Oleh Nor Asiya Nasir
16 Januari 2023, 12:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bachok – Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) mempelawa persatuan penulis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahasa, sastera, seni dan budaya terutamanya yang berada di kawasan pantai timur untuk bersama-sama menganjurkan Konvensyen Pemuisi Sedunia (KONPES). Program tersebut dirancang untuk diadakan di Pantai Chap, Bachok, Kelantan pada Julai 2023.

Pelawaan tersebut dibuat oleh Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim ketika berucap dalam Program Baca Puisi Pantai: Desiran Ombak di Pantai pada 14 Januari 2023 (Sabtu) di Danga Tok Wan, Pantai Chap, Bachok. Menurutnya, pada awalnya, KONPES dijadualkan untuk diadakan pada tahun 2021. Walau bagaimanapun, perancangan tersebut terpaksa ditangguhkan akibat daripada pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim menyampaikan kata alu-aluan.

Memperlihat keadaan negara pada hari ini yang semakin pulih dan stabil, malah pintu negara juga telah dibuka untuk kemasukan pelancong dari luar negara, maka PEMUISI akan meneruskan KONPES pada tahun ini. Tambah beliau lagi, pelibatan banyak persatuan penulis dan NGO bahasa, sastera, seni dan budaya sudah tentu dapat menjadikan program yang bakal diadakan itu lebih berjaya.

Perjuangan memartabatkan bahasa, sastera, seni dan budaya bangsa ini memerlukan gandingan mantap daripada semua pihak agar usaha ini dapat memberikan impak yang lebih besar. Perkara ini sekali gus dapat memartabatkan bahasa, sastera, seni  dan budaya bangsa bukan sahaja pada peringkat kebangsaan, bahkan juga pada peringkat antarabangsa.

Hal ini bertepatan dengan penganjuran KONPES yang melibatkan penyertaan dalam kalangan pemuisi tanah air dan pemuisi luar negara. Antaranya termasuklah Kerabat Pemuisi Sedunia yang dianggotai oleh 28 buah organisasi daripada 14 buah negara. Dijangka seramai 300 orang peserta dari dalam dan luar negara akan terlibat dengan KONPES selama tiga hari dua malam. Pengisian program yang dirancang ialah sesi pembentangan kertas kerja oleh para sarjana tanah air dan luar negara, acara lawatan budaya serta persembahan puisi.

Ketua Satu GEMA, Encik Zainal Abidin Muhamad turut mengambil bahagian membacakan puisi.

Selain pemuisi dan peminat puisi tanah air, Program Baca Puisi Santai: Desiran Ombak di Pantai tersebut turut dihadiri oleh Ketua Satu Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA), Encik Zainal Abidin Muhamad; Ketua Satu Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA), Encik Kamarulzaman Ismail; Ketua Dua PELITA, Encik Abdul Mubin Ismail; Sasterawan Terengganu, SM Noor; Sasterawan Kelantan, Rosli K. Matari;  Kartunis Rossem; Maroof Seman, Tengku Alizan, Noor Hasmah Mohamad, Zaleha Ismail, Rosnani Abdullah, Hani Debumelukut, Norizah Zulfah, Mazelan Ariffin dan lain-lain.

PEMUISI mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir, terutama ketua persatuan yang memberikan sokongan padu kepada kegiatan PEMUISI. Sementelahan pula, negeri Kelantan dan Terengganu merupakan lubuk pemuisi yang di dalamnya mengandungi ramai pemuisi yang hebat dan terkenal. Semoga jalinan ukhuwah ini akan membuahkan hasil yang baik, terutama dalam usaha memartabatkan bahasa, sastera , seni , dan budaya bangsa kita.

Dari kiri, Presiden dan penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Award), Rosli K. Matari.

Sementara itu, penulis dan juga kartunis, Rossem, turut menyatakan perasaan gembira dan terima kasih atas undangan yang dibuat oleh PEMUISI ke program tersebut.

“Saya berharap agar PEMUISI boleh mengatur majlis seperti ini lagi pada masa yang akan datang serta dapat mengundang lebih banyak rakan pemuisi. Majlis seperti ini amat berharga buat kami. Tahniah PEMUISI!,” ujar beliau.

Antara pemuisi yang hadir dalam Program Baca Puisi Santai: Desiran Ombak di Pantai, Pantai Chap, Bachok, Kelantan.

Seorang lagi pemuisi, Noor Hasmah Mohamad, yang turut bertindak sebagai pengacara program, menyatakan keterujaannya kerana dapat menghadiri program tersebut yang boleh merapatkan hubungan silaturahim dan berkongsi minat di kalangan pemuisi. Sebagai ahli PEMUISI, beliau sentiasa mengikuti perkembangan PEMUISI terutamanya tentang aktiviti dan program yang diadakan.

“Saya juga pernah mewakili negeri Kelantan dalam Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) anjuran PEMUISI pada tahun 2021 dan berjaya hingga ke peringkat akhir kebangsaan. Tahniah PEMUISI dan saya mendoakan agar PEMUISI terus menggegarkan dunia puisi tanah air dengan segala macam aktivitil, sesuai dengan visi ‘Suara Kemanusiaan Sejagat’ dan ‘Memasyarakatkan Puisi'” tambah beliau mengakhiri perbualan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.