Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSastera tidak akan pudar dengan adanya penelitinya, pencintanya dan pengarangnya. Begitu juga pakar bidang yang terdiri dalam kalangan ahli akademik, yang sekali gus mempunyai kepakaran tertentu dalam genre sastera Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan bahasa, sastera dan penerbitan yang dari dahulu hingga kini mengusahakan pembentukan istilah untuk pelbagai bidang ilmu, termasuklah bidang sains dan teknologi.
Oleh itu, menerusi rancangan Cakna Ilmu: Peka Bahasa “Memperkasakan Istilah Kesusasteraan” pada 17 Ogos 2021 (Selasa) telah menampilkan Dr. Shamsudin Othman, pensyarah kanan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan beberapa kupasan yang berkait tentang pembentukan istilah sastera dan cabaran pembentukan istilah dari kaca mata para peneliti sastera. Menurut Dr. Shamsudin Othman, “Istilah sastera yang dibentuk itu perlu memenuhi keperluan sezamannya atau keperluan semasa.”
Sesuatu penggunaan istilah walau diterima pakai oleh ramai orang bukanlah bermakna ia dapat digunakan dengan sewenang-wenangnya …
DS: Apakah yang membezakan konsep perkataan dan konsep istilah dalam pengertian biasa?
Sesetengah masyarakat pada masa kini ada yang keliru antara konsep perkataan dengan istilah sastera. Perkataan ialah sesuatu himpunan kata yang digunakan oleh masyarakat awam dan bersifat umum atau apa-apa sahaja yang digunakan dalam penulisan atau komunikasi seharian. Manakala dalam bidang linguistik pula, istilah terbina daripada penelitian pakar atau para peneliti bidang tersebut. Namun begitu, apabila menjelaskan konsep istilah secara spesifik, haruslah dikelompokkan untuk bidang ilmu tertentu dengan memiliki makna yang tepat, mempunyai fungsi serta tahap keabsahan yang tinggi.
DS: Bagaimanakah terbinanya istilah dalam sastera?
Dalam pembentukan istilah, ada beberapa langkah yang perlu dipatuhi. Pertama, perlulah mencari kata akarnya atau kata jati asli dalam sesuatu masyarakat atau komuniti. Selain itu, kosa kata bahasa Melayu bukan sahaja terikat untuk negara Malaysia semata-mata, tetapi juga hubungan serantau (negara lain dalam rumpun Melayu) yang menjadi sumber perolehan istilah baharu dalam bidang sastera. Misalnya, mengambil kira istilah yang diguna pakai di Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam dan Thailand, yang akhirnya dikatakan sebagai kata akar asli Melayu.
Kedua ialah keterbukaan dan tidak terikat dengan perkataan sedia ada. Bahasa itu hidup dan kaya, dan penerimaan istilah daripada bahasa asing merupakan sesuatu yang normal bagi perkembangan dan kelangsungan bahasa Melayu. Hal ini bukan bermakna bahasa Melayu itu miskin atau kurangnya kosa kata, tetapi penerimaan kosa kata itu dapat disesuaikan dengan perkembangan dan situasi semasa. Pembentukan istilah baharu juga barangkali boleh berlaku semasa proses transliterasi, seperti penemuan istilah yang jarang-jarang kita dengar tetapi didokumentasikan dalam manuskrip terdahulu.
Ketiga ialah pengubahsuaian sesuatu istilah. Misalnya dahulu tiada lagi diciptakan istilah “cerno”, tetapi pada zaman seterusnya telah diguna pakai istilah tersebut. Cerno ialah akronim yang merujuk “cerpen” dan “novel”. Cerno telah dibuktikan melalui hasil karya Sasterawan Negara S. Othman Kelantan untuk karyanya Nagogho Astana, dan Anwar Ridhwan untuk karyanya Naratif Ogonshoto. Kedua-dua karya ini dikatakan oleh peneliti sastera sebagai cerpen atau novel, atau kumpulan cerpen yang melengkapi untuk menjadi sebuah novel.
DS: Apakah cabaran-cabaran pembentukan istilah baharu dalam sastera?
Cabaran utama ialah menentukan kesepakatan dan penerimaan bersama antara semua pihak, termasuklah para peneliti sastera, sarjana sastera dan komuniti yang menyelami dunia perkembangan sastera. Penerimaan istilah ini juga disepakati secara harmoni tanpa adanya penafian terhadap penolakan yang berlaku. Contohnya, kita mengambil istilah dalam bahasa Inggeris, iaitu “folklore” yang merujuk cerita rakyat. Namun, ada sesetengah peneliti sastera berpandangan bahawa istilah ini merujuk sastera rakyat, buku rakyat dan hikayat. Pertembungan pandangan ini akhirnya diputuskan dalam perbahasan dengan mengambil kira keputusan bersama dalam rangka konsep kesarjanaan dan pembuktian terhadap makna, takrifan atau “saintifik makna pada bidang” yang boleh dipertanggungjawabkan kepada pembinaan sesuatu istilah tersebut.
DS: Kenapakah penggunaan istilah bahasa Melayu klasik banyak mempengaruhi istilah dalam sastera pada masa kini?
Untuk konteks ini, kita meletakkannya dalam istilah “arkaik” yang bermaksud istilah-istilah lama atau perkataan asli Melayu yang pada masa kini masih sesuai lagi penggunaannya. Dato’ Rahman Shaari bersama-sama beberapa orang penulis misalnya telah menghasilkan kamus arkaik, dengan mengambil sumber istilah daripada Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa, dan sebagainya. Contohnya, perkataan “zulmat” yang bermaksud gelap gelita atau keadaan sesat tanpa hidayah. Dan, perkataan ini perlu dihidupkan semula fungsi maknanya bagi tujuan memperkaya kosa kata bahasa Melayu, tanpa adanya istilah daripada bahasa asing sebagai pengganti pada istilah yang sedia ada.
DS: Bagaimanakah peranan yang boleh dimainkan oleh guru untuk memanfaatkan istilah sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran bahasa Melayu pada masa kini?
Penerbitan buku Glosari Istilah Kesusasteraan inilah sebagai salah satu panduan dan pedoman untuk membantu para guru dan pelajar di sekolah mendapatkan rujukan berautoriti, selain daripada capaian internet menerusi laman sesawang tertentu sebagai rujukan pantas. Namun begitu, tidak semua istilah yang tersebar dalam laman sesawang atau media sosial itu terbukti kesahihan dan keabsahan takrifnya. Oleh hal yang demikian, sesuatu penggunaan istilah walau diterima pakai oleh ramai orang bukanlah bermakna ia dapat digunakan dengan sewenang-wenangnya (khususnya dalam konteks pendidikan).
DS: Apakah pandangan Dr. tentang penggunaan bahasa rojak?
Aspek utama ini bergantung pada masyarakat yang memahami konsep jati diri. Pengaruh luar yang tersebar ini diperlihatkan dapat memberikan dua kesan langsung kepada masyarakat. Pertama, mewujudkan kekayaan istilah sains, teknologi, perubatan atau bidang tertentu. Kedua, penggunaan yang tidak terkawal yang mengakibatkan kemerosotan dan kehilangan kualiti bahasa Melayu yang sekali gus menghilangkan identiti jati diri sebagai warga Malaysia.
DS: Apakah yang dimaksudkan dengan istilah “karya”?
Istilah “karya” berasal daripada bahasa Sanskrit, yang bermaksud “teks”. Karya juga boleh ditakrifkan sebagai produk yang dihasilkan oleh pengarang dan milik peribadi kepada pencipta teks asal. Misalnya, karya disebut sebagai karya puisi, cerpen atau novel. Ada juga karya yang ramai penulisnya, dan hal ini dikenali sebagai karya bersama. Menurut Glosari Istilah Kesusasteraan, “karya” merujuk sesebuah buku yang ditulis oleh pengarang.
_________________________
Tonton bual bicara di sini.