Oleh Karmila Azmi
29 Julai 2021, 23:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sejak sekian lama, sastera diketahui sebagai mewakili zamannya. Hubungannya dengan persekitaran dan politik sangat dekat sehingga sastera di tangan pengarang yang bijak menjadi senjata terbaik untuk melontarkan kritikan.

Hal ini jelas dilihat dalam kupasan terhadap karya yang ditulis oleh Sasterawan Negara ke-13, Datuk Dr. Zurinah Hassan sepanjang Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan, “Daripada Pujangga Tidak Bernama kepada Sasterawan Negara Wanita Pertama” yang bersiaran secara dalam talian pada 29 Julai 2021 (Khamis).

Seminar ini dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pertama kali diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom, sekali gus membenarkan acara ini dicapai oleh semua ahli masyarakat pelbagai latar dan bidang, berbanding dengan seminar sebelum ini yang agak sukar diakses oleh masyarakat umum.

Seminar yang mendapat sambutan baik daripada khalayak umum itu dimulai dengan ucaptama oleh Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang membentangkan “Zurinah Hassan di Lebuh Raya Perubahan: Penyair Yang Baik dan Terbuka, Jujur Lagi Kontemporer”.

Seterusnya, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Che Abdullah Che Ya antara yang mengupas mengenai karya Zurinah menerusi kertas kerja “Sastera Sebagai Wadah Penulis Melahirkan Suara Hati terhadap Kepincangan Masyarakat: Analisis Kumpulan Cerpen Murka Lautan”.

Tegas Che Abdullah, sastera tidak berfungsi sebagai hiburan, pendidikan dan kritikan sosial semata-mata, sebaliknya mengandungi sensitiviti, emosi, wawasan dan harapan seseorang pengarang.

Katanya, karya sastera menjadi wadah seseorang pengarang melaksanakan misi dan visi mereka seperti yang terpancar dalam kumpulan cerpen Murka Lautan.

“Hubungan antara sastera dengan politik menunjukkan, penghasilan sesebuah karya sastera sangat dipengaruhi oleh perkembangan politik sesebuah negara.

“Kumpulan cerpen Murka Lautan mengkritik mengenai kepincangan politik, seperti yang boleh dilihat dalam cerpen ‘Cerita Berangkai Hulu Negeri’, manakala cerpen ‘Kaduk, Ayam dan Raja’, ‘Menara Impian’ dan ‘Murka Lautan’ sendiri mengangkat persoalan politik secara tidak langsung.

“Antara kepincangan politik yang digarapkan oleh pengarang termasuklah perpecahan dalam masyarakat Melayu akibat perbezaan parti, keruntuhan moral pemimpin, dan juga keburukan sistem feudal,” katanya.

Dalam cerpen “Kaduk, Ayam dan Raja” dan “Kerongsang Berlian Wan Tempawan”, Zurinah keras menegur sikap dan kecuaian orang Melayu apabila tanah-tanah hak milik orang Melayu terlepas ke tangan bangsa asing.

Tindakan ini menyebabkan generasi muda Melayu akan hilang hak terhadap tanah simpanan Melayu sendiri, seperti yang diangkat dalam “Kerongsang Berlian Wan Tempawan”.

“Golongan bangsawan ini ditegur kerana mereka mendapat tanah dengan mudah, tetapi tidak menjaganya dengan baik, manakala dalam cerpen ‘Kaduk, Ayam dan Raja’ pula, pengarang mengkritik sikap golongan yang berkuasa mengambil tanah rakyat biasa sesuka hati,” katanya.

Naskhah yang terbit pada tahun 2016 itu turut mengkritik mengenai kepincangan sosial apabila Zurinah turut menyentuh tentang kehidupan serba mewah dan pendidikan tinggi tidak bererti sekiranya nilai moral dan agama tidak dijadikan landasan kehidupan.

Kesinambungan daripada seminar berkenaan, satu forum khas yang membincangkan karya Zurinah turut diadakan pada sesi petang setelah pembentangan semua kertas kerja. Forum Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera DBP, menampilkan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) 2010, Zaen Kasturi dan dua penyair wanita, Raihani Mohd. Saaid dan Ainunl Muaiyanah Sulaiman.

Dalam forum yang dikendalikan oleh Hafiz Latiff itu, Zaen Kasturi berkata, Zurinah melalui jalan yang panjang sebagai seorang pengarang. Bermula sejak tahun 1960-an, Zurinah disifatkan sebagai seorang pengarang yang meninggalkan tanda dalam ranah sastera kebangsaan hingga akhirnya dinobat sebagai Sasterawan Negara.

“Zurinah bermula dengan karya yang banyak dipengaruhi oleh feminisme kerana persekitarannya ketika itu. Tetapi pada satu tahap, beliau merasakan isu yang lebih besar adalah tentang negaranya, dan ketika itulah karyanya tampil dengan kritikan yang lebih keras. Dalam hal ini, saya tidak fikir faktor gender itu adalah pengaruh utama karyanya,” katanya.

Sementara itu, Ainunl berkata, walaupun ramai yang melihat karya beliau menyentuh mengenai feminisme tetapi perkara yang lebih utama ialah karya penulisannya banyak berkaitan dengan pilihan. Jika semua karya beliau dibaca dengan teliti, ternyata Zurinah bercakap mengenai pilihan.

“Zurinah juga dipengaruhi oleh kisah rakyat, menjadikan karyanya daripada kisah pujangga tidak bernama menjadi miliknya,” katanya.

Bagi Raihani yang juga anak sulung Zurinah menyifatkan, kesukaran capaian kemudahan untuk menjadi penulis tidak mematahkan semangat ibunya itu untuk terus berkarya. Malah, faktor itulah yang menjadi penguat semangat untuk beliau terus menulis.

“Beliau selalu menyebut, semua penulis bersaing untuk memajukan diri dan mendapat tempat,” katanya.

Seminar ini telah menghimpunkan lebih 18 pembentangan kertas kerja. Majlis yang bermula jam 9.00 pagi tadi telah dirasmikan oleh Pengerusi BERNAMA, YB Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi. Beliau turut melancarkan buku kumpulan sajak terbaharu Zurinah Hassan terbitan DBP, Menunggu Pesawat. Selepas pelancaran, Zurinah Hassan membacakan sajak “Lurah Bilut” daripada Menunggu Pesawat dan “Syair Tak Tercapai Akal Insani” daripada kumpulan puisi Cerita dalam Cerita.

Dapatkan kertas kerja seminar ini di sini. Anda juga boleh tonton forum seminar di sini. Beli kumpulan cerpen Murka Lautan di sini dan kumpulan sajak Menunggu Pesawat di sini. Sempena seminar ini, Dewan Sastera juga turut mengangkat Zurinah Hassan sebagai Karyawan Bulan Ini untuk edisi bulan Julai 2021 dan boleh dibaca di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.