Oleh Fadli al-Akiti
13 April 2022, 08:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Coretan ringkas ini disesuaikan daripada Nota Editor Fadli al-Akiti dalam Dewan Sastera Bil.01/2021.

DS setakat ini merupakan satu-satunya majalah sastera khusus yang dapat bertahan selama 50 tahun di Asia Tenggara. Walaupun kelangsungan ini diraikan, pihak editorial dan setiap penyokongnya harus berwaspada dengan cabaran zaman mendatang.

Akhirnya kita tiba di sini, pada umur Dewan Sastera (DS) menginjak 50 tahun. Majalah sastera nasional negara ini sudah menyaksikan tujuh Perdana Menteri Malaysia (bermula dengan Tun Abdul Razak) menentukan hala tuju kita. Bagi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang memayungi DS, sudah sembilan Ketua Pengarah (bermula dengan Datuk Haji Sujak Rahman) yang memerhatinya membesar, dan berbelas editor serta berpuluh sidang editorial yang telah menerajuinya. Para penulis dan karyawan? Apatah lagi, beratus, dengan pelbagai latar belakang, keturunan, pendidikan, pendirian, isme, dan tujuan. Mereka telah menaburkan bakti dengan sumbangan karya, meluaskan lagi ke mana arah tujuan “seni hati nurani” kita dapat melangkau, sejauh mana perkembangan sastera kita dapat dituju.

DS sendiri setelah 50 tahun, sudah menerima pelbagai pujian dan kecaman terhadap sidang editorialnya. Alhamdulillah, segalanya telah dihadapi dengan tabah. Dengan kegigihan tanggungjawab itulah juga, serta dengan tulang empat kerat yang tidak seberapa, sidang editorial ini berazam untuk bekerja dan menghadapi sebarang pujukan atau tekanan yang diduga akan lebih hebat lagi.

DS setakat ini merupakan satu-satunya majalah sastera khusus yang dapat bertahan selama 50 tahun di Asia Tenggara. Walaupun kelangsungan ini diraikan, pihak editorial dan setiap penyokongnya harus berwaspada dengan cabaran zaman mendatang. Dengan beralihnya zaman, beralihlah teknologi, permintaan dan budaya hidup masyarakatnya. DS dan karyawan yang menyokongnya, harus peka dan sedar dengan pelbagai tekanan dan transformasi yang diharapkan dapat diisi dalam majalah ini. Selain cakna terhadap permintaan dalaman dan luaran yang makin mencabar ini, setiap karyawannya juga perlu bermuhasabah diri. Adakah karya kita sudah berkembang baik dengan peredaran zaman? Adakah pengkaryaan kita mahu kekal tetap pada takuk yang sama? Apakah kelemahan-kelemahan yang kita sengaja tidak pedulikan?

Namun, menjejak 50 tahun DS masih terasa manis. Hal ini diceriakan lagi kerana keraian ini bukan sahaja kerana kesanggupan DBP terus-menerus menerbitkan majalah ini saban bulan atas rasa tanggungjawab yang besar kepada negara, tetapi kumpulan penulis dan karyawan yang terus-menerus menyokongnya saban tahun dengan pengkaryaan, cadangan, belian dan langganan (malah kini, muat turun dalam talian). Semoga sokongan ini terus berlipat ganda pada tahun-tahun yang mendatang.

_________________________

Fadli al-Akiti merupakan editor Dewan Sastera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.