27 Disember 2022, 09:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Pertemuan antara editor Unit Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dengan Pengurus Besar Sin Chew Daily Sarawak, Encik Chung Hon Shin serta Timbalan Editor Eksekutif (Malaysia Timur), Puan Josephine Ho Lee Ping di pejabat urusan syarikat itu telah mencapai kata sepakat untuk melaksanakan penerbitan ruangan sastera bahasa Melayu dalam akhbar Bahasa Cina tersebut bermula tahun 2023.

Ketua Unit Penerbitan, Puan Hajijah Haji Mainol, menjelaskan bahawa matlamat utama projek ini adalah sebagai salah satu bentuk sokongan pihak DBP Cawangan Sarawak dan Sin Chew Daily Sarawak terhadap matlamat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu berlandaskan acuan Malaysia dan berteraskan prinsip Rukun Negara.

Pembentangan gerak kerja dan konsep asas projek penerbitan ruangan sastera bahasa Melayu itu disambut baik oleh pihak Sin Chew Daily Sarawak dengan mengemukakan cadangan penambahbaikan terhadap konsep penyiaran yang telah dibentangkan.

Perbincangan jalinan kerjasama dalam aspek penerbitan antara Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dengan Sin Chew Daily Sarawak.

Ruangan sastera bahasa Melayu itu kelak akan bermula dengan penyiaran tiga buah puisi penulis Sarawak atau penulis yang bermastautin di Sarawak dengan memberi keutamaan kepada penulis berbangsa Cina. Dengan kekerapan penyiaran sebulan sekali pada peringkat awal, ruangan tersebut akan turut memuatkan iklan kegiatan dan aktiviti kelolaan DBP Cawangan Sarawak agar liputan terhadap program seperti bengkel, kursus, latihan dan pertandingan dapat diperluaskan dan menjangkau segenap lapisan masyarakat. Hal ini sesuai dengan usaha DBP Cawangan Sarawak untuk menyeimbangkan komposisi keterlibatan masyarakat berbilang kaum dalam aktiviti dan program kebahasaan dan kesusasteraan di Sarawak.

Perbincangan tersebut antara lain turut membincangkan tentang hala tuju penerbitan ruangan tersebut dalam jangka masa panjang dan strategi hebahannya kepada khalayak. Kedua-dua wakil DBP Cawangan Sarawak turut diberikan taklimat ringkas tentang fungsi dan gerak kerja di Sin Chew Daily Sarawak serta dibawa meninjau ke seksyen percetakan.

Pelaksanaan projek ini merupakan kesinambungan kepada projek penerbitan berkala DBP Cawangan Sarawak yang sedia ada. Setakat ini, DBP Cawangan Sarawak telah bekerjasama dengan tiga buah akhbar berbahasa Melayu, iaitu Utusan Borneo (Yang Indah Itu Bahasa), Utusan Sarawak (Wadah Bahasa dan Sastera) dan Suara Sarawak (Tinta Inspirasi Sasterawan Sarawak) untuk penerbitan tiga buah ruangan bahasa dan sastera. Oleh itu, projek penerbitan dengan Sin Chew Daily Sarawak ini kelak akan menjadi projek pertama penyiaran bahan berbahasa Melayu dalam akhbar berbahasa Cina bagi kedua-dua pihak.

Seterusnya, kedua-dua pihak berharap projek ini bukan sahaja membuka sebuah lagi pintu baharu kepada para penulis tempatan untuk bergiat dalam bidang penulisan kreatif, bahkan menjadi simbol jalinan kerjasama erat antara DBP Cawangan Sarawak dengan Sin Chew Daily Sarawak dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.