Oleh Rahman Shaari
21 Jun 2022, 08:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terhadap perkembangan dan kemajuan kesusasteraan Malaysia adalah terlalu besar. Sejak awal penubuhannya, kita dapati judul demi judul buku sastera diterbitkan, dan diikuti penerbitan majalah secara bulanan.

Jenis buku sastera yang diterbitkan ialah kajian sastera, prosa dan puisi klasik, novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, dan kumpulan drama. Buku kajian sastera karya A. Samad Ahmad diterbitkan pada tahun 1957 bertajuk Sejarah Kesusasteraan Melayu 1, dan diikuti dengan sambungannya (Sejarah Kesusasteraan Melayu 2) pada tahun 1958.

Karya prosa klasik yang diterbitkan pada tahap awal ialah Singapura Dilanggar Todak, iaitu karya adaptasi daripada Sejarah Melayu. Seterusnya, kita menemukan karya adaptasi Laksamana Hang Tuah dan Batu Belah Batu Bertangkup yang ditulis oleh A. Samad Ahmad juga.

Buku kajian dan karya adaptasi tersebut berfungsi membangkitkan minat membaca karya sastera dalam kalangan masyarakat. Buku-buku ini juga dibawa ke sekolah untuk dipelajari di pelbagai peringkat. Pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah dalam dekad 1960-an telah mengenali buku Singapura Dilanggar Todak, Laksamana Hang Tuah dan Batu Belah Batu Bertangkup.

Perkembangan penerbitan buku DBP menjadi kian gemilang dari masa ke masa. Dalam dekad 1960-an dan 1970-an, muncul novel-novel karya pengarang yang amat menjanjikan. Novel Salina karya A. Samad Said diterbitkan oleh DBP pada tahun 1961. Antara novel besar yang diterbitkan ialah Sandera karya Arena Wati (1971), Srengenge karya Shahnon Ahmad (1973), Juara karya S Othman Kelantan (1976), manakala Hari-hari Terakhir Seorang Seniman karya Anwar Ridhwan terbit pada tahun 1979. Perlu disebutkan, pada tahun 1976, sebuah lagi karya A. Samad Ahmad yang berasaskan Sejarah Melayu iaitu Zaman Gerhana diterbitkan oleh DBP.

Selain novel-novel besar itu, terdapat juga karya-karya Azizi Haji Abdullah, Baharuddin Kahar dan beberapa novelis yang terkenal. Semua ini merupakan sumbangan besar kepada pengarang dan peminat novel tanah air.

Kumpulan cerpen juga banyak diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Antara buku-buku itu ialah karya Anwar Ridhwan Parasit (1976), Sesudah Perang (1978) dan Sangkar (1986), juga Kota ke Kota (1977) dan Sebuah Pekan Bernama Semporna (1982) karya Abdullah Hussain. Kumpulan cerpen ini menjadi contoh dan pendorong penulis-penulis muda untuk memajukan karya mereka.

Kumpulan puisi terbitan DBP yang sentiasa diingati ialah Salam Benua karya Usman Awang (1982). Usman Awang terkenal dengan gaya romantik, namun kerap memuatkan kritik sosial. Selain itu, DBP juga menerbitkan karya-karya Latiff Mohidin, Muhammad Haji Salleh, Baha Zain, Kemala, Zurinah Hassan, T. Alias Taib, Rahman Shaari, dan beberapa lagi. Karya Latiff Mohidin ialah Kembara Malam (1974) dan Pesisir Waktu (1980). Sajak-sajak Latiff Mohidin menjadi contoh yang mantap untuk sesiapa yang ingin meninjau aliran surealisme dalam persajakan.

Muhammad Haji Salleh menghasilkan buku-buku Sajak-sajak Pendatang (1973) dan Sajak-sajak Sejarah Melayu (1981). Penyair ini memberikan sumbangan pemikiran bernas melalui karya-karyanya. Muhammad Haji Salleh terkenal dengan gaya intelektual. Lebih daripada itu, buku Sajak-sajak Sejarah Melayu merupakan adaptasi karya historiografi Sejarah Melayu. Buku ini ialah contoh karya adaptasi yang diusahakan dengan kesungguhan.

DBP menerbitkan karya-karya Baha Zain yang bertajuk Perempuan dan Bayang-bayang (1974) dan Tiga Catatan Perjalanan (1980). Berlainan daripada Latiff Mohidin dan Muhammad Haji Salleh, Baha Zain mengemukakan gaya pengakuan (confessional). Penyuaraannya yang jujur dan pengemukaan hakikat dalam masyarakat menimbulkan kesan yang kukuh dalam akal pembaca. Identiti Baha Zain terlihat pada gaya yang sedemikian.

Penyair-penyair lain juga yang beroleh peluang menerbitkan karya mereka di DBP, kebanyakannya memiliki gaya tersendiri. Mereka ialah penyair-penyair yang mantap.

Skrip drama Noordin Hassan memperoleh peluang diterbitkan oleh DBP. Karyanya itu berjudul Bukan Lalang Ditiup Angin (1979). Perlu dinyatakan, drama tersebut pernah dipentaskan di DBP pada tahun 1971, dan mendapat sambutan yang cukup baik. Perlu disebutkan juga pada tahun 1963, DBP sudah pun menerbitkan drama realisme bertajuk Atap Genting Atap Rumbia, karya Kala Dewata. Pelajar drama dan teater elok membaca karya-karya mereka berdua untuk melihat dan mengenali dua aliran yang amat berbeza.

Pada awal bicara, penulis menyebutkan penerbitan majalah bulanan. DBP menerbitkan majalah Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Tunas Cipta, dan beberapa lagi, untuk tatapan masyarakat yang cenderung pada bidang yang berbeza-beza. Majalah Dewan Bahasa adalah untuk pelajar dan peminat ilmu bahasa. Majalah ini memuatkan makalah yang membicarakan persoalan tatabahasa dan juga sosiologi bahasa. Majalah Dewan Masyarakat pula memuatkan makalah-makalah yang tebal dengan pembicaraan kehidupan manusia dalam negara dan luar negara serta masalah sosial dan politik yang dibicarakan secara mendalam dan saksama.

Dewan Sastera ialah majalah yang memuatkan karya penulis-penulis berbakat.  Di samping itu, dalam majalah ini dimuatkan kupasan dan kritikan sastera. Tiga majalah yang terakhir itu adalah untuk pelajar dengan penekanan yang berbeza-beza.

Selain menerbitkan buku dan majalah, DBP juga amat berjasa kepada sasterawan. Sejak tahun 1971, Hadiah Sastera Malaysia ditubuhkan. Kini, nama baharu untuknya ialah Hadiah Sastera Perdana Malaysia.  Sejumlah karya para sasterawan telah memperoleh kemenangan, dan kemudian dipilih menjadi teks kesusasteraan di sekolah. Selain itu, DBP juga ialah urus setia kepada beberapa anugerah sastera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.