Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuching – “Karya sastera yang bermakna dan memberi kesan mendalam kepada pembaca tidak terhasil secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada pengalaman hidup, pemerhatian serta kepekaan penulis terhadap realiti sekeliling.”
Perkara ini ditegaskan oleh Sasterawan Negeri Sarawak Keenam, YBrs. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi dalam Program Kejora Darul Hana: Kata, Kias dan Lakon Sasterawan Negeri Sarawak Keenam bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP ke-70 yang berlangsung di Dewan Toh Puan Hajah Masniah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg, Kuching, Sarawak, pagi semalam.
Menurut beliau, kecenderungannya dalam bidang pengkaryaan, khususnya puisi, tidak didorong oleh kehebatan semata-mata, tetapi lebih kepada minat yang terbina hasil pembacaan dan pengalaman hidup yang dilalui sejak usia mudanya.
“Saya bukanlah penulis puisi yang hebat, tetapi saya tetap menulis. Banyak puisi saya dipengaruhi oleh karya dari Indonesia, terutamanya Taufiq Ismail. Puisi beliau mudah, tetapi kesannya sangat mendalam,” ujar beliau.
Beliau menjelaskan bahawa kekuatan sesuatu karya bukan terletak pada bahasa yang kompleks, tetapi pada keupayaan menyampaikan mesej yang dekat dengan jiwa masyarakat.
Beliau berkata, “Pengalaman peribadi sering menjadi sumber utama dalam menghasilkan karya yang autentik dan berkesan.”
Beliau menyatakan bahawa pengalaman hidup bukan sahaja membentuk keperibadian, malah menjadi bahan penting dalam penulisan sastera.
“Segala yang dilihat, dirasai dan dialami boleh diterjemahkan ke dalam bentuk karya, termasuk puisi, cerpen mahupun esei,” ujar beliau.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa sastera tidak semestinya berkisar kepada tema besar seperti politik atau keagamaan sahaja, sebaliknya isu harian yang dekat dengan kehidupan masyarakat juga boleh dijadikan sebagai bahan penulisan yang signifikan.
“Apa-apa perkara yang berlaku di sekeliling kita sebenarnya bahan sastera. Isu kecil pun boleh jadi besar jika kita tahu cara melihat dan menulisnya,” ujarnya.
Sehubungan dengan itu, Abang Patdeli amat menggalakkan golongan muda untuk mencuba dalam bidang penulisan kerana menurutnya, setiap individu mempunyai cerita tersendiri yang boleh diketengahkan melalui karya sastera.
“Mulakan dengan perkara yang kita lihat dan rasa. Tidak perlu tunggu hebat untuk menulis. Menulis itu proses,” tambahnya.
Yang turut hadir termasuklah Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Haji Hazami Jahari; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai dan Penolong Kanan Pentadbiran SMK Tun Abang Haji Openg, YBrs. Encik Jamli Bujang.