22 Oktober 2021, 08:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Miri – Sejumlah pengkritik dan penggiat sastera membentangkan kajian mereka terhadap karya Zainal Abidin Suhaili, atau lebih dikenali sebagai Abizai dalam sebuah wacana khas anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak. Wacana Pemikiran Sasterawan Negeri Sarawak 2021 ini diadakan pada 20 Oktober 2021 (Rabu), khusus bagi mengangkat dan membicarakan pemikiran dan jiwa kepengarangan, serta analisis terhadap hasil karya pemenang Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak, Abizai. Majlis tersebut diadakan di Hotel Imperial, Miri, Sarawak.

Antara pembentang ialah Abang Median Abang Said, penulis dan Guru Kanan Bahasa di SMK Marudi, Baram, Sarawak. Berlatarbelakangkan pendidikan perguruan dan psikologi kanak-kanak, beliau yang sering menerima hadiah sastera baru saja menerima Anugerah Sastera Negeri Sarawak dalam kategori Genre Cerpen dan Genre Novel Julai lalu.

Abang Median membentangkan kajian khusus yang menyelam bentuk sufistik dalam penulisan Abizai, dengan tajuk kertas kerja “Merenangi Sungai Sufistik dalam Merdeka Burung”. Merdeka Burung ialah buku kumpulan puisi Abizai yang mengetengahkan unsur kerohanian dan ketuhanan.

Sebuah kenyataan Abizai berbunyi, “Penyair harus berani bercinta,” dicuplik oleh Abang Median, konotasi yang boleh ditafsirkan dalam pelbagai pentafsiran. Dalam peringkat awal kepengarangan Abizai, kenyataan ini boleh dimaksudkan sebagai percintaan sesama manusia. Namun begitu, apabila melihat karya-karya beliau hari ini, konotasinya boleh juga ditafsir kepada perspektif percintaan kepada Tuhan.

Abizai juga cukup kental memasukkan unsur simbol dalam karya-karyanya. Menerusi karyanya seperti “Menyediakan Sayap Dalam Senyap”, “Merdeka Burung”, “Puisi Bersayap”, “Mengalah dengan Cinta”, dan “Rindu Pungguk”, penyair ini menyerlahkan penggunaan simbol secara jelas, bobot, malah malar namun berimpak.

Karya sastera sufistik mempunyai perbezaan yang besar dan eksklusif daripada karya sastera keagamaan yang biasa. ‘Sufi’ mungkin berasal daripada perkataan Yunani, iaitu ‘sophia’ yang bermaksud “kebijaksanaan”. Peristilahan menurut agama yang lebih tepat daripada Syeikh Junaid al-Baghdadi, ‘sufi’ merujuk “pembersihan hati”. Apabila dikaitkan dengan sastera sufistik, hal ini selaras dengan makna sufi dalam gagasan sastera yang mengajak manusia ke arah nilai keinsanan, iaitu “amar makruf” sebagai inisiatif manusiawi, dan “nahi mungkar” sebagai pembebasan manusia daripada belenggu bahaya dunia.

“Terdapat banyak diksi dan bentuk perlambangan yang sering kali muncul dalam karya Abizai, sehingga muncul suara yang tipikal dalam karya beliau,” tambah Abang Median. Simbol-simbol seperti ‘buah’, ‘kelawar’, ‘burung’, ‘matahari’, ‘laut’, dan ‘perahu’ merupakan antara simbol yang terdapat dalam Merdeka Burung.

Dalam sajak “Menyediakan Sayap Dalam Senyap”, Abizai mengangkat martabat ilmu dan agama dalam manusia, dan menggunakan ‘gua’ sebagai lambang kegelapan yang akan menghuni hati manusia yang tanpa ilmu dan juga agama. ‘Cahaya’ juga biasa digunakan sebagai simbol harapan, kesedaran dan juga ilmu menerusi karya beliau.

Sesuai dengan kedudukannya kini sebagai Sasterawan Negeri Sarawak, selain penerima SEA Write Award, karya Abizai juga wajar dibaca dengan penghayatan dan kajian yang mendalam, kerana gaya kepengarangannya hari ini semakin menonjolkan kelainan dan keterampilan yang tersendiri. Malah, sudah menjadi tanggungjawab pihak penerbitan untuk memeriahkan lagi penerbitan buku-buku lamanya, kerana sebahagian besar daripada karya-karya beliau tidak lagi berada di pasaran, menurut Dr. Jeniri Amir menerusi wacana ini.

Dua buah judul karya Abizai, Memandang Cangkerang dan Alam Hakiki dalam Puisi Penyair Sarawak terbitan DBP dilancarkan oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasan dan Sastera DBP, Yang Berbahagai Dr. Abang Patdeli Abang Muhi pada majlis perasmian wacana itu.

Tonton Majlis Perasmian Wacana Pemikiran Sasterawan Negeri Sarawak 2021 di sini. Baca kertas kerja wacana di sini.

Berita Berkaitan |

Abizai Sasterawan Negeri Sarawak ke-5 dalam Majlis Penyampaian Maya Gilang-gemilang

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.