Oleh Nasir Hamid
20 Disember 2022, 16:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bintulu – Karnival Intelek merupakan acara tahunan yang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dalam menyampaikan fungsi dan peranannya dalam memartabatkan bahasa dan sastera kepada penduduk Sarawak. Sebelum ini, Karnival Intelek Peringkat Negeri Sarawak telah dilaksanakan di bahagian Sri Aman dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Pada tahun 2023, bahagian Bintulu telah dipilih sebagai lokasi penganjuran Karnival Intelek Peringkat Negeri Sarawak. Antara pengisian terbaharu ialah Wacana Bahasa dan Sastera, Penglipur Lara Moden dan Program Pemerkasaan Tulisan Jawi. Dalam karnival intelek yang lepas selain Pesta Buku DBP, aktiviti lain yang turut diadakan ialah Sayembara Deklamasi Sajak dan Syair, Pertandingan Teka Silang Kata, dan Forum Remaja.

Dalam usaha merealisasikan pelaksanaan program ini, pihak DBP Cawangan Sarawak telah mengadakan kunjungan hormat ke Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu (PPD) dan Pejabat Residen Bintulu pada 14 Disember lepas. Rombongan yang diketuai oleh Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak telah disambut mesra oleh Encik Wan Ibrahim Wan Ali, Timbalan Pengurus Besar BDA yang mewakili Pengurus Besar BDA bersama-sama dengan pengurusan BDA. Dalam pertemuan tersebut, DBP Cawangan Sarawak dan BDA bersetuju untuk bekerjasama menganjurkan program tersebut yang dijangka akan diadakan pada bulan Jun tahun hadapan.

Bagi menarik minat orang ramai untuk berkarya dalam bidang penulisan, DBP Cawangan Sarawak dan BDA akan mengadakan bengkel penulisan dan penerbitan sebagai salah satu program Karnival Intelek. Di samping itu, BDA juga berharap pelaksanaan Karnival Intelek 2023 dapat diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-45 penubuhan BDA dan sambutan ulang tahun ke-60 Sarawak dalam Malaysia.

Rombongan DBP Cawangan Sarawak juga telah dibawa melawat ke Perpustakaan Awam BDA (PABDA) yang terletak di Jalan Datuk Polycap Sim Cheng, Bintulu untuk melihat lokasi penganjuran Karnival Intelek kelak. Dalam lawatan tersebut, ahli rombongan telah diberi taklimat oleh Badahar Halil, Pemangku Pengurus PABDA tentang fasiliti yang terdapat di perpustakaan tersebut.

Pada hari yang sama, DBP Cawangan Sarawak turut mengadakan kunjungan hormat kepada Samri Suhaili, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu, dan pengurusan PPD. Dalam perbincangan tersebut, pihak DBP Cawangan Sarawak telah menyatakan hasrat supaya PPD Bintulu dapat menjadi penganjur bersama dalam program Karnival Intelek.

Penglibatan PPD Bintulu diperlukan agar dapat menarik penyertaan guru dan pelajar sekolah di bahagian Bintulu. Sebelum ini, pihak DBP Cawangan Sarawak dan PPD Bintulu pernah bekerjasama menganjurkan program yang melibatkan para pelajar di bahagian tersebut. Dalam reaksi balasnya, pihak Pengurusan PPD Bintulu berharap supaya program yang dilaksanakan pada masa hadapan dapat melibatkan PPD Tatau/Sebauh dan PPD Belaga yang turut terletak dalam bahagian Bintulu.

Selesai kunjungan di PPD Bintulu, rombongan DBP Cawangan Sarawak meneruskan  kunjungan hormat kepada Residen Bintulu yang turut dihadiri oleh Encik Ja’afar Haji Hamdan, Timbalan Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera dan Cik Stephanie Lenya Chaong, Ketua Unit Promosi dan Pengiktirafan.

Ketibaan rombongan DBP Cawangan Sarawak telah disambut oleh Hussaini Hakim, Timbalan Residen yang mewakili Residen Bintulu. Beliau melihat program yang dicadangkan oleh DBP Cawangan Sarawak dapat memberi impak yang baik kepada masyarakat Bintulu dan berharap Karnival Intelek dapat menjadi daya penarik dalam sektor pendidikan dan pelancongan.

Dalam pertemuan tersebut beliau mencadangkan supaya DBP Cawangan Sarawak perlu melibatkan komuniti-komuniti seperti Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu, Petronas dan Shell. Agensi-agensi tersebut perlu didedahkan dengan program seperti ini supaya mereka mengetahui tentang fungsi dan peranan DBP dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.

Beliau turut menasihatkan supaya satu mesyuarat diadakan bagi menyusun gerak kerja dalam memastikan perancangan tersebut dilaksanakan dengan teratur. Beliau mencadangkan supaya program seperti ini dapat dimasukkan dalam kalendar pelancongan bahagian Bintulu pada masa hadapan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.