Oleh Suyuthi Yusuf
6 Ogos 2022, 23:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Phuket – Usaha untuk mengangkat martabat bahasa dan kesusasteraan Melayu terus giat dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melangkaui sempadan negara. Pelbagai program yang dijalankan berkaitan dengan pengembangan bahasa dan kesusasteraan membuktikan bahawa DBP terus bertindak dengan cergas dan aktif sesuai dengan visi dan misinya.

Bersempena dengan Program Ziarah Mahabbah DYTM Tuanku Raja Muda Perlis bersama-sama delegasi MAIPs (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis) ke wilayah Phuket, Thailand, majlis Malam Puisi DBP bersama-sama Alumni KUIPs (Kolej Universiti Islam Perlis) telah dilaksanakan dengan jayanya pada malam ini. Majlis tersebut diserikan dengan keberangkatan tiba Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Raja Muda Perlis bersama-sama tetamu kehormat dalam Majlis Malam Puisi DBP bersama-sama Alumni KUIPs.

Keberangkatan Raja Muda Perlis ke majlis tersebut menggambarkan keprihatinan baginda terhadap aktiviti bahasa dan persuratan Melayu yang sememangnya menjadi teras kepada pembangunan minda dan keintelektualan bangsa. Program ziarah ini membuktikan bahawa hubungan kerjasama antara negara boleh diperkuat menerusi pelbagai program bukan sahaja melibatkan ekonomi dan pentadbiran negara, tetapi juga berkaitan dengan bahasa dan kesusasteraan.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran semasa berucap dalam majlis tersebut.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran menerusi ucapannya merakamkan penghargaan kepada MAIP’s yang merupakan penggerak utama program ziarah tersebut kerana sudi mengundang DBP untuk turut serta. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa DBP akan terus mempergiat usaha untuk menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu di enam Wilayah Andaman, iaitu Krabi, Ranong, Phuket, Phang Nga, Trang dan Satun.

DBP akan mewujudkan Munsyi Jawi untuk membantu usaha DBP dalam memperkasakan tulisan Jawi di Selatan Thailand, selain memperbanyak kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan yang lain.

Malam Puisi DBP bersama-sama Alumni KUIP’s menampilkan persembahan deklamasi puisi oleh beberapa orang tokoh terkenal dan individu lain. Antaranya ialah YB Dato’ Sri Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis; Prof. Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis; Prof. Emeritus Dato’ Dr. Kamarudin Hussin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis; Tuan Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi.

YB Dato’ Sri Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis sedang mendeklamasikan puisi nukilan Prof. Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.
Prof. Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin sedang mengabadikan puisi untuk ayahandanya.
Prof. Emeritus Dato’ Dr. Kamarudin Hussin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis, turut mendeklamasikan puisi.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor turut sama mendeklamasikan puisi dalam majlis tersebut.
Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi ketika membacakan puisi.

Turut menyerikan Malam Puisi DBP bersama-sama Alumni KUIP’s ialah persembahan oleh dua kumpulan nasyid.

Persembahan nasyid.
Antara tetamu yang hadir dalam majlis Malam Puisi DBP bersama-sama Alumni KUIP’s.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.