Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Wartawan veteran dan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write) 1983, Adibah Amin diumumkan sebagai Tokoh Wartawan Negara pada Malam Wartawan Malaysia 2024 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2023 malam tadi.
Adibah atau nama sebenar Khalidah Adibah Amin, 88, ialah wartawan wanita pertama yang menerima penghargaan itu.
Adibah memulakan kerjaya sebagai wartawan pada tahun 1971 di New Straits Times. Perjalanan kerjaya kewartawanannya berkembang dengan baik apabila menjadi wanita pertama sebagai Ketua Pengarang Berita Harian (1983–1984).
Dalam dunia sastera, Adibah pernah dinobatkan sebagai Tokoh Terjemahan Negara 2012 dan memenangi Anugerah Pengembangan Sastera Esso-GAPENA 1991.
Novelnya, Seroja Masih di Kolam yang mengangkat latar hidup masyarakat 1960-an antara karyanya yang diingati dan diterjemahkan ke dalam bahasa asing.
Novel pertama Adibah dalam bahasa Inggeris diterbitkan pada tahun 2006, This End of The Rainbow.
Dalam bidang terjemahan, beliau menterjemahkan beberapa karya sastera penulis Malaysia, termasuklah No Harvest but a Thorn (Ranjau Sepanjang Jalan) tulisan Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad dan Jungle of Hope (Rimba Harapan) tulisan SN Keris Mas.
Beliau juga menghasilkan lebih 50 buah buku karya asal, penyuntingan dan terjemahan, antaranya termasuklah Glimpses: Cameos of Malaysian Life (MPH Group Publishing, 2008), As I Was Passing I dan II (MPH Group Publishing, 2006 dan 2007).
Selain berkarya, Adibah turut dikenali sebagai pelakon dengan watak yang sinonim dengannya, Cikgu Bedah dalam filem Adik Manja (1980).
Pencalonan Adibah sebagai Tokoh Wartawan Negara itu dikemukakan oleh Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA).
Kredit Foto: Rasiah Halil dan Hanafi Mohd Yusof