Oleh Ilham Budiman
14 Mac 2023, 08:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Suatu perkara penting yang harus disedari bersama oleh semua pihak dalam masyarakat ialah hakikatnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan milik rakyat.

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed menjelaskan demikian, sebagai memberikan kesedaran dan pencerahan kepada generasi muda yang sudah jauh melepasi zaman kolonial dan pascamerdeka, malah kini sudah pun memasuki generasi pascamoden.

DBP, atau nama sebelumnya Balai Pustaka, ditubuhkan sejak 67 tahun dahulu, bertitik tolak daripada kesedaran dan pemikiran yang dicetuskan melalui Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III pada tahun 1956, terang beliau.

Ujarnya lagi, cetusan mengenai pentingnya kerajaan menubuhkan institusi ini adalah sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi, bertujuan untuk menggerakkan dan memartabatkan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, dan bahasa ilmu.

“Demikian, hakikat kewujudan akan keperluan pada signifikan DBP sebagai institusi bagi mendinamikkan perkembangan dan kemajuan bahasa Melayu, serta kesusasteraan, di samping kaitan pada kebudayaan, adalah berasal daripada kegigihan perjuangan keintelektualan oleh rakyat, khasnya golongan cendekiawan, penulis, budayawan, dan sejarawan,” tegas beliau.

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Mohd Salahuddin memulakan dialog bicaranya.

Beliau memulakan penerangan itu pada majlis Pertemuan antara Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera dengan Persatuan Penulis, Pelukis dan Kebudayaan Negeri Kelantan, di DBP Wilayah Timur (DBPWT), Kota Bharu, pada 12 Mac lepas.

Penerangan beliau mengenai aspirasi, peranan dan signifikan DBP dalam konteks kepentingan negara dan masyarakat, bertujuan untuk memberikan kesedaran tinggi serta menyeru agar para penulis, pelukis, budayawan, dan aktivis agar berperanan proaktif bagi bersama-sama mengisi dan merealisasikan wawasan kerajaan, melalui konteks peranan DBP ke arah menjadi lebih dinamik.

Pengarah jabatan ini mementingkan kerelevanan penegasannya yang demikian, dalam pertemuan ini, bagi menyuntik semangat, rangsangan dan galakan agar para penulis, khasnya generasi penulis muda, bagi mengisi wawasan pada kepentingan memanfaatkan sepenuhnya peluang dana industri kreatif, seni dan budaya yang diperuntukkan oleh kerajaan, baru-baru ini.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam Belanjawan 2023 baru-baru ini mengumumkan bahawa kerajaan memperuntukkan RM127 juta bagi membolehkan pemasaran produk seni tempatan dipertingkatkan, di samping turut mendorong lebih banyak karya kreatif dihasilkan.

Sebanyak RM20 juta daripada dana ini adalah bagi dimanfaatkan bersama oleh DBP, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia serta Yayasan Karyawan sebagai mandat mempergiat aktiviti terjemahan dan aktiviti penerbitan bermutu tinggi oleh penulis tempatan.

Sehubungan dengan itu, Salahuddin berkata, “Adalah menjadi suatu kesilapan tanggapan, sekiranya penulis berfikir DBP sebagai institusi memimpin, merancang dan menguruskan kemajuan sastera tanah air semata-mata berasaskan pemikiran serta wawasan daripada pihak dalaman DBP sahaja.

“Justeru DBP sentiasa mengalu-alukan, menerima dan sentiasa mempertimbangkan cadangan dan pemikiran dari luar juga, bagi bersama-sama mendinamikkan perkembangan bahasa dan sastera kebangsaan.”

Jelasnya, usaha pertemuan ini ialah bukti DBP cakna mendapatkan pandangan positif dan cadangan membina secara relevan bagi bersama-sama mendinamikkan wawasan pemanfaatan dana berkenaan.

Pertemuan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif dan komitmen DBP mengadakan dialog bersama penulis dan pihak berkepentingan lain dari segenap pelosok tanah air, bagi merealisasikan tujuan tersebut dan DBP akan secepat mungkin menggerakkannya.

Berlangsung kira-kira dua jam, pertemuan ini menjadi medan dialog yang positif, di samping mendapat penerangan untuk memahami, para peserta berpeluang memberikan sumbangan saranan untuk dipertimbangkan dalam komitmen dan tanggungjawab DBP.

Sebanyak 13 buah persatuan di Kelantan diundang oleh DBPWT pada pertemuan ini, terdiri daripada persatuan penulis, cendekiawan, pelukis, budayawan, dan aktivis teater.

Pengarah DBPWT, Puan Ariza Ismail menerangkan, “Selain persatuan penulis, turut diundang ialah persatuan berkaitan yang lain kerana persatuan cendekiawan, pendidikan, pelukis, budaya, dan teater tetap boleh serta mampu berperanan penting dengan kedinamikan sastera bagi manfaat masyarakat.”

Masing-masing yang diundang oleh DBPWT terdiri daripada Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Persatuan Penulis Kelantan (PPK), Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA), Persatuan Penulis dan Budayawan Negeri Kelantan (PESISIR), Persatuan Penulis dan Seniman Kelantan (PUSPA), dan Persatuan Penulis dan Penyair Kelantan (PENYAIR).

Undangan ini termasuklah Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK), Majlis Teater Negeri Kelantan (TEMA Kelantan), Pertubuhan Kesenian dan Tradisi Jalinan Anak Seni Teater,Tari dan Sastera Kelantan (SENITRA JASTERA), Kumpulan Teater Anak Seni Pendidikan Kelantan (ASPEK), Persatuan Pelukis Kelantan (PESENI), Persatuan Penggiat Seni Lukis Kelantan (PELUKIS), dan Persatuan Seniman dan Warisan Kelantan (PESTA).

Sebahagian peserta yang hadir pada Pertemuan antara Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera dengan Persatuan Penulis, Pelukis dan Kebudayaan Negeri Kelantan.

Pada penutupan dialog, Salahuddin melahirkan rasa bangga kerana Kelantan merupakan antara negeri yang terbukti cukup dinamik dalam usaha memanifestasikan kegemilangan sastera, seni dan budaya di tanah air, di samping menaruh harapan tinggi agar para penulis, penyair, budayawan, pelukis, dan penggiat teater dapat dengan proaktif mengisi wawasan pemanfaatan dana oleh kerajaan.

“Sahutlah seruan untuk memberikan sumbangan kreativiti dan keintelektualan secara aktif dan efektif melalui peranan serta kemudahan DBP kerana kewujudan institusi ini berasal daripada signifikan pemikiran penulis dan cendekiawan untuk manfaat rakyat dan negara,” beliau menambah kata-kata akhirnya.

Mantan Ketua Pengarah DBP, Dato’ A. Aziz Deraman, Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari dan Naib Presiden Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan, Zainal Abidin Muhamad adalah antara yang turut hadir pada pertemuan dialog ini. Di samping hadir bersama ialah Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Ghani Abu dan pegawai kanan, Rusdi Abdul Rahman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.