Oleh Adib MN
Diterbitkan pada 3 Disember 2025, 14:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Khabarovsk – Pengarang Mesir, Salwa Bakr dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Sastera BRICS ketika penganjuran Festival Seni BRICS, Khabarovsk, Rusia yang berlangsung antara 26 hingga 30 November 2025.

Pengumuman itu menamatkan teka-teki siapakah pemenang anugerah yang buat julung-julung kali diadakan itu yang turut menyenaraikan 10 calon termasuk pengarang Indonesia, Denny JA.

Denny pula menerima Hadiah Khas untuk Inovasi dalam Sastera sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam menghasilkan dan membangunkan genre puisi esei yang menggabungkan teknik lirik dengan bahan berfakta.

Salwa kelahiran Kaherah pada tahun 1949, dibesarkan sebagai anak pekerja kereta api dan berkelulusan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Ain Shams pada tahun 1972 dan Kritikan Sastera (1976), sebelum terjun ke dunia kewartawanan.

Laman web Arab World Books mencatatkan bahawa Salwa mula menulis pada pertengahan dekad 1970-an, lalu menerbitkan sendiri kumpulan cerpen pertamanya, Zinat fi Janasat ar-Ra’is (Zinat di Perkebumian Presiden) pada tahun 1985.

Kumpulan cerpen lain menyusul selepas itu, iaitu Maqam ‘Atiyya (Makam Atia) pada tahun 1986; An il-Ruh al-lati Suriqat Tadrijiyyan (Tentang Roh yang Beransur-ansur Menjauh) 1989; Iq’t Muta’kis (Ritma Bertentangan) 1996; dan Sho’or el-Aslaf (Kesedaran Para Leluhur) 2003.

Salwa Bakr

Beliau turut menghasilkan novel Wasf al-Bulbul (Gambaran Bulbul) yang menjadi novel sulungnya pada tahun 1993; kemudian Ajin al-Fallaha (Adunan Wanita Tani) 1992; al-‘Araba al-dhahabiyya la Tas’ad ila-l-Sama (Pedati Emas Tak Naik ke Langit) 1995; Layl wa Nahar (Siang dan Malam) 1997; Albashmouri (Lelaki dari Bashmur) I dan II; dan Ssawaki el-Wakt (Kincir Masa) 2003.

Portal itu turut menekankan proses kreatif Salwa apabila menerima pengaruh besar daripada kekalahan Mesir dalam Perang Enam Hari dengan Israel pada tahun 1967, sesuatu yang dialami secara kolektif oleh rakyat Mesir, sekali gus mengubah laluan besar pemikiran Faham Janiah Arab yang digagaskan oleh Presiden Gamal Abdel Nasser.

Majlis penganugerahan diadakan di City Palace of Culture yang dihadiri oleh pemimpin kerajaan tempatan, diplomat, pengarang, penerbit, dan tokoh kenamaan dari negara BRICS serta negara rakan.

Sementara itu, Duta Anugerah Sastera BRICSS yang juga Ketua Pengarah Eurasian Media Group, YBrs. Sergey Demensky berkata, pemilihan Salwa itu menjadi isyarat kepada penerbit dan institusi budaya negara blok ekonomi berkenaan.

“Saya meyakini karyanya akan diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia, manakala nama beliau akan terkenal di negara BRICS yang tidak hanya dalam lingkungan kecil pakar yang mengamati karya sastera kontemporari, bahkan kepada khalayak pembaca yang lebih luas,” katanya, seperti yang dipetik daripada portal TV BRICS.

Demensky menyifatkan bahawa karya Salwa menepati semangat anugerah itu yang ditulis dalam bahasa paling penting kepada BRICS, iaitu bahasa diplomasi rakyat yang membantu warga pelbagai negara memahami antara satu sama lain, berempati dan berkongsi nilai sepunya.

Hal ini juga, kata Demensky, diluahkan sendiri oleh pengarang terbabit dalam wawancara mutakhirnya selepas diumumkan dalam senarai pendek anugerah.

Dalam perkembangan sama, Koordinator Kebangsaan untuk Rangkaian Sastera BRICS, Sastri Bakry, menekankan simbolisme dalam konteks pengiktirafan yang diterima oleh Indonesia dan Mesir dalam edisi pertama anugerah itu.

“Saya sangat berbangga dengan pengarang Salwa dari Mesir yang sering bercakap bagi pihak wanita.

“Saya juga berbesar hati kerana Denny menerima Hadiah Khas untuk Inovasi dalam Sastera yang layak diterimanya, sekali gus mengangkat nama Indonesia di mata dunia, meskipun beliau tidak menyedarinya,” katanya.

Dalam konteks BRICS, Naib Konsul Konsulat Jeneral Republik India di Vladivostok, YBrs. Kumar Karan, menegaskan bahawa pemilihan Khabarovsk Krai sebagai lokasi kemuncak Anugerah Sastera BRICS menjelaskan peranan istimewa Rusia sebagai gerbang wilayah Timur Jauh dan jambatan kebudayaan penting antara negara anggota berkenaan.

“Kita memberi perhatian serius terhadap masa depan. Forum Nilai Tradisional BRICS Ketiga akan dianjurkan di India dan senarai panjang Anugerah Sastera BRICS 2026 akan diumumkan.

“Bagi kami, ini bukan hanya penghormatan biasa, sebaliknya peluang untuk membangunkan kerjasama kebudayaan dengan lebih kukuh dan mendalam yang berperanan sebagai asas untuk memperkasa hubungan politik, ekonomi dan kemanusiaan antara negara anggota dalam pertubuhan ini,” katanya.

Kredit Foto: Ruslan Mingazhov/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi