Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Adakah filem boleh dianggap sebagai karya sastera jika ia disandarkan kepada lakon layar semata-mata yang menjadi tulang belakangnya? Namun, mengangkat lakon layar sebagai sastera dengan membuang unsur-unsur lain dalam jalinan pembikinan filem, menjadikannya “tidak hidup” dan seterusnya menafikan keberadaannya sebagai sebuah karya sastera.
Kesimpulan itu dibuat oleh dua panel dalam Rancangan Sembang Tamu: “Filem Sebagai Sastera? Suatu Enigma Pentakrifan” menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini yang menampilkan Pensyarah Kanan Universiti Sains Malaysia, Dr. Wan Hasmah Wan Teh dan penulis, Rebecca Ilham. Program bual bicara ini merupakan anjuran bersama majalah Dewam Sastera serta Tunas Cipta, dan dilaksanakan oleh Bahagian Multimedia DBP.
Tegas Rebecca, sebelum filem dimasukkan dalam “rumah besar” yang dipanggil sastera, ia seharusnya memenuhi sifat sastera itu sendiri. “Sama ada boleh atau tidak kita meletakkan filem sebagai karya sastera hal ini mesti dimulai dengan mendefinisikan dulu apa itu sastera. Sastera ialah karya bertulis sedangkan filem ialah karya visual.

“Jika kita mengambil lakon layar sebagai ukuran untuk membolehkannya dianggap sebagai karya sastera, kita juga perlu sedar, lakon layar tidak boleh hidup secara sendri. Ia sebaliknya hidup bersama karya akhir filem, lakonan dan visual. Hal ini yang membezakannya dengan sebuah karya sastera,” katanya.
Tegas Rebecca, jika diteliti lakon layar juga selalunya tampil dengan bahasa yang kaku dan teknikal kerana tidak dibuat untuk bacaan umum sebaliknya dihidupkan oleh lakonan dan unsur-unsur sinema lain seperti syot penggambaran, suntingan, set lokasi, adunan runut bunyi, busana, efek khas, pengarahan seni, dan skor muzik.
“Hal ini berbeza pula dalam konteks skrip drama teater. Mengapa skrip drama dianggap sebagai sastera? Hal ini kerana kekuatan skrip dilihat daripada teks yang diucapkan walaupun ia disokong dengan lakonan di atas pentas. Lontaran dialog (lines) dalam teater juga panjang dan mementingkan kata ungkapannya berbanding filem yang bahasanya tertumpu pada visual.
“Malah, jika kita menonton teater, hal yang dinanti-nantikan ialah lantunan ayat atau skrip pelakon. Malahan, jika menonton teater, audiens selalunya akan kerap kembali pada skrip asal naskhah itu, misalnya jika kita menonton karya klasik seperti drama Shakespeare,” katanya.
Wan Hasmah juga senada dengan Rebecca apabila menegaskan lakon layar walaupun turut merupakan naskhah bertulis dan menyamai struktur sesebuah karya sastera yang mempunyai plot, jalinan cerita, watak dan perwatakan, tetapi lakon layar akan tinggal kaku jika tidak dihidupkan dengan pelaksanaan penggambaran, baik sewaktu produksi ataupun pascaproduksi (seperti suntingan-jalinan syot babak dengan suntingan-adunan suara).
Katanya, hal ini berbeza dengan karya sastera yang sempurna sebagai sebuah hasil seni yang apabila sesebuah karya itu selesai ditulis dan diterbitkan, ia boleh terus dinikmati oleh pembaca.
“Dari satu segi yang lain, tanggapan visual dalam filem juga terhad berbanding karya sastera kerana visualnya sudah dibentuk oleh produksi. Ia tidak memberikan ruang kepada penonton untuk membayangkan visual.
“Hal ini berbeza dengan karya sastera. Untuk sebuah novel yang sama, setiap pembaca mempunyai pelbagai tanggapan visual berdasarkan teks yang dibaca, menurut pengalaman dan juga pengetahuan mereka.
“Namun, sesuatu yang perlu diakui, visual dalam filem sememangnya mempunyai lebih pengaruh ke atas penonton,” katanya.

Penegasan kedua-dua panel jelas mengasingkan filem sebagai sebuah karya sastera, malah Rebecca menegaskan, selalunya jika sesebuah karya sastera diadaptasi sebagai filem, tidak akan terjadi penyalinan yang tepat.
“Sebenarnya hal ini diakui oleh penggiat filem sendiri, misalnya pengarah filem terkenal, U-Wei Haji Saari dalam satu diskusi berkaitan filem adaptasi beberapa tahun lalu yang menyebut bahawa produksi filem selalunya akan menjadi ‘curang’ dalam adaptasi teks karya.
“Teks sastera boleh jadi sumber yang kuat pada filem tetapi memindahkannya kepada filem tidak pula menjadikan filem itu dianggap sebagai filem sastera, sebaliknya ia masih dianggap sebagai filem adaptasi,” katanya.
Sementara itu, Wan Hasmah menegaskan, dalam perkembangan teknologi semasa, sastera juga perlu bergerak seiring untuk memastikan ia kekal relevan. Ia tidak boleh berada dalam ruang keadaan yang sama.
“Dengan perkembangan teknologi semasa, ada persoalan mengenai apakah masa depan sastera? Dalam hal ini kita tidak boleh meminggirkan teknologi. Sebaliknya, jika kita ingin karya kita dibaca dan dicapai oleh lebih ramai orang, kita perlu lebih terbuka untuk memindahkan karya itu kepada media baharu,” katanya.
Hal ini katanya akan membantu memperkembangkan sastera dan tidak mengunci karya itu kepada diri pengkaryanya sahaja.