Diterbitkan pada 8 Julai 2026, 14:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hari Isnin rejangnya merbuk,
Merbuk nan jinak makan di tangan,
…..Bersarang rendah di dahan turi;
Mabukkan cinta diamal jangan,
…..Sedang di rumah adanya isteri.

Hari Selasa rejangnya tempua,
Tempua bersarang di dahan tinggi,
…..Berayun-ayun ditiup angin;
Yang ada sekarang tak puas lagi,
…..Mengikut nafsu banyak yang ingin.

Hari Rabu rejangnya murai
Murai berkicau sahut-sahutan,
…..Tandanya pagi sudah meninggi;
Usah dirisau akan umpatan,
…..Bekalkan hati sabar nan tinggi

Hari Khamis rejangnya belatuk
Belatuk berketuk di dahan mati,
…..Membuat lubang hingga ke petang;
Tunduk merunduk lambangnya hati,
…..Tanda berkembang jiwa nan matang.

Hari Jumaat rejangnya pungguk,
Pungguk merindu bulan nan satu,
…..Bulan mengambang malam purnama;
Jatuh selalu janganlah buntu,
…..Bangun berkembang mencipta nama.

Hari Sabtu rejangnya belibis
Belibis berlari di celah rumpun;
…..Hambat belalang berkejar-kejar;
Silapnya diri mohonlah ampun,
…..Hebatnya orang nan terpelajar.

Hari Ahad rejangnya merpati
Merpati banyak terbang-terbangan;
…..Hendak ditangkap tidak mendapat;
Hati yang tamak diikut jangan,
…..Banyak berharap kelak merempat.

Banting
28/11/24

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan