Oleh Karmila Azmi
6 Mac 2022, 12:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Masyarakat seharusnya berusaha untuk terus memartabatkan bahasa Melayu dan usaha tersebut perlu dibuat secara konsisten.

Sehubungan itu, usaha pembangunan karya berbahasa Melayu bukan hanya digalas oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tetapi juga kerajaan negeri.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Yang Berhormat Dato’ Haji Hishamuddin Abdul Karim berkata, satu daripada usaha tersebut ialah majlis pengiktirafan dan penganugerahan kepada penulis yang menulis dalam bahasa Melayu.

Berucap dalam majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Iman kali kelima (HASDI V) malam tadi, Hishamudidin berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha sedemikian.

“Mari kita bersama berusaha memartabatkan bahasa Melayu. Pengiktirafan begini bukan hanya majlis dwitahunan tetapi ia adalah pengiktirafan untuk memuliakan bahasa Melayu.

“Kita perlu ingat, penulis ialah wakil zaman, mereka kekal megah dan tekal memperjuang khazanah bangsa. Seperti kata penyair, T. Alias Taib, di mata duka berdesir, di jiwa luka mengalir,” katanya.

Tegas Hishamuddin, setiap daripada kita membesar dengan karya sastera. Tanpanya, negara akan tandus dan mati.

“HASDI ialah cerminan kesungguhan kerajaan negeri memartabatkan sastera, bukan hanya di Terengganu tetapi di Malaysia. Pengiktirafan ini permulaan penting untuk memastikan karya sastera berada di tengah masyarakat,” katanya.

Terdahulu dalam Seminar Pemikiran A. Rashid Ngah, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi berkata, DBP sebagai badan yang dipertanggungjawabkan bagi perkembangan sastera dan bahasa di seluruh negara komited dengan amanah itu.

“Walaupun dalam keadaan semasa, DBP tetap tekal berusaha menunaikan tanggungjawabnya dan kini kita memperhebatkan usaha untuk pendigitalan.

“Walaupun mungkin agak lewat, tetapi kita tetap komited dan ia memang bukan usaha yang mudah tetapi kami terus belajar dan berusaha sebaiknya,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.