Diterbitkan pada 17 April 2026, 09:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Keupayaan sesuatu bangsa mempertahankan martabat bahasanya bergantung pada kekuatan tradisi ilmunya. Bahasa dan persuratan Melayu tidak boleh sekadar dipelihara sebagai warisan, sebaliknya perlu terus diperkaya melalui penyelidikan yang kritis, segar dan berorientasikan masa hadapan.

Tuntutan ini menjadi semakin mendesak dalam era yang dipacu oleh teknologi serta perubahan budaya ilmu yang pantas.

Dalam konteks ini, penawaran Geran Penyelidikan 2026 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memperlihatkan satu langkah penting ke arah memperkukuh pembangunan ilmu yang lebih tersusun, berimpak dan berdaya saing.

Prof. Dr. A. Halim Ali

Profesor Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim Ali, menyifatkan inisiatif DBP menyediakan geran penyelidikan merupakan suatu usaha yang sangat baik dalam usaha membantu mempercepat pengembangan ilmu di negara ini, khususnya dalam bidang bahasa dan kesusasteraan.

Katanya, inisiatif ini sejajar dengan keperluan semasa dan masa hadapan yang memerlukan tantangan kemajuan ilmu berteraskan pendekatan analitis dan konstruktif.

“Lima bidang keutamaan penyelidikan yang ditetapkan sangat signifikan dengan keperluan semasa, terutamanya yang berkaitan dengan keterlibatan teknologi dan media baharu dalam mengkehadapankan bahasa, persuratan dan Alam Melayu dalam persada ilmu.

“Dengan peruntukan RM 75,000.00 bagi satu-satu projek penyelidikan, saya percaya, DBP menghasratkan hasil yang berimpak tinggi daripada kajian ini.

“Keutamaan hasil kajian lebih berfokus pada pengintegrasian kemajuan teknologi terkini dengan perkembangan masa hadapan bidang ilmu bahasa dan sastera.

“Selain itu, sangat menarik perhatian, bidang sains dan perubatan berasaskan sumber kearifan Alam Melayu juga turut dijadikan asas keutamaan penyelidikan,” katanya.

Tegas Abdul Halim, usaha DBP ini perlu disokong dan diteruskan setiap tahun bagi membolehkan DBP memperoleh secara langsung dan berterusan data-data ilmu berteraskan kegiatan berpenyelidikan, sesuai dengan fungsinya sebagai pusat rujukan ilmu dan dokumentasi Melayu di Malaysia.

Prof. Madya Dr. Nasirin Abdillah

Pensyarah Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Madya Dr. Nasirin Abdillah turut senada dengan Abdul Halim dalam hal ini.

Nasirin berkata, sebagai seorang sarjana dalam bidang Kesusasteraan dan Penulisan, beliau melihat Geran Penyelidikan DBP sebagai suatu instrumen strategik yang bukan sahaja menyokong kegiatan penyelidikan, tetapi turut membentuk hala tuju wacana ilmu bahasa dan persuratan Melayu secara lebih sistematik.

“Tujuan geran ini yang menekankan penyelidikan kompetitif dan pembangunan teori, konsep serta amalan baharu menunjukkan kesungguhan institusi dalam memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai wahana ilmu.

“Hal ini penting kerana dalam konteks kesusasteraan, penyelidikan bukan sekadar pengumpulan data, tetapi suatu proses pengayaan makna dan tafsiran terhadap teks, tradisi dan budaya yang sentiasa berkembang,” katanya.

Nasirin berkata, dari sudut skop bidang, keterbukaan geran ini terhadap pelbagai domain termasuk bahasa dan teknologi, media baharu serta persuratan Melayu menunjukkan kesedaran DBP terhadap keperluan antara disiplin dalam penyelidikan kontemporari.

Kongsinya, bagi sarjana sastera, peluang untuk merentas disiplin ini amat signifikan kerana kesusasteraan kini tidak lagi terpisah daripada perkembangan teknologi, sains sosial dan budaya digital. Hal ini membuka ruang kepada pendekatan baharu seperti analisis sastera digital, kajian budaya popular dan pemetaan naratif dalam media baharu, yang dapat memperluas horizon kajian sastera Melayu.

“Namun demikian, terdapat beberapa aspek pelaksanaan yang wajar diberi perhatian kritis. Penetapan hasil penyelidikan yang menuntut sekurang-kurangnya dua penerbitan serta penekanan kepada harta intelek mencerminkan orientasi output yang jelas, tetapi dalam bidang kesusasteraan, kualiti dan kedalaman analisis sering kali memerlukan tempoh yang lebih panjang dan bentuk penerbitan yang lebih fleksibel, seperti monograf atau edisi kritikal.

“Oleh itu, kerangka penilaian dan hasil perlu cukup anjal untuk disesuaikan dengan sifat penyelidikan sastera yang selalunya tidak sentiasa selari dengan model saintifik atau kuantitatif,” katanya.

Tegas Nasirin, kekuatan utama Geran Penyelidikan DBP terletak pada penekanannya terhadap kolaborasi antara institusi, termasuk pelibatan wajib pegawai DBP dalam setiap projek.

Hal ini bukan sahaja memastikan keselarasan dengan fungsi institusi, tetapi juga menjamin pemindahan ilmu dan kepakaran secara berterusan.

“Dalam konteks kesusasteraan, kolaborasi sedemikian berpotensi merapatkan jurang antara dunia akademik, penerbitan dengan khalayak umum, sekali gus memperkukuh ekosistem persuratan Melayu sebagai suatu tradisi yang hidup dan dinamik,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi