penulisan bukan suatu perkara yang boleh mengubah apa-apa. Saya tahu kenapa penerbit harus meletakkan sekian-sekian bayaran royalti kepada para penulis yang kelihatannya tidaklah begitu bermaruah jika hendak dibandingkan dengan pekerjaan-pekerjaan lain. Saya juga tahu kenapa ada buku yang terjual laris dan ada yang kelam ditelan waktu. Ekosistem dunia buku sedia ada itulah yang menentukan nilai royalti sesebuah buku dan memahami hal ini tidak akan menemukan kita dengan jawapan tuntas untuk menyelesaikan kemelut nilai royalti yang tidak bermaruah ini.

Penerbit hanya mampu membayar penulis sejumlah besar royalti seandainya karya tersebut dibeli sejumlah besar kelompok pembaca. Sifirnya mudah – semakin ramai pembaca semakin banyaklah royalti diterima. Maka, memperluaskan sebaran dan kadar pembelian buku-buku pengarang itu merentasi bahasa dan sempadan negara akan meningkatkan jumlah royalti yang diterima oleh pengarang – secara sifirnya, ya, hal itu semudah itu.

Memahami demografi pembaca yang menggunakan bahasa Melayu selaku bahasa pengantar dan meneliti sejumlah besar buku yang acap kali tersenarai dalam senarai buku laris, tidak sukar untuk menentukan jenis karya yang wajar ditulis untuk mewajarkan sesebuah kerja penulisan itu diteruskan. Jika memikir dari sudut seorang usahawan, pilihlah para penulis yang sudah terbina reputasinya dan punya ramai pengikut untuk dibukukan penulisan mereka. Bidang penerbitan buku ialah suatu perniagaan dan bukan sekadar entiti memandaikan bangsa. Harus diutamakan kelangsungan riwayat sesebuah perniagaan itu terlebih dahulu melangkaui segala-galanya.

Menulis karya sukar dan menuntut pengorbanan besar pengarangnya. Membina dunia baharu sesebuah cerita yang sarat dengan watak-watak yang hidup, beremosi dan berfalsafah bukan kerja yang semua orang boleh lakukan.

Maka, bagaimana pula dengan nasib pengarang yang enggan mematuhi rukun kehendak pembaca kebanyakan ini? Jika dilihat dari segi kebolehjualan karya, menerbitkan karya-karya kelompok pengarang sebegini ibarat suatu perbuatan yang merugikan. Mujur sahaja para penerbit bukan sekadar usahawan semata-mata – dalam kesibukan menerbitkan karya-karya yang mudah jual, ada juga diselang-selikan dengan karya-karya yang sukar dijual, tetapi diterbitkan juga atas dasar yang begitu manusiawi.

Berbalik pada realiti semasa dunia perbukuan sebegini – untuk tekal bertahan menjadi penulis, haruslah dikesampingkan terlebih dahulu hal ehwal royalti ini. Saya sendiri bertahan menjadi penulis selama 10 tahun dengan royalti yang hidup segan mati tak mahu. Menanggapinya selaku hobi pula ibarat suatu perkara yang tidak wajar kerana kerja mengarang itu sentiasa menuntut fokus penuh untuk menyiapkan sesebuah karya. Namun begitu, sentiasa ada rasa teruja setiap kali buku baharu terbit apabila para penerbit mengongsi sampul buku tersebut, meskipun tiada apa-apa kata putus daripada penerbit mengenai pembayaran royaltinya.

Oleh hal yang demikian, apabila mendengar perihal saranan penulis wajar mempertahankan haknya selaku penulis, maka hak apakah yang harus dipertahankan? Hak mendapat bayaran setimpal tepat pada waktunya? Hak mempertahankan pemilikan harta inteleknya ke atas karya yang dihasilkan itu? Kerja pengarang ini bukan lagi suatu pekerjaan sakral yang dibayar lumayan. Untuk pekerjaan seremeh ini, “perjuangan” menegakkan hak pengarang ialah suatu bahan ketawa masyarakat.

Dan saya tidak hairan sama sekali jika ramai penulis yang sekadar berdiam diri ataupun meredai sahaja karya-karyanya dicabul, diciplak ataupun diperlekehkan. Realiti semasa dunia kini yang tidak meletakkan nilai tinggi terhadap sesebuah karya menuntut penulis untuk lebih berlapang dada menerima apa-apa sahaja nasib atas karya-karya yang ditulisnya.

Selagi mana pengarang itu menulis kerana dia mampu menulis dan ada sesuatu yang mahu dituliskan, apa-apa jua hajat atau keinginan lain yang mengiringi tujuan asalnya mengarang harus dikesampingkan jauh-jauh. Dengan cara itu sahajalah, kelangsungan riwayat kepengarangan seseorang itu mampu dipertahankan. Itu pun jika dia tidak dibebani oleh komitmen hidup yang menelan waktu dan kewangannya.

Apa-apa pun, mutakhir ini, kerja mengarang tidak lebih daripada hobi seorang manusia yang kebosanan, yang rajin berfikir dan punya masa lapang. Tidak lebih dan tidak kurang. Menulis bukan lagi lambang ketamadunan ataupun lambang keilmuan. Telanlah hakikat itu, wahai pengarang sekalian.

Kredit Foto: Insung Yoon/Unsplash

_________________________

Lokman Hakim merupakan seorang jurutera lulusan Ijazah Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi MARA Shah Alam dan bekerja dengan syarikat kontraktor pembinaan dari tahun 2007. Aktif menulis bermula dari tahun 2014 dan telah menulis beberapa buah novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, dan buku motivasi. Cerpennya yang berjudul “Pengap” telah disenarai pendek untuk memenangi Hadiah Cerpen Komanwel 2019. Cerpennya yang berjudul “Jam Menanggalkan Jarumnya Lalu Menghitung…” telah memenangi Hadiah Utama untuk kategori cerpen dalam Anugerah Sastera Selangor 2021. Beliau juga telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 untuk cerpen “Tiga Cerita Tentang Bahasa”. Di samping itu, cerpen-cerpen beliau juga telah memenangi hadiah penghargaan untuk Hadiah Sastera Selangor dan juga Hadiah Sastera Penulis Sarawak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.