Oleh Rosli K. Matari
12 Disember 2022, 10:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penerima SEA Write Award 2021 Rosli K. Matari pernah menulis artikel “Gelas Berwarna Merah” pada ruangan ini, mengenai sembangnya dengan YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman. Kali ini, ikuti lagi pertemuan beliau dengan tokoh korporat yang terkenal sebagai penyair R. Hamkama ini. Walau santai, namun isi sembangnya menarik dan bermanfaat dikongsikan bersama khalayak sastera.

Tan Sri Hamad Kama menghulurkan bukunya, ‘Sudah ada ini?’ Tiga naskhah – kumpulan puisi terbaharunya, Mengejar Angin yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (2022). Semua kami sudah pun memilikinya. Namun, Zuharman cepat mendapat akal untuk kami, ‘Kena olok-olok belum ada.’ Tan Sri Hamad Kama tertawa kecil mendengar jenaka Zuharman. Beliau memahami kami ingin menyimpan, memiliki naskhah bertanda tangan.

“Apakah yang paling menarik daripada sajak Tan Sri Hamad Kama?” Penyair Abdul Hadi Yusoff bertanya, tetapi saya tidak bergegas menjawab.

Hadi menggunakan kata –kah. Padahal, pada bahasa basahan memadai dengan kata apa sahaja, tanpa memerlukan –kah. Disedari atau tidak oleh Hadi, soalan itu tampil menjadi bahasa baku, malah tidak berdialek Kelantan, justeru serius pertanyaannya.

Namun, saya harus kembali bertanya. Berasa teragak-agak pada kehendak isi soalannya, “Ini sahaja mahu berteka-teki, atau benar-benar ingin tahu?”

Hadi menyatakan, beliau ingin tahu rumusan daripada saya.

Saya menjawab, “Perkara paling menarik daripada sajak R. Hamkama ialah sajaknya tidak mudah difahami.”

Hadi tergelak-gelak.

“Memang,” Hadi menerima penegasan itu. Namun, sepatah kata sebagai ikut bersetuju hal itu, tenggelam dalam tawanya.

Manakala, saya pula tidak sempat melanjutkan lagi penjelasan kepada Hadi kerana sudah tiba di tempat yang dituju. Dituntun oleh pelayan tamu hotel. YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman sedang menanti di suatu ruang.

“Kata, Saudara Hadi akan datang. Mana?”

“Nanti, dia menyusul. Baru berbual dengannya melalui telefon.”

Tan Sri Hamad Kama yang terkenal dengan nama samaran R. Hamkama mengundang kami makan malam. Beliau pulang ke Kelantan bagi beberapa urusan. Namun, justeru jiwa mendalamnya sebagai penyair, beliau meluangkan masa ingin bersembang puisi dan sastera bersama kami.

Saya bersama penyair muda, Zuharman Mohamad Nor hanya lewat tiba tujuh minit. Namun, Tan Sri Hamad Kama mungkin lebih awal daripada janji 8.30 malam, kerana sudah sedia menunggu di Hotel Perdana, Kota Bharu.

Saya senyum sendirian, membayangkan beliau tentu akan tetap berada di meja itu, menunggu, sekalipun jika kami lambat tiba. Justeru, pesanan whatsApp beliau: “Datanglah, walau pada saat-saat akhir, jam berapa pun.” Begitu sekali pesanan dan harapannya.

Kata-kata pesanan itu tentu sengaja dilonggarkan olehnya kerana kemesraannya, ingin bersembang bersama sahabat-sahabat penulis. Seolah-olah – datanglah, walau lewat jam berapa pun, asalkan datang.

Kota Bharu, walau sebelah malam, tetap sibuk dengan kenderaan bagai ibu kota. Hadi tiba setengah jam kemudian, mengeluh, “Sampai awal, tetapi puas cari parking. Di hotel pun payah, penuh.”

Tan Sri Hamad Kama menghulurkan bukunya, “Sudah ada ini?” Tiga naskhah – kumpulan puisi terbaharunya, Mengejar Angin yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (2022). Semua kami sudah pun memilikinya. Namun, Zuharman cepat mendapat akal untuk kami, “Kena olok-olok belum ada.” Tan Sri Hamad Kama tertawa kecil mendengar jenaka Zuharman. Beliau memahami kami ingin menyimpan, memiliki naskhah bertanda tangan.

“Apa yang sudah cerita tadi?”

“Kita tidak ulang.”

Hadi gelak mendengar jawapan Zuharman kerana kami sudah panjang, setengah jam bersembang.

Mengejar Angin. Mengejar – itu tidak mengapa, kalau saya atau kita tidak ulaskan. Kita boleh fahamkan sebagai usaha untuk mencari dan mendapatkan sesuatu,” Hadi memulakan pancingan perbualan dari sisinya.

“Tetapi, angin – luas konotasi dalam pemikiran sastera. Suatu yang tidak mungkin dicapai, sindiran mengejar suatu yang sia-sia, namun juga pengajaran yang harus direnung kerana angin itu semakin jauh pergi, meninggalkan kita.”

Penyair Abdul Hadi Yusoff (atas) dan Zuharman
Mohamd Nor (bawah) bersama-sama R. Hamkama.

“Ya, kesusasteraan ialah pemikiran. Menjadikan kita bijak. Ada falsafah dalam pengajaran hidup. Itu sebab, sastera mengandungi konotasi untuk pemikiran,” Tan Sri Hamad Kama menambah pada Hadi.

“Tetapi saya menganggap juga, angin yang dimaksudkan itu sebagai angin dalam konsep tradisional, khasnya budaya Kelantan. Tan Sri sebagai anak jati Kelantan, mengetahui dan memahami warisan budaya Kelantan. Angin yang dapat dikaitkan – misalnya dengan angin main puteri, angin dalam bagih, naik angin gendang silat. Dalam wayang kulit juga ada angin, semangat.”

Tan Sri Hamad Kama tersenyum, tetapi cepat menukas, “Tidak.”

Apabila mendengar sepatah jawapan – tidak – membuatkan saya dan Zuharman tergelak. Namun, gelak Zuharman lebih memanjang. Hadi terdiam, bagai tersentak dan terpukau, tidak menyangka interpretasinya dianggap meleset. Terpaksalah dia tersenyum, ikut ketawa dan menggeleng kepala. Kami tertawa lagi pada keletah Hadi.

“Saya tidak sampai ke tahap itu, pada maksud angin itu. Namun, saya hormat pandangan Hadi kerana kesusasteraan dapat berkonotasi luas pemikiran,” tegas Tan Sri Hamad Kama.

“Walaupun saya tidak bersetuju, namun saya anggap Hadi bijak pada pemikiran itu. Saya sendiri pun tidak terfikir untuk cuba merenung pada konteks dan konsep yang cuba ditanggapi demikian,” beliau menyambung, kerana sebenarnya, agak terkejut juga pada interpretasi tersebut.

Hadi tersenyum lebar, mengalih mata pada Zuharman. Saya gelak kerana bagai kembang pula hidung Hadi dipuji sebagai bijak interpretasinya oleh tokoh di hadapan kami.

“Konotasi dan interpretasi berbeza, luas ialah perspektif menarik dalam kebijaksanaan kesusasteraan. Saya pernah alami pengamatan konotasi dan interpretasi berbeza ini, oleh pengkritik, pada sebuah puisi. Tetapi saya tidak ingat tajuk puisi itu.”

“Konotasi dan interpretasi oleh siapa?” Zuharman cepat ingin tahu.

“Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari.”

Mendengar nama SN Dato’ Rahman Shaari yang disebutkannya, kami menunggu beliau untuk menjelaskan lanjut.

“Ada dua patah perkataan dalam puisi itu, ditafsirkan pada pengertian lain. Saya tidak ingat perkataan itu. Bukan sebagai perkara untuk dibahaskan.”

“Pengucapan puisi, satu patah perkataan pun kadang-kadang boleh beranjak makna, boleh ditafsirkan pada maksud lain oleh pembaca atau pengkritik. Tafsiran oleh Dato’ Rahman, mengejutkan saya. Sama ada bersetuju atau tidak, kita harus menghormati pengkritik. Pengkritik lazim berfikiran lebih luas, jauh,” ujar beliau lanjut.

“Rahman Shaari tentulah lebih bijak daripada saya. Saya diam sahajalah. Itulah bidang dan kepakaran beliau dalam kritikan. Kita hendak mengkritik apa pada pengkritik?”

Kami gelak mendengar kata-kata – “Kita hendak mengkritik apa pada pengkritik?”

“Maaf, Tan Sri, Saya ingin berterus-terang menyebut – puisi Tan Sri tidak begitu mudah difahami,” Hadi memberanikan diri pada pernyataan itu.

Saya gelak lagi. Teringat, itulah soalan dan jawapan yang terlebih dahulu ingin ditinjau, diketahui oleh Hadi daripada saya melalui telefon tadi. Tambahan pula, Hadi memang memandang saya dengan senyum, bagai yakin tentu saya akan menyokongnya dalam sembang kerana saya juga beranggapan begitu.

“Tak apa. Bukan masalah untuk menganggap demikian,” ujar Tan Sri Hamad Kama, turut tersenyum, “Hadi dan Zuharman tentu tahu, puisi tidak dibahaskan pada soal sukar difahami atau mudah difahami.”

“Tidak boleh dibahaskan pada soal itu kerana di dalamnya tersimpan makna,” saya mencelah sewaktu Tan Sri Hamad Kama menunggu Hadi menokok tambah. Hadi agak lambat menokok, mungkin kerana menyangka tokoh itu masih ingin menambah penjelasannya.

“Adakah, jika sesebuah puisi itu tidak mudah difahami, Zuharman berpendapat bahawa puisi itu kurang atau tidak bermutu?”

“Tidak,” Zuharman cepat menjawab, sepatah. Malah, cepat pula terus menegaskan, “Nilai dan mutu puisi, tidak terkait pada masalah puisi mudah difahami atau sebaliknya. Hal yang menjejaskan mutu puisi ialah unsur-unsur bahasa klise, imej bercampur, dan sebagainya.”

Saya memberanikan diri masuk campur pada penjelasan, walau mungkin pendapat saya tidak semestinya tepat.

Kalau saya boleh berikan contoh – baris puisi Tan Sri adalah seumpama rentangan pagar. Tetapi di sebalik pagar itulah, bagai dalam kebun terdapat kelinci, rumput, bunga dan rama-rama.

“Puisi Tan Sri, walaupun tidak mudah difahami, namun berbeza daripada Penyair Kabur – A.S. Amin, Noor S.I dan M. Ghazali. Kekaburan atau kesukaran itu, kebanyakan puisi mereka lebih bersandarkan penggunaan fokus objek, simbol dan imej.”

“Kesukaran puisi Tan Sri, tidak terlalu bergantung untuk berdominasi pada objek, simbol atau imej. Walaupun, ada hal yang sedemikian dipentingkan. Kebanyakan puisi Tan Sri lebih terletak pada pengucapan ayat, baris ungkapan yang menyelindungkan maksud.”

“Kalau saya boleh berikan contoh – baris puisi Tan Sri adalah seumpama rentangan pagar. Tetapi di sebalik pagar itulah, bagai dalam kebun terdapat kelinci, rumput, bunga dan rama-rama.”

Tan Sri Hamad mengangguk. Tidak pasti, beliau dapat menerima atau tidak, penjelasan saya. Namun, saya yakin, beliau mengelak untuk berbangga diri.

Saya selalu ingat pada puisi beliau, “Keliklah” (“Baliklah”). Sudah pernah dibincangkan, dijelaskan melalui artikel Gelas Berwarna Merah dahulu.

masih menunggu makna
sebaknya, mendera di hujung ketika
baliklah!

Baris-baris itu bagaikan rentangan pagar yang harus dilompati masuk untuk ditemukan kelinci, rumput, bunga, dan rama-rama.

Makna yang menunggu di sebalik ungkapan puisi “Keliklah” ialah kembali ke pangkal jalan, jika menghadapi kebuntuan atau masalah. Tidak ada objek atau imej dalam pengucapannya untuk mengaburkan pemahaman, jika dibandingkan dengan pengucapan kelompok Penyair Kabur.

Berbanding, jika pada sisi kelompok Penyair Kabur – kelinci, rumput, bunga dan rama-rama sudah awal-awal sedia menunggu di hadapan sebagai objek, simbol atau imej yang dikaburkan, menunggu ditafsirkan makna.

Rahman Shaari pernah menyatakan puisi R. Hamkama “dapat menyatakan makna dalam bahasa terselindung, namun apabila berjaya diteliti, muncullah maksud yang tebal dengan nasihat dan peringatan” (Mengejar Angin:xvii).

“Keunikan puisi R. Hamkama” sebagaimana pernah diujarkan oleh Fadli al-Akiti “ialah keringkasan (dan juga kepadatan)nya. Imej dan ungkapannya kadangkala berlangsung hanya dalam tiga empat bait sahaja” (Dewan Sastera Bil.6/2022:1)

Malah, ditegaskan oleh editor Dewan Sastera itu bahawa “sajak-sajaknya bukan calang-calang. Selalu diperkatakan kerana bentuknya yang bersemenda dengan suara puisi tradisi berserta ucapan berlenggok muzikal dan paluan bahasa yang segar.”

Perhatikan salah sebuah puisi R. Hamkama yang berikut:

 Jujur pun berdiri
di kotak teka teki
pun bagai puisi sepi
dimamahkan pekerti

Biarpun mengerti
di himpunan berduri
pedihnya bagai tikaman belati.

Kisah ini cuma secangkir puisi.

Puisi ini, pada mana-mana pembaca pun, tidak mudah untuk cepat difahami. Puisi ini dapat mewakili dan merangkumi semua aspek yang dinyatakan di atas. Misalnya:

  1. Tidak mudah difahami,
  2. Bait pendek,
  3. Bahasa segar, dan
  4. Berlenggok muzikal.

Namun, puisi ini juga mewakili objek, imej atau simbol yang sesekali ingin digunakan juga unsur ini dalam pengucapan beliau.

Sukar difahami? Ya, tentu kerana puisi ini umpama rentangan pagar. Melompat ke dalamnya barulah dapat ditemui kelinci, rumput, bunga, dan rama-rama. Begitu, dapat diumpamakan.

Puisi ini ialah pengamatan tentang kejujuran sebagai sifat dan nilai terpuji dalam hidup manusia: “Jujur pun berdiri. Tetapi, dalam hidup ini, kadangkala kejujuran yang sebenarnya pun sering dipersoalkan, diragui: “di kotak teka teki.

Sehingga, kadang-kadang nilai jujur itu membawa kepada masalah terpandang negatif. Tidak mendapat nilai sewajarnya (dibandingkan: “pun bagai puisi sepi”). Malah, kadang-kadang menjadi terbalik, mengakibatkan keburukan pada diri sendiri: “dimamahkan pekerti”.

Hanya si watak atau pelaku itulah sendiri yang lebih mengetahui hakikat kejujuran dan keikhlasannya – betapa pun, natijah kejujuran yang tidak dihargai itu, akhirnya menyedihkan diri sendiri: “Biarpun mengerti/di himpunan berduri/pedihnya bagai tikaman belati.

Puisi ini sinikal. Penyair ini bijak merenung. Merumuskan, hal demikian – sesuatu yang cukup bernilai dalam moral, terbalik menjadi tidak bernilai – merupakan suatu hal yang sudah lazim, malah lumrah dalam dunia kehidupan manusia moden yang luluh-lantak akhlak.

Natijahnya, pengamatan dan pemikiran ini ingin menjelaskan, moral murni sudah tidak begitu dipentingkan dalam dunia kehidupan yang semakin menjadi materialistik.

Itulah sebabnya, beliau sinis menggumam “Kisah ini cuma secangkir puisi”, menganggap bahawa puisi yang ditulis tentang nilai murni pun tidak akan dianggap penting, sebagaimana nilai moral dalam dunia moden sudah semakin menipis.

Bersama Tan Sri Hamad Kama, walaupun beliau berperwatakan lembut tetapi tegas, kami dapat bergelak tawa. Banyak tawa kami, berpunca daripada Hadi. Suatu kenangan manis bagi kami.

Ketika Hadi meminta untuk membaca mana-mana puisi draf terbaharu Tan Sri Hamad Kama, dihulurkan beliau, yang tersimpan dalam telefon bimbitnya. Salah satu ialah “Diramah Peluru”. Hadi meleset lagi. Saya sendiri tercengang mendengar, usaha interpretasinya. Rupa-rupanya, Hadi tersilap baca, antara ejaan ‘ramah’ (mesra) dengan ‘ramas’ (perah, gaul). Kami gelak sungguh kerana Hadi membawa kami menyimpang sangat jauh.

“Rosli pula hurai,” gesa Hadi.

Saya menggeleng. “Saya tidak mahu sakit kepala.” Kami, juga Tan Sri Hamad Kama tergelak lagi. Beliau tentu gelak kerana saya tidak ingin sakit kepala untuk memikirkan lanjut.

Saya menyimpan juga tawa dalam hati. Sekurang-kurangnya, saya dapat mengelakkan diri daripada memberikan interpretasi yang tidak tepat. Puisi R. Hamkama tidak pernah mudah. Meski, saya sedar, dalam dunia puisi, terdapat sifat puisi boleh menjangkau lebih dalam dan jauh tafsirannya.

R. Hamkama mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang yang tidak sama dengan sejumlah besar penyair lain di Malaysia,” ujar Rahman Shaari lagi.

Tokoh penyair ini berpengajian dalam tiga bidang berlainan – kejuruteraan mekanikal, statistik dan pelaburan. Pemikiran dan pengucapannya dalam puisi, tidak dapat tidak, pasti akan turut dipengaruhi oleh pengajian dan pengalamannya.

Pengamatan saya, kebanyakan puisi beliau memiliki kecenderungan yang berikut:

  1. Mengemukakan pemikiran yang pantas, tuntas.
  2. Memberikan kesimpulan, keputusan, natijah atau merumuskan.
  3. Menyarankan nasihat, jalan keluar atau kesedaran didaktik.

Jelas, penciptaan puisi beliau suatu pemanfaatan besar dan mempunyai pengaruh daripada bidang pengajian dan pengalaman luas bidang kerjayanya – secara langsung, tidak langsung, malah sebagai impak psikologikal dalam pengkaryaan.

Pertemuan kami dengan tokoh ini yang dituliskan pada artikel ini adalah pada 6 Disember 2022. Kami bersalaman, berpisah dengan beliau pada jam hampir mendekati 2.00 pagi, bersembang mula dari kira-kira jam 8.30 malam. Ruang Restoran Jade di hotel itu sudah lama sepi, sejak jam 10.00 malam. Para pelayan restoran itu pun sudah tiada kerana selesai waktu bekerja.

“Kami kelik dulu.”

R. Hamakama tersenyum – mungkin teringatkan judul salah sebuah puisinya itu.

Sembang santai kami mungkin bagai sekadar “Secangkir Puisi”, namun bermanfaat kerana kesusasteraan dan puisi tidaklah segala-gala dan selama-lamanya. Hal yang lebih penting ialah pertemuan untuk berbual dan menjadi manusia. Kesusasteraan dan puisi juga datang dari meja secangkir kopi.

Kredit Foto: Clem Onojeghuo/Unsplash

_________________________

Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima S.E.A. Write Award (Malaysia) 2021.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.