Oleh Ramzah Dambul
20 Jun 2021, 12:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ramzah Dambul membuat timbang tara keberkesanan usaha melobi antara golongan aktivis sains dengan golongan aktivis sastera demi membangunkan kemajuan masyarakat dan peradaban masa depan.

Gerakan sastera juga mempunyai elemen kiambang, tetapi malangnya bukan kiambang yang bertaut.

Dalam siri pertama kolum ini, saya menulis tentang dikotomi pendidikan yang memisahkan sains dan sastera dalam dua aliran berbeza. Natijahnya, kita melahirkan masyarakat majoriti yang kurang seimbang, dari segi pemikiran lateral (otak kanan) dan literal (otak kiri). Tidak wujud pertemuan harmoni antara sentuhan logik dengan kreativiti, hingga merencatkan kemahiran daya cipta teknologi dan inovasi.

Kali ini, saya mahu menimbangtarakan gerakan sivil antara sains dengan sastera, yang nampaknya turut meneroka kembara yang berbeza. Gerakan sivil dalam konteks ini, merujuk usaha-usaha advokasi (penyokongan) untuk menjadikan dua bidang ini relevan dalam agenda negara. Ya, suatu usaha untuk mengangkat kepentingan sains dan sastera sebagai ramuan utama dalam membangunkan masyarakat dan membina peradaban.

Bagaimana syiar sains dan sastera cuba dimartabatkan di Malaysia oleh komuniti masing-masing, amat berbeza dari segi pendekatan dan keberhasilannya. Gerakan sains bersifat dinamik dan pragmatis; manakala gerakan sastera agak sentimental dan melankolia. Justeru, komuniti saintis selalunya lebih cekap dalam seni advokasi, dan dapat menuai hasil yang lebih pantas. Sedangkan aktivis sastera sering terbuai-buai dengan retorik berpanjangan, sehingga terpasung sekian lama pada takuk yang sama.

Mengapakah demikian? Hal ini berkait rapat dengan semangat solidariti dan kebersamaan. Saya melihat gerakan sains sangat sinonim dengan “biduk lalu, kiambang bertaut”. Ahli-ahli komuniti ini menggerakkan idealisme mereka dengan kesatuan yang teguh. Sesudah berdebat rancak dengan pelbagai idea dan hujah; mereka akan segera mencari titik pertemuan, seterusnya mengolah strategi pelaksanaan. Barangkali usaha ini serasi dengan disiplin sains yang fitrahnya lebih objektif dan sistematik.

Gerakan sastera juga mempunyai elemen kiambang, tetapi malangnya bukan kiambang yang bertaut. Ia lebih kepada sifat terapung: “pucuk tidak menggapai awan, akar tidak mencecah tanah”. Komuniti sastera mempunyai kegemaran aneh; suka bernostalgia dan mengulang-ulang harapan yang sudah lama berlalu. Mereka juga sukar mencari ruang persamaan, sehingga terpaksa memanjang-manjangkan isu yang tidak perlu, yang sepatutnya boleh ditamatkan dengan singkat. Barangkali hal ini satu pantulan natural daripada ciri sastera itu sendiri – yang penuh dengan keluk dan rona yang unik serta rencam.

Pendek kata, golongan saintis cergas bekerja dan menawarkan solusi. Golongan sasterawan pula, hebat menulis kertas kerja dan menyuguhi resolusi. Mungkin ada yang mencebik, kenyataan saya ini hanya andaian yang dipacu prejudis, dan bukan realiti sebenar di lapangan. Baiklah, saya mengaku bahawa ini hanya satu hipotesis, yang masih boleh dibahaskan keabsahan atau kebatilannya. Saya sedia menerima kritikan dan reaksi balas dengan hati yang terbuka.

Mari rungkaikan dua kes perbandingan sebagai teras diskusi. Pertama, kita analisis gerakan aktivis sastera dalam pendidikan, iaitu mengangkat subjek Kesusasteraan Melayu (KOMSAS) sebagai teras dalam kurikulum pengajaran dan pembelajaran. Usaha ini dibanding tara dengan advokasi golongan saintis dan teknologis dalam usaha mengarusperdanakan subjek STEM (science, technology, engineering and mathematics). Siapakah yang lebih berjaya? Suara siapakah yang lebih didengari oleh pihak pembuat keputusan dasar pada peringkat tinggi?

Walaupun advokasi STEM muncul lebih lewat daripada gagasan KOMSAS, namun daya keterlihatan STEM nampaknya jauh lebih bersinar. Pada peringkat nasional, sudah ada Pelan Halatuju Pendidikan STEM yang diperakukan oleh kabinet eksekutif. Daripada keberhasilan ini, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi seterusnya bersepakat untuk menubuhkan Pusat STEM Negara – yang mendapat peruntukan tahunan, serta sumber tenaga manusia yang khusus untuk menggerakkannya. Adakah KOMSAS berjaya menagih perhatian dan keistimewaan yang setara; atau adakah kesusasteraan semakin suram dan terpinggir di arena pendidikan?

Baru-baru ini, dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia ke-2, aktivis sastera, bahasa dan budaya yang berhimpun telah menghasilkan beberapa resolusi secara kolektif. Salah satu hasil resolusi yang sungguh novel (baharu atau luar biasa) ialah cadangan penubuhan Majlis Sastera Kebangsaan, yang membawa aspirasi berikut:

… penubuhan Majlis Sastera Kebangsaan sebagai badan pemikir yang bersifat autonomi, tetapi berakauntabiliti kepada Jabatan Perdana Menteri (dianggotai pelbagai individu berkepentingan). Majlis Sastera Kebangsaan berperanan sebagai pemegang taruh bidang kesusasteraan untuk menyemarakkan pengiktirafan, pengkaryaan, kegiatan apresiasi, penataran bakat, kemahiran dan keilmuan, merancang strategi pemasaran karya di dalam dan luar negara, serta mencipta peluang pekerjaan baharu berasaskan modal insan kreatif dan inovatif.

(Raja Yusoff Ariffin, eMajalah Dewan Sastera, 19 April 2021)

Persoalan yang wajib ditanya: siapakah yang akan menjuarai resolusi ini untuk sampai kepada pihak berautoriti yang memegang kuasa keputusan dan mandat pelaksanaan? Sudahkah ada jawatankuasa penggerak ditubuhkan, dan siapakah pengerusi serta ahli yang dilantik? Apakah strategi susulan kepada gugusan resolusi yang telah dikertaskerjakan? Inilah persoalan dasar yang sangat penting, kerana kertas tidak pandai bekerja. Yang mampu mengerjakan hasrat dalam kertas kerja tersebut hanyalah manusia. Kita tidak akan kenyang dengan sekadar berniat mahu menyantap nasi ambang setalam. Kita mesti menyuap, mengunyah dan menelan.

Cita-cita mahu menubuhkan majlis sebegini sudah bercempera dalam pelbagai wacana sastera sejak bertahun-tahun. Barangkali seawal milenia baharu, iaitu permulaan tahun 2000. Sayangnya, hal ini tidak pernah tumbuh lebih daripada sekadar benih impian. Setiap kali ada perhimpunan, sama ada secara berkala ataupun sekali-sekala, komuniti sastera akan mengulang nostalgia yang sama berkali-kali dengan penuh nada melankolik. Idea lama diperbaharui semula hanya dengan sentimen, tetapi bukan dengan tindakan.

Majlis Sains Negara ditubuhkan sekitar tahun 2015 dan mula beroperasi rancak semenjak tahun 2016 di bawah naungan YAB Perdana Menteri. Sekretariat bagi majlis ini ialah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; tetapi keahliannya merangkumi semua kementerian utama, kerana fungsinya merentas sektor, bidang dan agensi. Proses advokasi penubuhan majlis ini cuma berlangsung lebih kurang setahun, dan tidak bermula dengan rentetan resolusi yang diulang bincang bertahun-tahun. Gerakan dicetuskan oleh sekumpulan saintis dan teknologis menerusi kesepakatan dan kaedah pragmatis. Ekosistem sains sedia ada digali dan dikaji sedalam-dalamnya, lalu dijadikan sandaran dan justifikasi. Kemudian mereka memanfaatkan saluran teknokrat dan birokrat yang memegang mandat sebagai pembuat polisi. Gerak kerja ini menuntut iltizam bersifat tindakan, bukan sekadar semangat berapi-api.

Apakah yang boleh dipelajari oleh aktivis dan komuniti sastera dalam hal ini? Pertama, berjuang mesti dengan fakta, bukan hanya kata-kata. Kita perlu memahami setuntasnya segala asas dan tujuan fundamental terhadap tuntutan. Ekosistem sedia ada yang sedang beroperasi perlu dipetakan untuk mengelak daripada konflik dan pertindihan. Kedua, kita harus menubuhkan secara rasmi jawatankuasa penggerak dengan TOR (bidang tugas atau terms of reference) yang jelas. Ketiga, mengubah mentaliti daripada bersifat kiambang terapung kepada kiambang bertaut. Hal ini sangat kritikal kerana semua advokasi menuntut gerakan secara kolektif, bukan individualistik semata-mata. Justeru, muafakat ialah kunci mandatori kepada semua pintu keberhasilan.

Tulisan ini bukan sinis semberono, dengan tujuan mahu meremeh-remehkan atau merendah-rendahkan komitmen aktivis sastera. Tulisan ini merupakan satu refleksi genting yang menuntut penaakulan bersama. Dalam tradisi Nusantara, tiada sembarang pengalaman atau pernyataan yang boleh dianggap JAHAT, atau sekadar mahu merebahkan bangsa yang ingin berdiri. Kita berpegang pada pesan nenek moyang: yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Kalaupun sekiranya seluruh kata dalam tulisan ini buruk, maka sekurang-kurangnya kita boleh membina daripadanya sebuah batas sempadan yang teguh. Tetapi, jika ada terselit sedikit kebaikan, mungkin kita boleh mengutipnya sebagai mangkin untuk mencetuskan perubahan-perubahan yang signifikan dan bermakna.

_________________________

Ramzah Dambul (Prof. Madya Datuk Ts. Dr.) ialah seorang sarjana bidang sains atmosfera; yang gemar berpuisi, melukis dan berfantasi. Dalam dunia utopia, dia seekor murai sastera yang selalu berkicau di perbatasan sains. Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012/2013), Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (ITBM, 2014), Dari Cinta kepada Cinta (ITBM, 2015), dan memoir perjalanan Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (Studio Anai Anai, 2017).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.