Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerjasama strategik antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Nusa Centre dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan karya-karya Sasterawan Negara (SN) S. Othman Kelantan terus dipelihara.
Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan telah merasmikan Majlis Pelancaran Novel Terbitan DBP dengan Kerjasama Nusa Centre anjuran DBP menerusi Bahagian Buku Sastera yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), petang tadi.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa DBP memikul amanah besar sebagai institusi yang bertanggungjawab memelihara, mengembangkan serta memastikan karya sastera terus diterbitkan dan dimanfaatkan oleh masyarakat secara berterusan.
“Sekiranya sesuatu karya hanya disimpan sebagai milik waris tanpa usaha penerbitan semula, maka karya tersebut tidak akan memberi sebarang makna kepada kepustakaan negara,” ujar beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa DBP mempunyai keupayaan untuk mengurus keseluruhan ekosistem penerbitan bagi memastikan karya sastera terus berada dalam pasaran serta dapat diakses oleh generasi baharu.
Tambah beliau, perlindungan harta intelek yang dilaksanakan melalui perjanjian lesen penerbitan memastikan hak penulis dan waris kekal terpelihara, termasuk pemberian royalti sehingga 50 tahun selepas kematian pengarang.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Operasi DBP, YBrs. Encik Zulfa Hamzah berkata bahawa kerjasama antara DBP dengan Nusa Centre merupakan inisiatif penting dalam mengangkat semula karya-karya Sasterawan Negara sebagai khazanah ilmu dan warisan persuratan yang wajar dipelihara serta diperluas jangkauannya kepada masyarakat.
Enam novel karya SN S. Othman Kelantan yang dilancarkan ialah Ruang Perjalanan, Orang Kota Bharu, Perwira, Juara, Perjudian, dan Wajah Seorang Wanita,yang mencerminkan rakaman sejarah sosiobudaya dan politik masyarakat, khususnya di Kelantan.
Sementara itu, Pengurus Nusa Centre, YBrs. Tuan S.M Zakir menyatakan penghargaan beliau kepada pihak DBP kerana sudi bekerjasama dengan pihak Nusa Centre untuk menerbitkan semula karya-karya SN S. Othman Kelantan.
“Sekiranya hak cipta diurus sepenuhnya oleh waris tanpa sokongan institusi yang berterusan, karya tersebut berdepan risiko tidak dapat diurus atau diterbitkan semula pada masa hadapan, sekali gus berkemungkinan hilang daripada pasaran dan perhatian masyarakat,” ujar beliau.

Menurut beliau, DBP mempunyai keupayaan untuk menjaga hak cipta serta memastikan karya terus berada dalam pasaran untuk tempoh yang panjang.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa kerjasama ini dapat memastikan karya dan hak cipta novel-novel S. Othman Kelantan terus terpelihara sebagai aset persuratan negara, bukan sekadar warisan milik individu atau keluarga.
“Kerjasama dengan DBP merupakan langkah strategik untuk memastikan karya-karya ini terus terpelihara, diterbitkan semula dan dapat dinikmati oleh masyarakat merentas generasi,” ujar beliau.
Turut hadir dalam majlis ini termasuklah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, YBrs. Encik Ja’afar Haji Hamdan; dan Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar.