Oleh Suyuthi Yusuf
24 November 2022, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), Hadiah Karya Ilmiah dan Hadiah Tunas Cipta 2019/2020 telah berlangsung dengan jayanya petang tadi. Majlis tersebut diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka.

HSPM yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1971 merupakan hadiah paling berprestij untuk mengiktiraf karya sastera nasional. Pada awalnya, hadiah ini dikenali sebagai Hadiah Karya Sastera (1971-1976), kemudian Hadiah Sastera Malaysia (1981-1995). Pada tahun penilaian 1996/1997, hadiah ini diberikan nama baharu, iaitu Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan terus kekal hingga kini selaras dengan kematangan dan keunggulan dalam perkembangan sastera negara.

Matlamat utama HSPM diwujudkan adalah untuk memberikan pengiktirafan bertaraf kebangsaan kepada penulis dan karya bermutu yang dihasilkan selain menggalakkan para penerbit menerbitkan karya sastera bermutu dalam bahasa Melayu.

Ybhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia sedang memberikan ucapan alu-aluan.

Ybhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia dalam ucapannya menyatakan rakaman tahniah kepada para pemenang HSPM pada kali ini. Beliau mentafsirkan bahawa golongan penulis berperanan dalam mengubah minda masyarakat. Ujarnya,

Penulis membuka minda dan mata hati pembaca. Penulis juga memberikan cahaya penerokaan ilmu kepada pembaca dan membantu usaha kerajaan dalam mewujudkan Malaysia sebagai negara yang berbudaya membaca serta menjadikan masyarakat Malaysia sebagai bangsa ilmu bertaraf dunia melalui karya-karya mereka.

Selain itu, beliau juga menyatakan secara tidak langsung cabaran yang dihadapi penulis pada masa kini. “Menghasilkan karya pada zaman serba moden ini sudah pasti dilihat mudah apabila dapat dibantu oleh teknologi yang mempercepat pencarian sumber data dan membuat rujukan silang dengan segera. Namu begitu, untuk memastikan kesegaran dan keaslian karya merupakan cabaran yang paling besar kepada penulis. Penulisan yang berdaya saing dan mampu membawa anjakan paradigma kepada pembaca merupakan penulisan yang terbaik”, jelasnya lagi.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran sedang menyampaikan ucapannya.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa DBP diberikan amanah membina dan mengembangkan bahasa Melayu, bahasa yang dikanunkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Jelasnya,

DBP akan terus berperanan dan bertanggungjawab memberikan pelbagai pengiktirafan dalam bidang bahasa, persuratan dan penerbitan peringkat negeri dan kebangsaan melalui dukungan penuh kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pendidikan.

Selain itu, beliau juga mengajak masyarakat bersama-sama DBP dalam memperkembangkan bakat sastera dan seterusnya memenuhi tuntutan dalam membuka dan membina minda, mengembangkan tradisi ilmu, mengukuhkan budaya bangsa dan memandaikan bangsa.

HSPM 2019/2020 menyaksikan 47 orang pemenang dalam pelbagai kategori, tiga orang pemenang bagi Hadiah Karya Ilmiah dan 20 pemenang untuk Hadiah Tunas Cipta.

Terdapat empat kategori yang dipertandingkan dalam anugerah HSPM, iaitu Kategori A (buku sastera dewasa), Kategori B (cerpen eceran, cerpen eceran remaja, puisi eceran, drama eceran, esei/kritikan sastera eceran makalah ilmiah, esei/kritikan sastera eceran separa ilmiah), Kategori C (buku sastera kanak-kanak), dan Kategori D (buku sastera remaja).

Kategori A (buku sastera dewasa) melibatkan novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, kumpulan drama, esei/kritikan sastera dan biografi/autobiografi.

Senarai Pemenang Kategori A:

  • Novel Gunung Cha (Malim Ghozali PK) terbitan DBP.

  • Kumpulan Cerpen Perempuan Aneh yang Meletupkan Diri di dalam Gelas (Jasni Matlani) terbitan Iris Publishing & Distributor.
Datuk Jasni Matlani menerima anugerah HSPM Kategori A (Buku Sastera Dewasa).
  • Kumpulan Puisi Sebuah Lembah Kunamakan Tanah Air (Muhammad Haji Salleh) terbitan UUM Press.

SN Muhammad Haji Salleh menerima anugerah Kategori A: Buku Sastera Dewasa.
  • Kumpulan Drama Neo (Siti Jasmina Ibrahim) terbitan Nusacentre.

Siti Jasmina Ibrahim menerima anugerah Kategori A: Buku Sastera Dewasa.
  • Angin Perubahan Memperkasakan Sastera Melayu di Sabah (Jasni Matlani) terbitan DBP.

  • Angin Perubahan Memoir Jasni Matlani terbitan DBP.

Senarai Pemenang Kategori B (cerpen eceran):

  • “Sebutir Batu Nilam dan Musim Padi Angin yang Panjang” (Zainal Rashid Ahmad) dalam laman web Mykepochi.com.
  • “Kraken” (S.M. Zakir) dalam majalah Dewan Sastera.
  • “Tiga Cerita Tentang Bahasa” (Lokman Hakim) dalam majalah Dewan Bahasa.
  • “Bintang yang Satu di Langit Dini” (Mawar Shafie) dalam akhbar Berita Harian.
  • “Perahu Tua Teras Bitanggor” (Malim Ghozali PK) dalam majalah Dewan Budaya.
  • “Di Bawah Pohon Maple” (Amelia Hashim) dalam majalah Dewan Sastera.
  • “Gadis Berkebaya Merah dengan Langau Van de Straat” (Rahimah Muda) dalam majalah Dewan Sastera.
  • “Jiran Rumah Sebelah dan Tiga Ekor Anjing di Lorong 16” (Saifullizan Yahaya) dalam majalah Dewan Sastera.
  • “Lelaki dan Kitab Terakhir” (Nazri Hussein) dalam majalah Pelita Bahasa.
  • “Racau Kemacar” (Abang Median Abang Said) dalam akhbar Utusan Borneo.

Senarai Pemenang Kategori B (cerpen eceran remaja):

  • “Amarah Atuk” (MK Riza) dalam majalah Dewan Siswa.
  • “Dalam Jaringan” (Salina Ibrahim) dalam majalah Dewan Siswa.
  • “Mengusung Rumah” (Ahmad Safarman Dollah) dalam majalah Dewan Siswa.

Senarai Pemenang Kategori B (puisi eceran):

  • “Merindui Buku” (A. Samad Said) dalam majalah Dewan Masyarakat

  • “Kubiarkan Engkau Mutanabi Membawaku ke Dasarmu” (Malim Ghozali PK) dalam majalah Dewan Sastera.
  • “Sewaktu Hujan Melebat” (Mohamad Saleeh Rahamad) dalam majalah Dewan Sastera.
  • “Satu Lompatan” (Siti Raihani Mohamed Said) dalam majalah Dewan Sastera.
  • “Angin yang Meletakkan Kepalanya di Bantal” (Jasni Matlani) dalam majalah Dewan Sastera.
  • “Kuarantin” (Fahd Razy) dalam laman web Selangorkini.
  • “Akibat Orang Berdosa” (Zulaikha Adam) dalam zine Tukang Puisi: Sebuah Rumah di Kepala, Kata-Pilar.
  • “Rumah Pertama” (Qurratul ‘Ain) dalam zine Tukang Puisi: Gincu Merah Api, Kata-Pilar.
  • “Tubuh Kota (6)” (Syaheeda Hamdani) dalam zine Tukang Puisi: Wahyu Merah Ungu, Kata-Pilar.
  • “Kemarau” (Mohammad Zamri Othman) dalam zine Tukang Puisi: Jari Jari Aneh, Kata-Pilar.

Senarai Pemenang Kategori B (drama eceran):

  • “Hablur” (Kemala) dalam majalah Dewan Sastera.
  • “Reyok Nafas Bunga” (Rahimah Muda) dalam majalah Dewan Sastera.
  • “Bonda” (S.M. Noor) dalam majalah Dewan Sastera.
  • “Bangku” (Johan Jaafar) dalam majalah Dewan Sastera.
  • “Dongeng Presiden” (Joe K.A.S) dalam majalah Dewan Sastera.

Senarai Pemenang Kategori B (esei kritikan sastera eceran makalah ilmiah):

  • “Perkaitan Stail dan Perutusan Agama dengan Kebenaran Sejarah dalam Sajak-sajak Kemala” (Abdul Halim Ali) dalam buku Pemikiran SN Kemala.
  • “Pemartabatan Wanita dalam Novel Matriark dari Perspektif Feminis oleh Cheri Register” (Norhayati Ab. Rahman) dalam jurnal Malay Literature.

Senarai Pemenang Kategori B (esei kritikan sastera eceran separa ilmiah):

  • “Dewan Bahasa dan Pustaka Igauan Ngeri Meremang di Matahari Malam, Meruap di Purnama Siang” (Kemala) dalam majalah Dewan Sastera.
  • “Futuristik Mencipta Fenomena” (S.M. Zakir) dalam majalah Dewan Sastera.
  • “Utopia atau Distopia” (Mohamad Saleeh Rahamad) dalam majalah Dewan Sastera.
  • “Budaya Penulis Wanita Asia Tenggara Siti Zainon Ismail Pengarang Pascakolonial” (Awang Azman Awang Pawi) dalam majalah Dewan Sastera.
  • “Cerpen Awal Sabda S dalam Daftar Karya Sastera Fiksyen Sains” (Fadhli al-Akiti) dalam majalah Dewan Sastera.
Editor majalah Dewan Sastera, Fadhli al-Akiti menerima hadiah bagi kategori esei kritikan sastera eceran separa ilmiah.

Senarai Pemenang Kategori C (esei kritikan sastera eceran separa ilmiah):

  • Novel Kanak-kanak Ini Kisah Adham, Saya & Awan Shiro (Mazny Md. Ramly) terbitan The New Straits Times Press (M) Berhad.
  • Kumpulan Cerpen Kanak-kanak Misi Mengintip (Ab. Jalil Alimon) terbitan UUM Press.
  • Kumpulan Puisi Kanak-kanak Kupetik Bintang-bintang (Basari Mat Yasit) terbitan Karyaarif Enterprise.
  • Buku Bergambar Kanak-kanak Hendak ke Mana Gagak? (Azalan Hussain) terbitan Studio Anai-anai.

Senarai Pemenang Kategori D (buku sastera remaja):

  • Selendang Merah Balukhali (Sri Rahayu Mohd Yusop) terbitan Tintarona Publication Sdn. Bhd
  • Kumpulan Puisi Remaja Apabila Tingkap Dibuka (Hilmi Rindu) terbitan Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.