21 Oktober 2021, 08:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching Acara penganugerahan sastera berprestij Sarawak, iaitu Anugerah Sastera Negeri Sarawak (ASNS) telah melabuhkan tirainya pada bulan Julai lalu, yang telah diperintiskan dan berlangsung sejak tahun 1994, selama 27 tahun sehingga hari ini.

Pada 19 Oktober 2021, menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP, berlangsung Majlis Penyampaian Anugerah Sastera Negeri Sarawak ke-10 anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Sejak tahun 1994, seramai lima orang telah dinobatkan dengan Anugerah Sastera Negeri Sarawak, bermula dengan Sasterawan Negeri Sarawak pertama Haji Muhammad Bujang (Melati Sarawak), kemudian Muhammad Rakawi Yusuf pada tahun 1995, Datu Dr Haji Adi Badiozaman Tuah pula menyusul (2009), dan kemudian Jong Chian Lai (2014). Kini, ASNS 2020 diberikan kepada Zainal Abidin Suhaili, atau lebih dikenali sebagai Abizai.

“Saya kini memikul tanggungjawab yang besar, untuk menghasilkan karya yang lebih baik dan bermutu pada masa akan datang,” ucap Abizai.

Ucapan alu-aluan majlis turut diberikan oleh Yang Berusaha Encik Abang Haliman Abang Julai, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Ujar beliau, “Sastera merupakan medium komunikasi dan interaksi untuk berhubung dengan masyarakat dan membentuk masyarakat itu sendiri.”

Ucapan penghargaan pula diberikan oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, yang menekankan kepentingan masyarakat untuk menerima perubahan demi melangsungkan kehidupan dengan kekuatan gagasan persuratan yang perlu merangkumi pelbagai harapan dan impian negara.

Beberapa sajak penerima ASNS 2020 ini dideklamasikan secara pementasan, termasuk “Nyamuk, Kelambu dan Bulan”, “Derita Bosnia-Herzegovina” dan “Mengapa Harus Memilih Wajah Garang Peperangan?”. Pada masa yang sama, Wacana Pemikiran Sasterawan Negeri Sarawak 2021 turut diadakan pada 20 Oktober bagi membicarakan kepengarangan dan hasil karya Abizai. Majlis diadakan di Hotel Imperial Miri, Sarawak.

Setelah itu, karya Anugerah Penulis Sarawak (APS) Bahasa Iban Janang Ensiring, “Dunya Tu Panggau Pengelulu“ pula dipersembahkan dengan penuh semangat dan penghayatan.

Bagi Anugerah Genre Cerpen dan Anugerah Genre Novel yang dimenangi oleh Abang Median bin Abang Said, beberapa babak pilihan daripada novelnya, Jejak Hilang Yang Pulang dipersembahkan secara dramatik dan baik aturannya di atas pentas. Dalam ucapan penghargaannya, Abang Media menyatakan hal tanggungjawab penulis untuk berkarya dengan semangat dan harus berupaya menghasilkan karya yang baik sehingga menembus dinding antarabangsa.

Bagi Anugerah Penulis Genre Puisi dan Anugerah Penulis Genre Esei yang dimenangi oleh Ja’afar bin Haji Hamdan, sajak “Bunga yang Menangis” dan “Aku Masih Mahu Cinta” dideklamasikan oleh deklamator dengan penuh penghayatan, di samping dendangan seruling yang sayup-sayup. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan buat DBP Cawangan Sarawak kerana usaha sebegini akan meningkatkan kegiatan sastera di bumi kenyalang.

Anugerah Khas Bahasa dan Sastera dianugerahkan secara posthumous buat Allahyarham Awang Bujang Awang Hamdan, dan isterinya Normah Nazari mewakili beliau sebagai penerima anugerah khas itu.

Tonton tayangan majlis penganugerahan di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.