Diterbitkan pada 23 Jun 2026, 16:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selain maksud sastera, YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Zariat Abdul Rani semasa menjadi penceramah program Sarasehan Sastera: Ilmuwan, Teori dan Terapan (Siri 2) di Rumah PENA pada 20 Jun lalu menjelaskan latar belakang Persuratan Baru.

“Persuratan Baru dicetuskan oleh Mohd. Affandi Hassan, seorang penulis dan pengkritik yang kritis, yang menulis cerpen dan novel yang disifatkannya sebagai ‘novel persuratan’,” ujar beliau.

Secara terperinci, Dr. Zariat menyenaraikan 12 sebab kemunculan Persuratan Baru yang dibahagikannya kepada kecemerlangan tradisi persuratan Melayu abad ke-16 dan 17 Masihi sebagai ukuran dan kemunduran sastera Melayu moden.

Antara perkara dalam kecemerlangan tradisi persuratan Melayu ini termasuklah kedatangan Islam yang mengubah secara signifikan sifat bahasa dan sastera Melayu; daripada bahasa yang bersifat estetika kepada bahasa akliah, bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu yang menghuraikan soal hakikat kebenaran di sisi Islam; menolak tahayul, khurafat dan mitos; perbendaharaan kata bahasa Melayu diperkaya dengan perbendaharaan kata yang spesifik daripada bahasa Arab al-Quran; dan tradisi mengarang kitab, iaitu menumbuhkan tradisi sharh (tradisi huraian), serta mengubah bahasa Melayu menjadi bahasa yang menitikberatkan penghujahan rasional dan logik.

“Antara perkara dalam hal kemunduran sastera Melayu moden pula, termasuklah Barat mengangkat Abdullah Munshi sebagai ‘Bapa Kesusasteraan’ Melayu moden yang menjadi sempadan yang memisahkan periode dalam ‘sejarah kesusasteraan Melayu’, maka ‘kesusasteraan Melayu moden’ lawan ‘kesusasteraan Melayu tradisional’, ‘fiksyen’ menjadi sifat yang mencirikan ‘kesusasteraan Melayu moden’, dan berubahnya sifat bahasa dan sastera Melayu, daripada kitab kepada fiksyen,” ujar Zariat.

Sebagai perbandingan, beliau menyebut empat tradisi sastera, iaitu (1) tradisi sastera animisme (eksklusif) dan tradisi sastera rakyat (inklusif), (2) tradisi sastera berunsurkan Hinduisme, (3) tradisi persuratan Melayu (abad ke-16 dan 17), dan (4) tradisi sastera moden (sejak abad ke-19).

Tambah beliau, dalam hal tradisi sastera animisme dan tradisi sastera rakyat, sastera menjadi bahasa lisan untuk memujuk alam (mantera, jampi serapah), dan bahasa lisan untuk mengajar nilai-nilai “baik” (menurut pandangan alam animisme), selain cerita rakyat dan nyanyian rakyat.

“Dalam tradisi sastera berunsurkan Hinduisme pula, sastera ialah bahasa tulisan untuk memuliakan keturunan raja (hikayat istana/keraton).

“Dalam tradisi persuratan Melayu (abad ke-16 dan 17), sastera ialah bahasa tulisan untuk mengagungkan Allah SWT (kitab, syair, hikayat),” jelas Zariat lagi.

Manakala dalam tradisi sastera moden (abad ke-19 hingga kini), katanya, sastera ialah bahasa tulisan untuk merakamkan pengalaman empirikal (inderawi) atau perasaan dalam bentuk “fiksyen” (novel, cerpen, sajak, dan drama).

Antara masalah sastera Melayu menurut Persuratan Baru, jelas Mohd Zariat, ialah kesusasteraan Melayu hari ini mengalami kemunduran yang serius.

“Sastera” bukan lagi difahami sebagai kegiatan ilmiah yang menghasilkan karya-karya ilmu, tetapi sebagai kegiatan fiksyen yang menitikberatkan emosi.

“Menurut Persuratan Baru, masalah tersebut boleh diatasi dengan kegiatan sastera Melayu mesti kembali diletakkan dalam kerangka yang betul; iaitu pandangan hidup Islam yang berteraskan ajaran tauhid,” ujar profesor Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia ini.

“Antara falsafah Persuratan Baru yang mengikut pandangan alam Islam-tauhid ialah hakikat insan; fitrah manusia – mengabdikan diri kepada Pencipta – kedudukan diri manusia sebagai hamba dan khalifah. Justeru, tugas manusia di dunia hanya beribadah kepada Pencipta,” katanya.

Dalam hakikat ilmu dan amal, Zariat menyatakan wahyu sebagai sumber ilmu tertinggi, misalnya ilmu pengetahuan (sciences) terikat pada kebenaran ilmu wahyu (revelation), alam perbuatan manusia diasaskan daripada “ilmu yang benar”.

“Dalam hakikat dan fungsi sastera, kegiatan sastera difahami dalam kerangka tauhid, yang hanya mahu beribadah kepada Pencipta. Menyampaikan ‘ilmu yang benar’ ialah kegiatan sastera,” tambah beliau.

Dalam peralatan Persuratan Baru sebagai asas dalam seni mengarang, Zariat menjelaskan yang peralatannya terbahagi kepada empat konsep, iaitu siratan makna, “ruang naratif”, “isian wacana”, dan “isian cerita”.

“Siratan makna ialah seni mengarang yang menjadikan pemikiran (wacana) sebagai teras.

“Ruang naratif pula ruang kosong yang dibentuk daripada bahagian awal dan akhir cerita. Ruang ini boleh diisi dengan ‘isian wacana’ dan ‘isian cerita’,” katanya.

“Isian wacana ialah hujahan dan huraian idea yang akhirnya membentuk sebuah wacana. Manakala isian cerita pula penggemblengan alat-alat penceritaan seperti plot, watak, peristiwa, dan lain-lain bagi membina sebuah cerita,” tambah Mohd Zariat.

Beliau turut menyenaraikan perbezaan antara sastera dengan persuratan. Satu daripadanya ialah sastera menyampaikan cerita, sementara persuratan menyampaikan pemikiran/wacana (ilmu).

Sastera, katanya lagi, mengandungi semata-mata “cerita” yang mendominasi karya, tiada “wacana” (hujahan ilmiah), sedangkan persuratan mengandungi “wacana” dan “cerita”, yang ceritanya hanya sebagai medan yang menampung wacana.

Turut hadir YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden PENA; YBrs. Dr. Shamsuddin Othman dan YBrs. Dr. Norhayati Abdul Rahman.

Sarasehan Sastera: Ilmuwan, Teori dan Terapan (Siri 2) anjuran PENA dengan kerjasama DBP dan GAPENA itu turut menampilkan YBrs. Prof. Madya Dr. Ariff Mohamad dari Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai penceramah. YBrs. Dr. Hanafi Ibrahim, Timbalan Presiden PENA bertindak sebagai moderator.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan