Diterbitkan pada 26 Mac 2026, 14:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Perbadanan Kota Buku (PKB) bakal menganjurkan Kota Baca 2026, sebuah festival literasi berskala nasional yang dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 26 April ini sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia, dengan sasaran menarik puluhan ribu pengunjung dari seluruh negara.

Bakal berlangsung secara hibrid, acara ini menggabungkan program fizikal dan digital dengan Dataran Merdeka dipilih sebagai lokasi utama penganjuran. Inisiatif ini bertujuan untuk memperluas akses kepada bahan bacaan serta menggalakkan pembudayaan ilmu dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan.

Menurut PKB, penganjuran kali ini bukan sekadar meraikan buku, malah menjadi platform penting dalam menyatukan penggiat industri perbukuan, institusi pendidikan serta komuniti umum dalam satu gerakan literasi yang lebih menyeluruh. Usaha ini juga selari dengan aspirasi pembangunan negara serta komitmen terhadap Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) dalam memperkasakan budaya membaca.

Selain aktiviti di lapangan, kempen digital turut diperhebat menerusi platform TikTok bermula dari 26 Mac hingga 26 April, dengan orang ramai digalakkan berkongsi kandungan berkaitan dengan pembacaan menggunakan tanda pagar khusus bagi memperluas capaian kempen.

Dalam masa yang sama, jualan buku secara dalam talian akan diadakan bermula pada 1 April melalui platform Book Capital dan TikTok Shop yang menawarkan pelbagai judul menarik dengan promosi istimewa sempena festival tersebut.

Kemuncak sambutan pada 23 April akan berlangsung di Perpustakaan Kuala Lumpur menerusi pelancaran Papan Pemuka Peta Malaysia Membaca serta program Jom Baca Bersama yang melibatkan penyertaan serentak di seluruh negara.

Sepanjang tiga hari berikutnya, Dataran Merdeka akan dihidupkan dengan pelbagai acara interaktif seperti sesi bersama-sama penulis, larian bertemakan karakter buku, persembahan pentas, jualan buku rakyat serta program pertukaran buku berskala besar. Turut dijangka berlangsung ialah Pidato Negarawan yang akan disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri.

Pengunjung juga bakal menikmati pelbagai tarikan lain termasuklah pameran buku nadir, ruang seni buku, kafe berkonsepkan literasi serta aktiviti komuniti seperti derma buku dan inisiatif interaktif yang mendekatkan masyarakat dengan bahan bacaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKB, YBrs. Puan Adibah Omar berkata bahawa penganjuran Kota Baca merupakan usaha berterusan untuk menjadikan membaca sebagai budaya hidup rakyat Malaysia.

“Apabila buku menjadi sebahagian daripada rutin harian masyarakat, kita sebenarnya sedang membina generasi yang lebih berilmu dan berdaya saing,” ujarnya.

PKB turut menyasarkan Kota Baca untuk dijadikan acara tahunan negara setiap 23 April, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai platform utama dalam memperkasakan ekosistem perbukuan tanah air.

Kredit Foto: Wikimedia Commons/Haakon S. Krohn
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi