4 Jun 2021, 19:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Industri buku seluruh dunia mengambil langkah merendahkan volum penerbitan akibat terjejas dengan pandemik COVID-19. Kemerosotan penerbitan buku secara fizikal meningkat sebanyak 90 peratus apabila buku-buku hanya diterbitkan sebanyak dua naskhah sebulan berbanding dengan sebelumnya sebanyak 20 naskhah sebulan. Hal ini bukan sahaja menjejaskan dunia perbukuan dan penerbitan, bahkan pekerja dalam industri penerbitan juga turut terjejas. Pandangan yang dilontarkan oleh Sri Diah Shaharuddin ini mengambil sudut pandang sebagai seorang penulis buku dan editor yang giat membimbing penulis dalam universiti penulisan secara maya.

Manakala Nisah Haron, seorang penulis dan aktivis sastera pula berpendapat, pandemik ialah musim yang menuntut survival daripada penulis kerana masa ini bukanlah masa yang paling optimum untuk menerbitkan banyak buku, bahkan inilah masa yang sesuai untuk penulis mewajarkan situasi dengan menetapkan kandungan penulisan. Meskipun prolifik merupakan penanda aras kepada penulisan melalui penerbitan yang giat, namun kualitinya juga perlu dinilai kembali.

Demikian lontaran pendapat dua panel Forum Cinta Buku “Pembacaan Sepanjang Hayat: Adaptasi dalam Norma Baharu” anjuran Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah pada 2 Jun lalu. Moderatornya, Tuan Syed Munawwar Sayed Mustar, Ketua Pegawai Eksekutif Dialektika begitu bijak memprovokasi dan menjambatani isu-isu yang berlegar seputar dunia penulisan, penerbitan dan pembacaan.

Muhamad Hanan Mohd Haniff, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USIM selaku panel ketiga pula berpendapat, meskipun rata-rata anak muda suka membaca secara dalam talian, namun pandemik yang sedang melanda telah membantutkan aktiviti mereka untuk memenuhi hasrat merantau untuk mendapatkan bahan bacaan dan ilmu penulisan secara fizikal.

Forum Cinta Buku menampilkan tiga panel (dari atas kanan: Nisah Haron, Muhamad Hannan dan Sri Diah) dan moderator Tuan Sayed Munawar yang giat berbincang selama dua jam.

Forum ini begitu rancak dan membuka pelbagai pintu tema pembacaan. Mereka berbincang tentang banyaknya aktiviti perbukuan tidak dapat dijalankan seperti Kota Buku, bengkel-bengkel penulisan dan penutupan perpustakaan fizikal. Hal ini telah melunturkan komitmen khalayak pembaca terhadap buku. Pembacaan secara dalam talian dilihat sebagai sesuatu yang berhalangan kerana hakikatnya, pembaca terikat dengan banyak komitmen di rumah, dan semestinya mata tidak dapat bekerja 24 jam dengan menatap gajet semata-mata. Oleh itu, Sri Diah menggesa supaya penerbit jangan terlalu lama dan selesa berada dalam situasi sekarang yang diibaratkan seperti “diam-diam rindu”. Justeru, swaterbit merupakan langkah yang paling berkesan untuk memastikan hayat dunia penerbitan dapat menyusur arus dengan cara yang tersendiri, dan juga mengikut disiplin penerbitan yang betul.

Nisah turut bersetuju dengan pendapat Sri Diah, bahkan menegaskan, setiap pertemuan dalam aktiviti perbukuan dan penulisan memberikan semacam input dan pemugar semangat kepada penulis untuk berkarya. Maka, halangan terbesar dalam musim pandemik bagi seorang penulis ialah “rintangan pengarang” (writer’s block), iaitu saat penulis mempunyai banyak idea tetapi tidak dapat memanifestasikannya menjadi sebuah karya. Interaksi di atas skrin tidak mencukupi kerana tidak berlaku pertukaran tenaga secara fizikal. Lantaran itu, kualiti penulisan merudum dan dunia penerbitan menjadi suram.

Jalur teknologi ialah citra baharu pembacaan generasi muda dekad ini. Tetapi aktiviti mengumpul buku secara fizikal tetap menjadi pilihan, meskipun dilihat sebagai penyakit tsundoku (seni menghimpun buku tanpa membacanya). Aktiviti ini jauh lebih baik daripada minat muda-mudi yang lebih leka dengan aplikasi media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram, yang boleh mempengaruhi jati diri anak muda.

Provokasi demi provokasi yang diutarakan oleh Tuan Sayed Munawwar akhirnya menemukan satu solusi yang membawa kepada perbincangan yang lebih hangat apabila Nisah Haron berpendapat bahawa penerbit buku perlu bersedia berpindah medium daripada penerbitan fizikal kepada digital. Hal ini menjadi suatu desakan yang pragmatik kerana generasi muda yang dipanggil sebagai “warga natif digital” (digital natives) kini sangat asyik membaca secara dalam talian. Buku audio dan e-buku ialah platform yang paling praktikal bagi menangani isu pembacaan era baharu. Kaedah bahan bacaan tidak menjadi persoalan apabila semua panel bersepakat bahawa setiap individu harus berfikiran terbuka untuk menolak dan menapis bahan bacaan yang dirasakan tidak sahih atau tidak elok.

Ikuti rakaman acara forum ini di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.