Diterbitkan pada 22 April 2026, 12:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bertam – Budaya literasi perlu diperhebat dalam masyarakat untuk merancakkan industri buku, perbincangan ilmiah, pemahaman pemikiran penulis, dan jalinan silaturahim antara sesama ahli Komuniti Buku Utara (Komkura).

Demikian kata pengasas Komkura, Syafiq Izzuddin dalam penganjuran Diskusi Buku Utara 1.0 yang julung-julung kalinya diadakan pada 18 April lalu di Qahwa Café, Bertam.

Komkura selaku penganjur mengambil inisiatif dengan melaksanakan sesi perkongsian “Apa Itu Biblioterapi” oleh Syafiq Izzuddin yang menceritakan budaya literasi sebagai satu terapi yang dapat menenangkan fikiran selepas melakukan kerja seharian.

Selain itu, topik “Pendidikan atau Kilang Sijil? Peranan Tradisi Berfikir, Membaca dan Menulis” yang dikendalikan oleh pengasas kedua Komkura, Tuan Syed Ahmad Fathi bersama-sama ahli panel Suhaib Zahir membawakan pemikiran tentang kanak-kanak berhak mendapat pendidikan, walaupun tersepit dilema status kewarganegaraan, terutamanya di Sabah dan lorong-lorong kota.

YBrs. Dr. Afifuddin Mohamad mengisi slot perkongsian ketiga dengan tajuk “Di Sebalik Sambutan Hari Raya: Mengapa Ada yang Murung?” yang membicarakan soalan-soalan sensitif ketika musim perayaan.

Penerima Hadiah Sastera Negeri Pulau Pinang dan Kedah, Ibnu Din Assingkiri pula berkongsi petua proses penulisan puisi dan cerpen yang berkesan untuk menarik minat pembaca dalam sesi “Petua Penulisan: Proses Kreatif Menulis”.

Komkura merencanakan program keduanya bersama-sama Biblio Press pada 10 Mei 2026 di Biblio Ipoh yang akan mengenengahkan buku Menten Selekes oleh Mohd Jayzuan.

Kredit Foto: Hassan Hadi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi