Diterbitkan pada 12 Februari 2026, 11:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Legasi tokoh sastera dan wartawan tersohor negara, Adibah Amin, bakal diabadikan menerusi penganjuran majlis penghormatan khas yang akan berlangsung di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur pada 12 April 2026.

Acara berkenaan akan turut menyaksikan pelancaran As I Was Passing: Legacy Edition, iaitu himpunan terpilih tulisan beliau yang pernah diterbitkan dalam kolum akhbar. Penerbitan edisi khas itu bertujuan memastikan suara, pemikiran dan pemerhatian tajam beliau terhadap masyarakat Malaysia terus dapat dinikmati dan dijadikan rujukan generasi akan datang.

Naskhah As I Was Passing: Legacy Edition.

Penganjuran majlis tersebut bukan sahaja meraikan sumbangan besar beliau dalam dunia kewartawanan dan kesusasteraan tanah air, malah menjadi inisiatif pengumpulan dana bagi menyokong penjagaan serta rawatan beliau yang kini berdepan cabaran kesihatan pada usia hampir 90 tahun.

Segala hasil kutipan daripada majlis makan malam amal serta sumbangan pembelian buku akan disalurkan sepenuhnya untuk kebajikan Adibah Amin dan penubuhan sebuah anugerah sastera sebagai usaha memelihara serta memperkukuh warisan kesusasteraan yang ditinggalkan beliau.

Dengan YTL Hotels sebagai penaja lokasi, majlis tersebut mencerminkan penghargaan komuniti terhadap tokoh yang karya-karyanya sarat dengan nilai kemanusiaan, jenaka bersahaja dan kehalusan budi dalam merakam ragam kehidupan masyarakat majmuk negara ini. Majlis akan dikendalikan oleh tokoh penyiaran terkenal, YBhg. Dato’ Yasmin Yusuff.

Sepanjang kariernya, Adibah Amin mencatat sejarah sebagai editor wanita pertama di Berita Harian. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai editor di The Star dan New Straits Times, selain dikenali sebagai kolumnis, penterjemah, pendidik, dan novelis yang prolifik.

Pengiktirafan terhadap sumbangannya terus terserlah apabila beliau dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara pada tahun 2024, satu penghormatan yang disampaikan oleh Perdana Menteri.

Anak kepada Allahyarham Tan Sri Hajah Zainun Munshi Sulaiman atau Ibu Zain itu turut pernah menjadi tenaga pengajar di Kolej Tunku Kurshiah, sekolah berasrama penuh wanita pertama di negara ini.

Menurut Presiden dan Pro Naib Canselor Monash University Malaysia yang juga sahabat kepada Adibah Amin, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Adeeba Kamarulzaman berkata karya Adibah Amin sentiasa menjadi sumber kegembiraan, tawa dan inspirasi kepada masyarakat.

Katanya lagi, penerbitan As I Was Passing: Legacy Edition serta penganjuran anugerah sastera itu akan memastikan legasi intelektual beliau terus membimbing dan menyuntik semangat kepada generasi masa depan.

Majlis makan malam amal ini mengalu-alukan sumbangan bermula RM5,000 bagi satu meja, manakala naskhah As I Was Passing: Legacy Edition boleh diperoleh dengan sumbangan minimum RM50 dan terhad untuk edaran dalam Malaysia.

Pencinta sastera, penggiat industri media dan individu yang menghargai dunia penulisan Malaysia diundang hadir sebagai tanda solidariti dan penghargaan terhadap jasa tokoh tersebut dalam memperkaya khazanah persuratan negara.

Untuk membuat pendaftaran majlis makan malam dan mendapatkan naskhah tersebut, anda boleh melayari pautan ini. Bagi syarikat yang berminat untuk memberi tajaan pula, anda boleh berhubung dengan pihak penganjur melalui e-mel [email protected].

Kredit Foto: Rasiah Halil
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi