Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Usaha memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu terus dipergiat apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memperkenalkan Geran Penyelidikan DBP Tahun 2026 bagi mendepani cabaran era digital dan perkembangan teknologi semasa.
Langkah itu bertujuan memperluas peranan bahasa Melayu bukan sahaja sebagai bahasa kebangsaan, malah sebagai bahasa ilmu dan persuratan yang menyokong perkembangan pelbagai bidang, termasuk teknologi dan inovasi.

Ketua Pengarah YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata, melalui geran berkenaan, DBP berhasrat merancakkan penyelidikan berimpak tinggi, khususnya dalam bidang teknologi bahasa, kecerdasan buatan dan media digital, di samping memperkaya sumber ilmu dalam bahasa Melayu serta menyokong penggunaannya dalam sektor strategik negara.
Katanya, inisiatif itu juga selaras dengan Rancangan Strategik DBP 2026 – 2030 yang menekankan pengukuhan ekosistem bahasa Melayu, peningkatan nilai ekonomi bahasa serta peluasan penggunaannya merentas pelbagai bidang.
“Geran berkenaan turut membuka ruang kerjasama antara DBP, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dengan pihak industri bagi memastikan hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan secara praktikal serta menyokong dasar bahasa kebangsaan.
“Dalam konteks pembangunan negara, geran ini dilihat sebagai mekanisme penting untuk memastikan kemajuan ilmu bergerak seiring dengan pengukuhan jati diri kebangsaan.
“Dapatan kajian dijangka dapat dimanfaatkan dalam perancangan dasar, pengukuhan sistem pendidikan dan pemerkasaan kandungan tempatan,” katanya.
Antara bidang kajian yang ditawarkan merangkumi bahasa dan teknologi, termasuk pemprosesan bahasa semula jadi serta pendigitalan kandungan. Bidang bahasa dan kesusasteraan Melayu turut diberi perhatian, selain sains, perubatan, pengurusan, pemasaran, dan media baharu.
Geran ini terbuka kepada penyelidik berkelayakan daripada pelbagai institusi, termasuk ahli akademik, pegawai kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan.
Pemohon juga perlu mempunyai kelayakan akademik, pengalaman penyelidikan dan kepakaran yang bersesuaian, manakala tarikh tutup permohonan adalah pada 10 Mei 2026.
Setiap projek juga perlu melibatkan sekurang-kurangnya seorang pegawai DBP sebagai ahli kumpulan penyelidik bagi memastikan penyelarasan serta pemindahan kepakaran antara institusi.
Dari segi pelaksanaan, setiap cadangan perlu memenuhi garis panduan yang ditetapkan, termasuk aspek kebaharuan, kerelevanan dan impak. Keperluan lain meliputi tempoh kajian, pengurusan kewangan, pelaporan, serta penghasilan output yang jelas.
Proses pemilihan dilaksanakan secara telus dan berstruktur melalui penilaian jawatankuasa teknikal serta pakar, dengan mengambil kira kebaharuan idea, kesesuaian dan potensi impak kepada pembangunan bahasa dan negara.
Hasil penyelidikan yang dilaksanakan dijangka memberikan manfaat langsung kepada masyarakat melalui penghasilan bahan rujukan, pembangunan istilah serta penyediaan garis panduan dalam bahasa Melayu.
Selain itu, dapatan kajian turut berpotensi meningkatkan literasi bahasa dan budaya serta dimanfaatkan dalam pembangunan kandungan digital dan aplikasi bahasa.
Geran ini juga berperanan sebagai pemangkin inovasi dalam menangani cabaran semasa berkaitan bahasa Melayu, khususnya dalam persekitaran teknologi dan komunikasi moden.
Seiring usia DBP yang mencecah 70 tahun pada tahun ini, inisiatif ini diharap dapat memperkukuh peranan institusi itu sebagai peneraju pembangunan bahasa dan persuratan negara, sekali gus memastikan bahasa Melayu kekal unggul dan relevan pada masa hadapan.
Muat turun dokumen Garis Panduan Geran Penyelidikan DBP Tahun 2026 di sini.
